Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, langkah merobohkan Pasar Awam Balik Pulau dilakukan selepas Jabatan Warisan Negeri menjustifikasikan pasar tersebut bukan bangunan warisan.
"Pasar di lokasi sedia ada ini asalnya dibina pada tahun 1914.
"Bagaimanapun, ianya telah diubah suai dan mengalami perubahan serta pemajuan semula yang ketara.
"Oleh itu, dipersetujui bangunan ini boleh dirobohkan," ujar Kon Yeow pada sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, malam ini.
Menurut Kon Yeow, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dalam proses menyediakan surat penyataan hasrat (RFP) untuk projek pemajuan di atas tapak lama pasar awam berkenaan.
"Berdasarkan draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau), tapak pasar ini dicadangkan sebagai pusat sivik.
"Pemajuan berkonsep cultural tourism atau cultural market...sebagai mempromosi produk agrikultur serta mengekalkan aktiviti jual beli," ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Tambah beliau, isu parkir serta tempat letak kereta Pasar Awam Balik Pulau adalah salah satu kawasan pasar yang telah diwartakan di bawah Sistem Letak Kereta baharu mulai 1 Januari 2014.
Terdahulu, ADUN Pulau Betong, Sr. Mohamad Farid Saad mempertikai langkah perobohan Pasar Awam Balik Pulau yang didakwa sebagai bangunan warisan kerana dibina pada tahun 1914.
No comments:
Post a Comment