Skip to main content

Bandar Satelit Baru di Pulau Pinang semacam Wilayah Pembangunan Malaysia di Johor, kata Guan Eng

KETUA Menteri (kanan) diiringi Wong Hon Wai menunjukkan lokasi segi tiga sebenar Bandar Satelit Baru di atas peta, pada sidang media di sini baru-baru ini. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, nama 'Bandar Satelit Baru' yang dimaksudkan oleh Kerajaan Negeri adalah merangkumi lokasi segi tiga di antara kawasan Batu Kawan, Cangkat dan Bukit Minyak.

Justeru katanya, Bandar Satelit Baru yang akan dimajukan di negeri ini sepatutnya difahami seperti pembangunan Wilayah Pembangunan Malaysia di Johor, yang merangkumi lokasi segi tiga di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di utara, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di tenggara.

“Nama Batu Kawan masih kekal, tetapi, oleh kerana ia merangkumi kawasan yang lebih besar, maka memerlukan nama yang lebih sesuai.

“Ia (Bandar Satelit Baru) merangkumi dua kawasan Parimen (iaitu) Nibong Tebal dan Batu Kawan, dan juga merangkumi dua kawasan Daerah (iaitu) SPT (Seberang Perai Tengah) dan SPS (Seberang Perai Selatan),” kata Guan Eng kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai turut serta pada sidang media tersebut.

Menurut Guan Eng, Bandar Satelit Baru yang dimaksudkan meliputi kira-kira 5,000 ekar tanah, yang akan dibangunkan secara serentak sebagai pusat industri, komersial, perumahan dan kawasan riadah.

“Ini akan menjadi kawasan perindustrian yang baru diusahasama dengan Sime Darby (membabitkan) 930 ekar, (manakala) Kerajaan Negeri 4,000 ekar,” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Penjelasan Guan Eng itu sekaligus menyanggah laporan akhbar berbahasa Cina tertentu, kononnya Guan Eng mahu menukar nama kawasan Batu Kawan pada 'Bandar Satelit Baru' tidak lama lagi.