01 March 2015

Ringgit jatuh dorong kilang tingkat produktiviti, sembang-sembang PasMa P.Pinang

PENULIS (kiri sekali) merakamkan gambar kenang-kenangan dengan Arif Shah Omar Shah (dua dari kiri), Johari Omar (tiga dari kiri) dan Zolkifly Md Lazim (kanan sekali) sembang-sembang di Pekan Permatang Pauh, selepas program DEKPOS di sini pada pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERMATANG PAUH - Pelaburan Pulau Pinang bagi tahun 2014 yang direkodkan ketiga tertinggi di Malaysia pada angka RM8.2 bilion dengan peningkatan 109 peratus berbanding tahun sebelumnya turut dibincangkan dalam sembang-sembang #DEKPOS di Pekan Permatang Pauh, pagi tadi.

Bendahari Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Pulau Pinang, Tuan Haji Johari Omar berkata, perkembangan terbaru itu dijangka turut memulihkan kembali industri pengangkutan bas kilang kelak, yang kini masih diusahakan beliau di negeri ini.

"Sebelum ini, perkhidmatan bas kilang pun turut terjejas kerana penguncupan guna tenaga (pekerja kilang) serta produktiviti di kilang-kilang berasaskan E&E (Elektronik dan Elektronik) yang sedikit mengucup.

"Bagaimanapun, industri berasaskan perkhidmatan, terutama yang membekalkan barangan perubatan dan pengurusan darah seperti Haemonatic dengan angka pelaburan RM150 juta baru-baru ini nampaknya kian produktif.

"Selain itu, produktiviti kilang pada awal tahun selalunya agak berkurangan kerana bos-bos dari Eropah melanjutkan cuti mereka sejak perayaan Krismas lagi.

"Tetapi, tahun ini nampak berbeza dan lebih produktif kerana kejatuhan Ringgit Malaysia seolah-olah mendorong bos-bos kilang ini membeli lebih banyak barang untuk diproses di kilang masing-masing.

"Lagi saya tak faham dan terasa pelik, kilang aksesori mainan kanak-kanak seperti kilang Matel di Perai umpamanya begitu produktif sama ada masa Ringgit Malaysia jatuh kini atau tidak, (dengan) pengeluaran kira-kira 6.5 juta unit tiap-tiap minggu," ujar Johari dalam Diskusi Ekonomi Politik Sosial (DEKPOS) di sini.

Katanya lagi, produktiviti industri perkilangan dijangka kian produktif ini, walaupun akan turut terkesan oleh pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai 2 April depan, antara lain disebabkan oleh fokus Kerajaan Negeri menjadikan infrastruktur pelaburan yang sihat, kompetitif, demokratik serta berorientasikan perkhidmatan teknologi tinggi.

Sembang-sembang DEKPOS tadi dikendalikan sendiri oleh Tuan Haji Zolkifly Md Lazim, Pengerusi PasMa Pulau Pinang merangkap Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang.

Dalam perkembangan sama, bekas ADUN Umno bagi kawasan Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah yang kini merupakan ahli perniagaan kopi jenama tersendiri turut berkongsi informasi mengenai prospek industri makanan di negeri ini, selepas selesai program sembang-sembang DEKPOS.

Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) baru-baru ini merekodkan keseluruhan pelaburan di Pulau Pinang berjumlah RM8.2 bilion (RM8,162,372,366), iaitu RM3,048,778,075 daripada pelabur domestik dan baki RM5,113,594,291 daripada pelabur asing.

Jumlah keseluruhan pelaburan ke Pulau Pinang bagi tahun 2013 pula berjumlah RM3.9 bilion (RM3,912,256,265), iaitu RM2,117,861,775 daripada pelaburan domestik dan baki RM1,794,394,490 daripada pelaburan asing.

Berasaskan rekod dwi tahunan itu, sekaligus menunjukkan pelaburan ke Pulau Pinang bagi tahun 2014 meningkat kira-kira 109 peratus berbanding tahun 2013.

Laporan MIDA mendedahkan pelaburan masuk ke negeri paling tinggi bagi tahun 2014 adalah Johor yang berjumlah RM21.2 bilion, diikuti Sarawak (RM9.6 bilion), Pulau Pinang (RM8.2 bilion), Selangor (RM7 bilion), Kedah (RM5.3 bilion), Pahang (RM5.2 bilion), Melaka (RM4.5 bilion), Negeri Sembilan (RM3.1 bilion), Sabah (RM2.9 bilion), Perak (RM1.7 bilion), Terengganu (RM1.6 bilion), Kelantan (RM1.2 bilion), Perlis (RM212,908,237), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM49,044,878) dan Wilayah Persekutuan Labuan (RM33,081,891).

Keseluruhan pelaburan negeri-negeri bagi tahun 2014 berjumlah RM71.9 bilion (RM71,852,673,536), iaitu RM32,259,962,083 daripada pelabur domestik dan baki RM39,592,711,453 daripada pelabur asing.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus