01 October 2015

Isu pembesar suara 'Nasihat Hukum', bukan fatwa, respons Mufti P.Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN - Kebenaran menggunakan pembesar suara masjid dan surau untuk tujuan azan dan iqamah sahaja yang disyorkan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang bukanlah mengikut telunjuk mana-mana pihak, seperti digambarkan oleh pembangkang Pulau Pinang.

Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, syor itu masih bersifat Isyhad Hukm atau Nasihat Hukum untuk mencegah penyalahgunaan pembesar suara kononnya atas nama Islam sampai mengganggu ketenteraman masyarakat sekeliling.

"Isu ini merupakan nasihat hukum atau Isyhad Hukm sahaja...kita belum sampai ke tahap itu (pelaksanaan keputusan fatwa yang diwartakan).

"Sejak tahun 2012 lagi, kita (Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang) telah membuat keputusan melarang penggunaan pembesar suara sebelum waktu Subuh sahaja, keputusan itupun adalah Nasihat Hukum sahaja.

"(Isyhad Hukm) kali ini pun belum sampai ke tahap itu (pelaksanaan keputusan fatwa yang diwartakan), cuma penambah baikkan dan cadangan sahaja yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa supaya keputusan sebelum ini lebih 'kuat', dihormati dan diwartakan nanti.

"Setakat ini, kita bersedia untuk menilai semula, kalau kita meniliti ia tidak perlu diwartakan, maka kita akan kekalkan ia sebagai Isyhad Hukm sahaja, jika perlu akan diwartakan nanti," respons Wan Salim kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) masih menerima lebih 10 aduan daripada umat Islam dan komuniti bukan Islam selepas Isyhad Hukum berwajib diputuskan pada tahun 2012.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim turut menjelaskan mengenai status surat pekeliling kepada JAIP, yang membenarkan pembesar suara masjid dan surau untuk tujuan azan dan iqamah sahaja.

"Apabila Jabatan Agama Islam menerima surat daripada Jabatan Mufti itu, di antara pendekatan Jabatan Agama Islam adalah meneliti isu ini dan mengadakan cadangan-cadangan. 

"Di antara cadangannya adalah Bahagian (Pengurusan) Masjid dan Surau telah datang berbincang dengan saya untuk mengadakan muzakarah, berbincang bukan berhubung larangan ini, tetapi, berbincang berhubung dengan isu ini," respons Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Justeru, katanya, Nasihat Hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri itu sebenarnya bersifat bebas dan bukanlah mengikut telunjuk Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, seperti didakwa oleh pihak pembangkang Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berasingan, Guan Eng memberitahu bahawa mustahil beliau sebagai seorang bukan Islam boleh mencampuri urusan fatwa berkaitan umat Islam di negeri ini, yang jelas di bawah DYMM Yang Di-Pertua Agong.

Tambah Guan Eng, beliau tidak menolak kemungkinan akan digambarkan sebagai individu yang mengeluarkan fatwa melarang azan di negeri ini.

“Semalam saya dituduh makan daging anjing, mungkin hari ini saya dituduh mengeluarkan 'fatwa'.

“Saya seorang bukan Islam, bagaimana saya boleh mengeluarkan 'fatwa' (larangan azan menggunakan pembesar suara)...ini pembohonan,” respons Guan Eng pada sidang media berasingan.

Kenyataan itu merujuk pada beberapa akhbar harian berbahasa Cina yang melaporkan Guan Eng memakan daging anjing, susulan ketegasan Kerajaan Negeri mewartakan suatu perintah menghapuskan anjing-anjing liar, demi mencegah penyakit Rabies ke atas manusia baru-baru ini. 

Tegas Guan Eng, beliau sendiri langsung tidak mengetahui mengenai notis 'fatwa' berwajib daripada Wan Salim yang bertarikh 1 September lalu, sehinggalah isu tersebut disebarkan secara meluas oleh pihak tertentu menerusi media baru 2.0 seperti Facebook dan Whatsapp

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus