Skip to main content

Harus iringi mayat non-muslim, kata myIKUT kepada saudara barunya

ZAINULFAQAR Yaacob di 1st Aveneu dekat George Town.

SOALAN:
Jiran saya seorang non-muslim meninggal dunia. Bolehkah saya mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan, esok? - Asyraf Tan


JAWAPAN:
Sesungguhnya wujud ikhtilaf cendekiawan Islam berhubung perkara berbangkit di atas.

Ada pendapat mengatakan haram dan ada pendapat yang lain mengatakannya harus.


Alasan Pengharaman
1. Upacara pengkebumian non-muslim keseluruhannya dianggap sebagai upacara ritual, maka hukumnya haram

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat {4} Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat {5} Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku {6}" 

[Surah Al-Kafiruun: 4-6]


2. Larangan solat jenazah ke atas munafik atas kekufuran mereka, maka diqiaskan hukum haram ke atas mengiringi jenazah non-muslim atas kekafiran mereka.

“Dan janganlah kamu menyembahyangkan mana-mana orang munafik yang telah mati, dan janganlah kamu berdiri pada kuburnya.” 

[Surah At-Taubah: 84]


3. Mengiringi jenazah non-muslim dijustifikasi menyerupai kekufuran mereka.

Ini bersandarkan pada satu lafaz umum hadith:

Man tasyabbaha bi qaumin, fahuminhum

Maksud:
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka”.


Alasan Pengharusan
1. Mengiringi jenazah merupakan bukan upacara khusus mana-mana agama ,selain Islam.

Bahkan, amalan itu merupakan penghormatan terakhir ke atas satu-satu jenazah yang nilai manusiawi tersebut ada dalam semua agama, termasuk muamalat Islam.

Maka, mengiringi jenazah kembali kepada pada hukum asal muamalat dalam Islam, iaitu harus.

Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut:

Al-Aslu fi al-asyya' al-ibahah

Maksud:
Asal (hukum) sesuatu (yang tiada nas melarangnya) adalah harus.

Maka, hukum mengiringi jenazah non-Muslim yang dijustifikasi harus ini tidak tertakluk pada maksud nas al-Quran pada ayat 4 hingga 6 daripada Surah Al-Kafiruun.


2. 'Qias Aneh' ditolak sebagai sumber hukum haram, maka mengiringi jenazah non-Muslim kembali pada hukum harus.

Merujuk pada dalatun nas ayat 84 daripada Surah At-Taubah sekalipun, tidak boleh mengqiaskan larangan menyembayangkan jenazah munafik boleh membawa hukum haram bagi Muslim yang mengiringi jenazah non-Muslim.

Ini, atas beberapa sebab:

Pertama, sembahyang jenazah non-Muslim di bawah kategori upacara ritual, sama sekali jelas berbeza dengan kebiasaan mengiringi jenazah yang amalannya bukan upacara khusus mana-mana agama.

Kedua, kemunafikan seorang Muslim itu ditentukan oleh waktu, maka larangan menyemayangkan golongan berpura-pura Muslim berkenaan pun mestilah berpandukan pada pimpinan wahyu, melalui perantaraan Rasulullah S.A.W pada zamannya sahaja.

Ketiga, kekafiran seorang itu ditentukan pada pengakuannya atau perbuatannya (baca: sembah berhala) secara merdeka, dan kekafiran seorang itu boleh dijustifikasi secara zahir.

Contoh, seorang anak sulung beragama Islam boleh mendekati maksud kekufuran, memadai dengan beliau menyempurnakan majlis membakar jenazah ibunya yang beragama Hindu.

Ini kerana, membakar jenazah ibunya itu terang-terangan secara zahir merupakan upacara ritual beragama hindu yang dikenali sebagai "antyesti" - hukumnya haram.

Berdasarkan tiga sebab di atas, sekaligus menjelaskan bahawa 'qias aneh' ditolak sebagai sumber hukum syarak pada persoalan berbangkit ini.


3. Status hadith "Man tasyabbaha bi qaumin, fahuminhum" yang dipertikai daripada segi kekuatan perawi (quwwatur rawi) dalam beberapa jalan sanadnya.

Antaranya, mengenai perawi ‘Abdurrahman bin Tsaabit bin Tsaubaan Al-‘Ansiy, Abu ‘Abdillah Asy-Syaamiy Ad-Dimasyqiy Az-Zaahid (75 – 165 H) daripada turuq 'Abdullah ibnu 'Umar r.a..

Ahmad bin Hanbal berkata : “Hadith-hadithnya munkar”. Di lain tempat ia berkata : “Tidak kuat dalam hadith”. Di lain tempat ia berkata : “Ia seorang ahli ibadah dari kalangan penduduk Syaam”. Yahyaa bin Ma’iin berkata : “Shaalih”. Di tempat lain ia berkata : “Dla’iif”. 

Ibnu Hajar menyimpulkan : “Shaduuq, sering keliru (yukhthi’), dituduh berpemahaman Qadariyyah, dan berubah hafalannya di akhir usianya” [At-Taqriib, hal. 572 no. 3844]. 

Adz-Dzahabiy memasukkanya dalam kitab Man Tukullima fiihi Wahuwa Muwatstsaqun au Shaalihul-Hadiith (hal. 324-325 no. 206). Di tempat lain Adz-Dzahabiy menyimpulkan: “Ia bukanlah seorang yang banyak hadithnya, bukan pula hujjah, akan tetapi seorang yang shaalihul-hadiith’ [Siyaru A’laamin-Nubalaa’, 7/314].

Al-Albaaniy berkata : “Hasanul-hadiith” [Irwaaul-Ghaliil, 2/136]. Di tempat lain ia berkata : “Hasanul-hadiith apabila tidak ada penyelisihan” [Ash-Shahiihah, 1/232]. Di tempat lain ia mengatakan : “Padanya ada kelemahan” [Dhilaalul-Jannaah no. 408]. Basyaar ‘Awwaad dan Al-Arna’uth berkata : “Shaduuq hasanul-hadiith” [Tahriirut-Taqriib, 2/309-310 no. 3820].

Kesimpulan, perawi seorang yang ahli ibadah lagi jujur. Akan tetapi, ia diperbincangkan dari segi hapalannya. Oleh karena itu, hadithnya hasan apabila tidak ada penyelisihan, sebagaimana dikatakan oleh Asy-Syaikh Al-Albaaniy.

Apalagi, dalam periwayatan dari Hassaan bin ‘Athiyyah ia tidak bersendiri.

Jika ingin berhujah dengan hadith ini sekalipun, ia masih di luar konteks persoalan berbangkit utama di atas, iaitu mengiringi jenazah non-Muslim bukan upacara khusus mana-mana agama.


4. Diharuskan untuk memberi ucapan takziah kepada keluarga atas kematian non-Muslim, sekaligus harus mengiringi jenazah sebagai penghormatan terakhir sesama manusia.

Ini berdasarkan firman Allah:

“Dan berkatalah dengan kata yang baik kepada manusia...” 

[Surah Baqarah: 83]

Yang dilarang adalah mendoakan keampunan ke atas non-Muslim yang telahpun meninggal dunia sahaja, kerana sabit dengan nas qat'iyatun thubut.

Firman Allah S.W.T. bermaksud:

"Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli Neraka."

[Surah At-Taubah: 133]


5. Islam sendiri tidak melarang membalas kebaikan daripada non-Islam, maka tidak salah menghormati keluarga jenazah non-Muslim.

Firman Allah S.W.T. bermaksud:

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

[Surah Al-Mumtahanah: 8]

Asbab an-nuzul: Asma' bin Abi Bakr melayan dingin pemberian hadiah baik daripada ibu kandungnya yang non-Muslim, hingga turunnya ayat di atas.


6. Diharuskan menghadiri majlis pengebumian kaum kerabat seperti ibu atau ayah yang non-Muslim.

Ini, berdasarkan maksud hadis daripada Ali bin Abu Talib r.a., berkata:

"Apabila kematian Abu Talib , aku jumpa Nabi S.A.W dan berkata: Sesungguhnya pakcik kamu yang sesat telah mati, siapa yang hendak kafankanya? Nabi jawab, Pergi kamu segera dan jangan cakap apa-apa sampai kamu datang semula. Ali berkata: Dia mati kafir. Nabi kata: Pergi cepat. Lalu, aku pergi mengkafankannya, kemudiannya berjumpa dengan Nabi S.A.W. Nabi kata: Pergi mandikannya dan jangan cakap apa-apa. Lalu, Ali r.a. pergi memandikannya dan berjumpa dengan Nabi S.A.W semula. Nabi S.A.W pun berdoa kebaikan untukku, yang mana aku tidak suka diganti doa tadi dengan unta yang mahal"

Inilah, pegangan mazhab Syafie dan Hanafi.

Imam Nawawi berkata dalam Majmuk antaranya menyebut, "Tidak makruh orang Islam mengiringi jenazah saudaranya yang kafir.”

Fatwa daripada Majlis Fatwa dan Kajian Eropah antara lain seperti di bawah:

“Harus orang Islam menghadiri penyelenggeraan jenazah ayahnya atau saudaranya yang bukan Islam. Tidak mengapa hadir pada upacara agama yang diadakan untuk mayat bukan islam (saudaranya) yang diadakan di gereja atau temple. Tetapi, tidak menyertai dalam doa, sembahyang atau bunyi-bunyian dan lain-lain yangg daripada agamanya. Demikian juga harus menghadiri pengkebumiannya. Hendaklah niatnya utk melaksanakan kebaikan dan menjaga silaturrahim."

Wallahu 'alam.



ZAINULFAQAR YAACOB
Sukarelawan/Fotojurnalis
Pertubuhan IKUT Mewakili 10,000 Suara Reverts Pulau Pinang (myIKUT)


+60194241583
zainulfaqary@gmail.com
faqar.blogspot.com