Skip to main content

Mampukah Abdul Hadi tanggalkan jubah perkaumannya dengan nasihat Kit Siang?


Terima kasih Hadi – Lim Kit Siang

Terima kasih kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, rakyat Malaysia kini mesti memikirkan kenapa tidak harus ada pilihan raya kerajaan tempatan di Malaysia, pada ulang tahun ke-50 pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan.

50 tahun lalu, pada 1 Mac 1965, perdana menteri waktu itu, Tunku Abdul Rahman menggantung pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan dengan alasan Konfrontasi Indonesia. Beliau bagaimanapun berjanji sebaik sahaja keadaan kembali aman, beliau jamin pilihan raya akan dilaksanakan.Saya pastinya tidak bersetuju dengan dakwaan Hadi yang pilihan raya kerajaan tempatan boleh membawa kepada rusuhan kaum seperti tragedi 13 Mei."

Malah, ini kali pertama sesiapa pun mendakwa kembalinya pilihan raya kerajaan tempatan boleh mengakibatkan satu lagi rusuhan kaum ala 13 Mei.

Sebab berlakunya rusuhan 13 Mei masih lagi rahsia yang disimpan ketat, dan ini sebabnya dalam ucapan pertama saya di Parlimen pada bulan Februari 1971, saya menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menjalankan kajian meluas tentang sebab-sebab ia tercetus.

Saya tidak bercadang untuk membincangkan punca-punca 13 Mei, tetapi ia bukanlah berpunca daripada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 bahkan berpunca daripada elemen-elemen tidak bertanggungjawab yang mengeksploitasi pilihan raya terbabit demi kepentingan sendiri.Justeru, satu tanggapan yang salah sekiranya sesiapa mendakwa mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan akan menyebabkan berlakunya lagi rusuhan kaum 13 Mei.

Bagaimana pun, setelah Hadi membuka jalan, saya tidak akan terkejut sekiranya alasan ini digunakan oleh pemimpin reaksionari Barisan Nasional (BN) sebagai satu lagi sebab membantah pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan.Rakyat Malaysia sudah pun menyaksikan paparan luar biasa oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang bingkas menyokong seorang pemimpin pembangkang – dengan logik mengarutnya yang tersendiri.

Ramai yang nampaknya sudah lupa demokrasi kerajaan tempatan yang begitu bertenaga pernah wujud di negara ini pada 1950’an dan separuh pertama dekad 1960’an.

Dahulunya ada 373 pihak berkuasa tempatan dengan lebih 3,000 ahli majlis yang dipilih melalui pilihan raya sebelum pilihan raya kerajaan tempatan digantung pelaksanaannya pada 1965.

Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja diketuai Datuk Athi Nahappan ditubuhkan untuk mengkaji mekanisma kerajaan tempatan, yang mencadangkan supaya pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan.Namun sebuah undang-undang diluluskan pada 1976 untuk memansuhkan pilihan raya kerajaan tempatan, dan walaupun hujah sebuah kerajaan tempatan yang lebih cekap dan bertanggungjawab dikemukakan bagi memansuhkan pilihan raya kerajaan tempatan, sebab sebenarnya ialah pemimpin BN pada waktu itu tidak yakin boleh menang dalam pilihan raya kerajaan tempatan – atau kurangnya komitmen terhadap demokrasi dan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik.

Adalah salah juga untuk sesiapa berhujah pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan akan memberi kelebihan kepada satu-satu kaum sahaja, dengan alasan kawasan bandar didominasi kaum Cina, dan DAP akan mendapat untung.Ini menafikan proses urbanisasi warga Melayu selama 45 tahun sejak PRU1969.

Sepertimana yang disebut oleh Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming dalam kenyataannya hari ini, komposisi etnik di kebanyakan majlis bandaran berubah secara signifikan sejak insiden 13 Mei 1969. Penghijrahan besar-besaran warga Melayu dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar menjadikan kawasan seperti Kuala Lumpur jauh berbeza hari ini berbanding sewaktu 1969.

Menurut data bancian 2010, populasi warga Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (45.9%) melebihi populasi warga Cina (43.2%). Malah daripada 3 Dewan Bandaraya, 9 Majlis Perbandaran dan 37 Majlis Daerah di Malaysia, hanya 6 yang mempunyai populasi warga Cina yang melebihi Melayu – Ipoh, Kuching Selatan, Johor Baru Tengah, Pulau Pinang, Sibu dan Subang Jaya!Dengan kata lain, 88% daripada kawasan bandar ini mempunyai penduduk Melayu yang ramai. Malah di tempat seperti Petaling Jaya, populasi Melayu (46.2%) melebihi warga Cina (39.6%).

Saya tidak rasa Kian Ming boleh dipersalahkan apabila beliau merumuskan:“Sementara orang Melayu mungkin kurang diwakili dalam populasi pengundi di kebanyakan kawasan bandar akibat daripada profil demografi yang lebih muda, adalah salah untuk mendakwa DAP akan mendominasi pilihan raya kerajaan tempatan dengan alasan kawasan bandar didominasi warga Cina ”58 tahun selepas merdeka dan 52 tahun selepas penubuhan Malaysia, rakyat Malaysia seharusnya bergerak menjauhi politik perkauman dan mendekati politik keterangkuman, menerima kesemuanya sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, daerah, umur dan jantina.

Pilihan raya 2008 dan 2013 adalah bukti politik keterangkuman menyatukan rakyat Malaysia, berbanding politik ‘pecah dan perintah’ yang mengesampingkan, dan inilah satu sebab penting kenapa selepas 50 tahun, pilihan raya kerajaan tempatan wajar dikembalikan ke Malaysia. – 25 Januari, 2015.

* Penulis adalah ketua Parlimen DAP merangkap ahli Parlimen Gelang Patah.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.