Skip to main content

Keluar duit saku sendiri ke antarabangsa demi tinju – Wan Abdul Hamid Wan Mahmood

MEJOR (B) Wan Abdul Hamid Wan Mahmood semasa diwawancara di Kompleks MSNPP dekat Batu Uban baru-baru ini.

BELIAU mempunyai peranan yang penting dalam hampir semua kejohanan tinju peringkat antarabangsa untuk kategori terbuka, wanita mahupun belia yang dianjurkan oleh Persatuan Tinju Amatur Antarabangsa (AIBA).

Beliau merupakan satu-satunya anak Malaysia yang diiktiraf sebagai Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO), oleh AIBA sendiri.

Maka, tidak hairanlah Mejar (B) Wan Abdul Hamid Wan Mahmood, 63, tersenarai sebagai salah seorang daripada 11 penerima Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2014 di Hotel The Light dekat Seberang Jaya baru-baru ini.

Anak kelahiran Sarawak, tetapi bermastautin di Pulau Pinang lebih 20 tahun.

Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas sendiri yang menyerahkan Anugerah Tokoh Pemimpin Sukan 2015 kepada Wan Abdul Hamid.

Zainulfaqar Yaacob (kanan).
Fotojurnalis Zainulfaqar Yaacob berpeluang mengadakan wawancara dengan Wan Abdul Hamid, sungguhpun tokoh tersebut mengaku dihambat dengan tanggungjawab membuat persiapan pada suatu kejohanan tinju antarabangsa di Uzbekistan.

"Berasa sangat bangga kerana pencapaian kita dihargai.

"Biasanya, apabila ada kejohanan tinju peringkat antarabangsa, iaitu di luar rantau Asia tenggara, saya akan dipanggil, seperti di Uzbekistan tidak lama lagi.

"Bagaimanapun, Sukan SEA 2015 di Singapura ini, saya tak boleh masuk (bertugas sebagai ITO) kerana tak boleh menggunakan pegawai-pegawai daripada kontinjen yang sama (Malaysia)," jelas Wan Abdul Hamid.

Gigih Maju Diri
Wan Abdul Hamid bertinju di gelanggang pada tahun 1975 hingga 1980, semasa masih dalam jawatan di Angkatan Tentera Malaysia (TM) dan Kor Ranjer Diraja.

Tidak lama selepas itu, beliau mula meningkatkan profesionalisme diri dalam posisi pengadil secara berperingkat.

"Dalam tentera, saya bertugas sebagai pegawai latihan jasmani, maka, saya mempunyai masa lapang yang banyak untuk fokus pada sukan tinju ini.

"Selepas itu, saya menceburi bidang pengadilan, sebagai hakim bermula pada peringkat kebangsaan seterusnya meningkat ke peringkat Asia.

"Selepas peringkat Asia, barulah saya ke peringkat antarabangsa, iaitu AIBA (AIBA)," jelas beliau.

MASIH gagah, berpengalaman dikongsi.

Buru Bakat Baru
Rekod profesionalisme Wan Abdul Hamid melayakkannya dipilih menjadi Naib Presiden bagi Persekutuan Tinju Amatur Malaysia dan serta Presiden Persatuan Tinju Amatur Pulau Pinang.

"Sebagai pemimpin, saya senantiasa turun padang dan lihat perkembangan bakat baru untuk kita gilap secara fokus, bekerjasama dengan jurulatih negeri, Johnny Kasiran.


"Sebelum dipilih sebagai Presiden Persatuan Tinju Amatur Pulau Pinang pada tahun 2000, kita menganjurkan Kejohanan Tinju Malaysia di negeri ini buat kali pertama.

"Walaupun baru, pasukan kita (Pulau Pinang) sebagai tuan rumah berjaya mendapatkan dua (medal) emas semasa itu...dari situ saya mula fokus," jelas beliau.

Sejak itu, katanya, bakat baru senantiasa muncul dalam Persatuan Tinju Amatur Pulau Pinang, hatta menjadi salah satu pasukan penyumbang emas kepada Kontinjen Sukan Negeri.

"Sejak umur 14 tahun lagi, kita sudah boleh melihat bakat mereka ini, seperti Mikael Abdul Rahim yang kini sudah ada nama di peringkat kebangsaan.

"Ada beberapa gelanggang, antaranya di Indian Star Boxing Club dekat Relau, dan setiap kali kejohanan kita akan hantar bakat baru ini.

"Setiap kali temasya Sukan Malaysia (SUKMA), pasukan tinju Pulau Pinang tak pernah gagal menyumbang emas, dan rekod terbaik kita antaranya pada tahun 2010 di mana kita memenangi empat pingat emas dan satu perak.

"Kita tak ketandusan juara emas," jelas beliau sambil merakamkan penghargaan atas kemitmen Johnny Kasiran dan beberapa lagi 'orang lama' dalam sukan tinju di negeri ini.

Tambah beliau, Persatuan Tinju Amatur Pulau Pinang tidak mungkin boleh pergi jauh ini, tanpa sokongan yang tidak berbelah-bahagi daripada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, di bawah kepemimpinan pengerusinya, Dato' Freederick Tan Teck An.

Sumbangan perseorang pun banyak, katanya selepas pasukan tinju Pulau Pinang menyumbang emas kepada kontinjen negeri.

Bawa Bakat Ke Antarabangsa
Walaupun Persatuan Tinju Amatur Pulau Pinang sudah mempunyai rekod pencapaian tersendiri, Wan Abdul Hamid memberitahu masih banyak perancangan perlu dilakukan untuk membawa bakat baru negeri ke peringkat antarabangsa.

Justeru, beliau senantiasa mencari tajaan dan sokongan banyak pihak supaya bakat baru ini boleh berdiri di gelanggang antarabangsa.

"Memang status peninju kita masih 'jauh' jika dibandingkan dengan peninju dunia dari Kazakhtan dan Monggolia, tetapi, jika berjaya memasuki suku akhir, itu sudah pencapaian yang baik.

"Sebagai Naib Presiden Persekutuan Tinju Malaysia, saya memang ada bincang perkara ini, mungkin kita perlu mengubah cara pemilihan untuk menyertai skuad kebangsaan, jika mahu peninju negara ke peringkat antarabangsa," jelas beliau.

Atas profesionalisme Wan Abdul Hamid, beberapa peninju negeri pernah di bawah ke AIBA Women's World Boxing Championships 2012 dan AIBA Junior/Youth World Boxing di Taipie.

"Pulau Pinang pernah hantar tiga hingga empat peninju ke temasya antarabangsa.

"Kalau kita rasa peninju kita layak untuk menyertai kejohanan itu, maka kita boleh hantar supaya peninju kita boleh menimba pengalaman di peringkat antarabangsa," jelas beliau sambil optimis dengan masa depan sukan tinju negara.

Pahit Manis
Wan Abdul Hamid mengaku menguruskan persatuan tinju mempunyai cabaran tersendiri dan sangat berbeza dengan pahit manis pengalaman di gelanggang.

"Satu-satu penganjuran, nak tarik penyertaan ada pahit manisnya.

"Kedua, halangan daripada keluarga atlet sendir (kerana) tak ramai ahli keluarga sangguh melihat anak-naka mereka 'dibelasah' di gelanggang.

"Cabaran ketiga, tentulah dana. MSNPP memang ada memberi sokongan dana, tetapi kalau tidak cukup kita mesti sanggup keluarkan duit saku kita sendiri," katanya sambil berseloroh.

Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa peninju amatur berisiko mengidapi sakit parkinson, seperti lagenda peninju profesional Muhammad Ali.

"Kita ametur dan bukan profesional yang memang tak pakai sarung kepala, tetapi kita (amatur) pakai sarung kepala.

"Seperkara lagi, yang menjaga keselamatan peninju di gelanggang ini adalah pengadil, di mana mereka diberi kuasa untuk memberhentikan perlawanan di gelanggang demi menjaga keselamatan peninju," jelas beliau, sambil menolak sukan berusur ganas seperti tomoi siam dan sebagainya.

Harapan
Wan Abdul Abdul Hamid turut berharap lebih ramai lagi warganegara mempu meningkatkan profesionalisme sendiri dengan mengambil ujian berwajib di peringkat antarabangsa, daripada AIBA.

"Saya sendiri boleh sampai ke tahap ini kerana pengorbanan diri.

"Saya memang nak hantar beberapa lagi pegawai-pegawai kita untuk mengambil ujian peringkat antarabangsa di AIBA sendiri, tetapi mereka tidak sanggup untuk mengeluarkan duit saku sendiri, ikat perut untuk semua ini.

"Saya harap Kerajaan Negeri terus memberi sokongan kerana Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang mampu menganjurkan Kejohanan Tinju Antarabangsa tiap-tiap tahun, serentak dengan berlangsungnya Pesta Pulau Pinangh mulai 24 hingga 30 Disember...macam pelancongan sukan.

"Semua keyakinan Kerajaan Negeri, sokongan MSNPP dan tajaan perseorangan kepada Persatuan Tinju Amatur Pulau Pinang ini tidak datang bergolek, tetapi, kita masing-masing kena berusaha walaupun terpaksa mengeluarkan duit saku kita sendiri dahulu," jelasnya.