25 May 2015

RMK-11: Berapa unit rumah mampu milik untuk P.Pinang, Jagdeep tanya Putrajaya

JAGDEEP Singh Deo memberitahu wartawan bahawa beliau kesal dengan layanan dingin Putrajaya yang enggan membina PR1MA untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia di Pulau Pinang, di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT - Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei lepas hanya menyebut sejumlah 653,000 rumah mampu milik akan dibina di tanah air ini dalam tempoh lima tahun, tetapi masih tidak menyebut rancangan pembinaan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Pulau Pinang.

Justeru, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menggesa sekali lagi Kerajaan Pusat supaya tidak terus menganaktirikan rakyat Malaysia di Pulau Pinang, sebagaimana pada perbentangan Bajet 2015 pada bulan Disember tahun lepas.

Katanya, Bajet 2015 memperuntukan sejumlah RM1.8 bilion untuk membina 80,000 unit perumahan mampu milik di tanah air, namun, sehingga kini tiada pembangunan PR1MA di negeri ini.

Manakala, RMK-11 menyebut pembangunan PR1MA di empat bandar utama yang diklasifikasikan sebagai bandar-bandar berdaya saing, iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Berapakah daripada jumlah 80,000 dan 653,000 unit rumah mampu milik ini yang akan dibina di negeri Pulau Pinang,” ujar Jagdeep kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Jagdeep sekali lagi mendedahkan bahawa agensi Persekutuan sejak tahun 2012 langsung tidak pernah mengemukan permohonan rasmi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sama ada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atau Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), untuk pembinaan PR1MA di negeri ini.

Tambah Jagdeep, pembangkang Pulau Pinang sepatutnya turut mempengaruhi Putrajaya agar menghentikan layanan dingin ke atas rakyat Malaysia di negeri ini.

Ini kerana, katanya, ADUN Telok Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Ke-13 baru-baru ini, antara lain mengaku bahawa beliau akan memujuk Putrajaya untuk menunaikan janji membina PR1MA di negeri ini.

“Diharapkan bahawa warga Pulau Pinang tidak akan dianaktirikan dari segi pembekalan perumahan mampu milik di bawah PR1MA,” tegas Jagdeep lagi.

Sebelum itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menyerahkan lima keping cek yang setiap satu berjumlah RM500 kepada lima mangsa ribut di Flat Taman Nusantara dekat Jalan Perak di sini baru-baru ini.

Beliau turut menyerahkan sumbangan berupa lima biji tong sampah yang dimohon oleh komuniti Flat Taman Abidin, dalam satu program berasingan di sini.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus