Skip to main content

George Town meliputi 'pulau', jelas Datuk Bandar MBPP

DATUK BANDAR MBPP Dato' Patahiyah Ismail (kiri) bersama-sama Akbar Mustapha pada sidang media di Komtar, George Town pada petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Pengiktirafan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang didakwa akan menghakis kenangan warga tempatan pada nama ibu negeri George Town itu sendiri mendapat reaksi langsung daripada Datuk Bandarnya, Dato' Patahiyah Ismail.

Dari segi sejarah, katanya, pengiktirafan George Town sebagai 'bandar raya' oleh Ratu Elizabeth II pada 1 Januari 1957 tidak pernah ditarik balik hingga kini.

Bagaimanapun, katanya lagi, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pula ditubuhkan semula pada 15 Disember 1976 berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan, 1976.

Justeru, katanya, sempadan sebenar George Town meliputi seluruh bahagian 'pulau', sebagaimana kekal dipertanggungjawabkan ke atas MBPP, kini.

"Dulu, dikenali sebagai 'Bandaraya George Town' oleh Ratu Elizabeth berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkannya.

Apa yang diberi oleh Ratu Elizabeth II itu tidak pernah ditarik balik, sebab itu kita kaitkan kita dapat pengiktirafan (George Town) sebagai 'bandar raya' itu pada (tahun) 1957.

"Jika ambil populasi di George Town sahaja, mengikut Akta Kerajaan Tempatan, jelas (MPPP) tidak layak (diiktiraf sebagai bandar raya).

"(Ini kerana,) salah satu kriterianya adalah populasi penduduk mesti melebihi 500,000 (orang), kita hanya mohon dan mereka (Putrajaya) yang beri (pengiktirafan George Town sebagai bandar raya').

"Berdasarkan populasi seluruh bahagian 'pulau', kita ada lebih 500,000 penduduk.

"Saya fikir tiada kekeliruan di sini...bagi saya, George Town itu (meliputi) seluruh bahagian Pulau," jelas Patahiyah pada Majlis Sidang Media Khas Sempena Pengiktirafan MBPP di Komtar di sini, petang tadi.

Sebelum itu, berapa wartawan meminta Patahiyah menjelaskan garis sempadan sebenar ibu negeri George Town, yang dikatakan tiada poskod rasmi dalam rekod POS Malaysia.

Ekoran itu, wartawan berkenaan mendakwa pengiktirafan MBPP pada 31 Mac lepas menambahkan lagi kekeliruan khalayak mengenai perkara berbangkit tersebut.

"Komtar ini ada poskod dan ada berada dalam George Town, tetapi, poskod George Town tiada dalam alamat rasmi (di pejabat POS sendiri)

"Hanya Komtar ada dalam alamat Pulau Pinang, jadi di mana ibu negeri (George Town)," tanya salah seorang wartawan kepada Patahiyah.

Patahiyah dalam reaksi spontan menjelaskan bahawa George Town telahpun diiktiraf oleh badan dunia UNESCO sejak 7 Julai 2008 lagi.

Maka, katanya lagi, kerjasama MBPP dengan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) diharap terus melestarikan nama ibu negeri Pulau Pinang itu dalam peta komersial dunia.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha MBPP, Ir. Ang Aing Thye, Akbar Mustapha (Pengarah Korporat MBPP) dan beberapa  pegawai berwajib yang lain masing-masing turut menjelaskan berhubung rancangan PBT berkenaan dalam memulihara semula bangunan-bangunan warisan di sekitar George Town; serta isu komuniti Tanjung Bungah mempertikai dua projek pemajuan berwajib oleh pemaju Kumpulan Boon Siew.