25 May 2015

P.Pinang sokong langkah Kedah pulihara kawasan tadahan Ulu Muda

Bangunan PBAPP.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kira-kira 3.8 juta penduduk yang mendiami negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia akan mendapat manfaat jika kawasan tadahan sekitar Ulu Muda dipulihara oleh Kerajaan Negeri Kedah kelak.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pihaknya menyokong penuh langkah Kerajaan Negeri Kedah memohon pembiayaan daripada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan inisiatif tersebut.

“Langkah ini turut memberi manfaat kepada 3.8 juta orang di Kedah, termasuk Pulau Langkawi, dan juga Pulau Pinang dan Selatan Perlis.

“Oleh itu, (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang akan menyokong penuh permohonan (Kerajaan Negeri) Kedah untuk pembiayaan Persekutuan bagi melindungi kawasan tadahan sekitar Ulu Muda,” ujar Guan Eng yang juga Pengerusi Perbadangan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, kontroversi Kerajaan Negeri Kedah menuntut Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya membayar caj bagi air mentah yang diambil daripada Sungai Muda dalam sempadan negeri ini dijangka akan menjadi isu utama dalam Mesyuarat Agung Tahunan PBAPP pada 28 Mei ini.

Guan Eng memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Kedah sepatutnya tidak membuat tuntutan sedemikian memandangkan Sungai Muda jelas adalah ciri geografi semulajadi yang mentakrifkan sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, selaras dengan 'hak riparian' atau hak air, satu-satu pemilik tanah berhampiran sumber air mentah semula jadi mempunyai hak ke atas aliran semulajadi, asalkan atas penggunaan yang munasabah serta kegunaan yang bermanfaat.

“Dengan itu, Pulau Pinang berhak untuk mengekstrak air dari Sungai Muda selaras dengan hak airnya, Kedah juga melakukan perkara yang sama.

“Oleh sebab itulah, tiada apa-apa caj selama 40 tahun, demikian juga tiada keperluan untuk apa-apa caj hari ini atau pada masa akan datang,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Terdahulu, Guan Eng mempertikai respons Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili yang meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang berunding sendiri dengan Kerajaan Negeri Perak dalam pelaksanaan cadangan Skim Pemindahan Air Menterah Sungai Perak (SPRWTS).

SPRWTS penting demi memastikan sumber kedua air mentah ke negeri ini mencukupi pada tahun 2050 nanti, tetapi Putrajaya berpendapat cadangan itu “terlalu awal” serta Pulau Pinang dinasihatkan untuk menangani masalah kegunaan air berlebihan.

Lanjutan itu, Kerajaan Negeri mengabaikan syor Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tarif air, demi menampung kelewatan pelaksanaan SPRWTS tersebut.

Manakala, Kerajaan Negeri melalui PBAPP terus melakukan pelbagai langkah penjimatan sumber air hingga tiada langkah catuan seperti di beberapa negeri lain pada awal tahun ini.

Tidak cukup dengan itu, PBAPP turut diarahkan mengekalkan purata tarif terendah dan “paling mesra rakyat” berbanding negeri-negeri lain, iaitu hanya RM0.32 bagi setiap 1,000 liter bagi pengguna domestik sehingga 35,000 liter sebulan.

“Pada tahun 2014 dan 2015, negeri-negeri lain seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor, dan juga Taiping (dekat) Perak yang merupakan 'bandar paling basah' di negara ini terpaksa melaksanakan catuan air.


“(Namun,) tiada iada sebarang catuan di Pulau Pinang (kerana) Kerajaan Negeri telah mengarahkan PBAPP untuk mengelakkan catuan walau apa cara sekalipun,” jelas Guan Eng.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus