13 October 2014

Pengecualian faedah bank mampu kurangkan jumlah hutang isi rumah - Guan Eng

SEORANG warga emas buta (bertudung) diiringi waris (paling kiri) menerima sumbangan daripada wakil penganjur di sini, pada Sabtu lepas. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM - Pengecualian bayar balik faedah pinjaman peribadi bagi mereka yang berpendapatan isi rumah bulanan kurang daripada RM5,000 wajar dipertimbang oleh Bank Negara Malaysia (BNM) demi mengurangkan risiko bankrap lebih ramai warganegara.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, syor itu sekaligus mampu mengurangkan lagi rekod hutang isi rumah di negara ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian semasa jumlah hutang isi rumah terus meningkat, sungguhpun dilaporkan dalam kadar perlahan sejak tahun 2010 lagi.

"Pengecualian bayar balik faedah (interest) sahaja, tetapi, dengan syarat jumlah pinjaman pokok mesti dibayar (kepada bank),"

"Jika dikecualikan pembayaran faedah ini, saya percaya lebih banyak hutang boleh dikutip kerana rakyat yang tidak mampu hanya bayar balik (jumlah hutang) 'pokok' saja," jelas Guan Eng pada Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Kepada 500 Penerima Terpilih Daripada Pelbagai Bangsa, anjuran bersama Jawatankuasa Perkhidmatan Datuk Seri R.A dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Butterworth.

LIM Guan Eng menyampaikan ucapan sebelum menyempurnakan majlis pemberian sumbangan Deepavali kepada 500 penerima terpilih daripada pelbagai bangsa, anjuran Jawatankuasa Perkhidmatan Datuk Seri R.A., di sini baru-baru ini.

(Dari kiri, depan) PHEE Boon Poh, P. Ramasamy, Lim Guan Eng, R. Arunasalam dan A. Thanasekaran di pentas utama di sini, Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy dan Datuk Seri R. Arunasalam (Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Datuk Seri R.A.) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh, A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam) dan Tan Sri Mohd. Yussof Latiff (Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, PEMENANG).

Difahamkan, BNM dalam laporan tahunannya pernah mendedahkan hutang isi rumah bagi tahun 2009 meningkat kepada 76.6 peratus dan pernah dikatakan rekod kedua tertinggi di Asia, berbanding 63.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2008.

Bagaimanapun, peningkatan jumlah hutang isi rumah sejak tahun 2010 pada kadar paling perlahan, iaitu sebanyak 9.9 peratus kepada RM904.3 bilion dan merangkumi 86.7% daripada KDNK nominal pada akhir Jun 2014. 

Daripada perangkaan itu, Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan turut mendedahkan, kadar hutang isi rumah menunjukkan penurunan daripada 11.5 peratus atau RM855.9 bilion yang dicatat pada akhir 2013. 

Laporan sama turut merumuskan hutang isi rumah termasuk pinjaman, terutama yang diberikan oleh sistem perbankan, institusi kewangan pembangunan, Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan dan institusi kredit lain.

KETUA Menteri dan pemimpin Kerajaan Negeri disambut sederhana oleh hadirin di sini, Sabtu lepas.

Sebelum itu, Guan Eng turut memuji insiatif tahunan pasukan Arunasalam sejak 35 tahun lepas konsistan menganjurkan program sumbangan kepada golongan terpilih di negeri ini.

Manakala, penerima, Abdul Razak Mohd. Shariff (kiri), 56, yang ditemui kemudian merakamkan penghargaan kepada penganjur majlis sumbangan tersebut.

"Saya terima sumbangan kali kedua hari ini walaupun sumbangan ini diberikan sempena Deepavali...sekurang-kurangnya ini boleh tambah sara hidup bulanan," ujar Abdul Razak, penduduk Kampung Kubur dekat Bagan.
Nada yang sama turut diluahkan oleh penerima, Ong Ah Shor, 83.





"Sudah banyak kali saya terima sumbangan ini...tentu gembira kerana kita sudah tua dan perlu sokongan," jelas Ah Shor.


Kharthar Singh, 71, pula berkata, penerima terpilih yang terdiri daripada pelbagai bangsa mencerminkan penganjur berjiwa 'Malaysia'.




"Saya sangat gembira...ini jiwa Malaysia yang sebenar di mana mereka yang pelbagai kaum ini dipilih (menerima sumbangan Deepavali) atas sebab keperluan mereka," jelas Khartar. 

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus