Al Marhum Ustaz Fadhil Noor:
PILU MENGENANG MU..
Tampak ada kerinduan kepada sosok penggerak perubahan Almarhum Ustaz Fadzil Noor ketika Dr Dzulkefly Ahmad menuturkan nama beliau. Setiap kali nama Fadzil Noor disebut, mata Dr Dzul nampak berkaca, dan ada senyum yang tersorok di bibirnya.
Dr Dzulkifli Ahmad bertanding buat kali pertama 1999, setelah menyertai PAS setahun sebelumnya, iaitu sewaktu gerakan Reformasi sedang rancak. Beliau tidak isi borang Parti Keadilan kerana katanya memang pemikirannya Islamis.
“Ketika itu sosok transformasional PAS adalah Fadzil Noor. Arwahlah sumber ketokohan, dengan pemikiran yang baik dan progresif. Saya dan kawan-kawan tertarik.”
Ketika itu PAS baru mahu bertukar katanya. “Kami waktu itu golongan profesional, termasuklah si Hasan Ali dan yang lain-lain, mahu membuat perubahan besar dalam PAS.”
“Kita mahu mengarusperdanakan PAS, Hasan Ali pun datang dengan pelbagai idea; tak mahu PAS jadi parti tok lebai dan parti orang kampung. Itu yang diminta oleh Ustaz Fadzil,” ujar Pengarah Pusat Penyelidikan PAS itu.
Pencetus penglibatan Dr Dzul serta lebih penting lagi kemenangan besar PAS pada pilihanraya umum tahun 1999 memang gerakan rakyat pasca pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menurut beliau itulah yang PAS kerap lupa.
Menurut Dr Dzul, PAS kerap lupa bahawa kemenangan pada tahun 1999 adalah hasil daripada peristiwa pemecatan, serta penolakan orang Melayu terhadap politik Umno dan kebobrokannya.
“Sebab itu ketika PAS silap menanggapi sebab kemenangan 1999, ada yang mengatakan bahawa umat Melayu Islam sudah bersedia menjadikan negara ini negara Islam. Itulah pembacaan paling salah terhadap situasi tersebut.”
“Dan kita pada pilihanraya 2004 telah diberikan satu pengajaran supaya bijak, teliti, dan cermat membaca politik negara,” ujarnya.
PAS pasca 1999
Selepas pilihanraya 1999, PAS diangkat mengetuai blok pembangkang setelah memenangi 27 kerusi. PAS juga dilihat sebagai parti yang berupaya menyaingi Umno. Namun amat malang sekali apabila pemikiran politik arus perdana tidak ‘masuk’ dengan kedudukan PAS di pentas utama.
Setelah sekian lama tersekat kiprahnya di negeri lingkaran Melayu, keupayaan dan sumbangan PAS membina Barisan Alternatif adalah pengalaman PAS yang sangat besar.
“Namun ia tidak berkekalan kerana dari sudut ideologi, PAS tidak mengalami satu perubahan minda dan worldview,” kata beliau.
Menurutnya, PAS sendiri mungkin terkejut dengan keupayaan memenangi kerusi sebanyak itu. Dan apabila hilang tokoh transformasi Fadzil Noor, segera PAS kembali beberapa langkah ke belakang apabila perubahan besar yang meletakkan PAS dalam politik arus perdana itu mengalami gendala dari sudut doktrin dan perubahan fikrahnya.
Sejurus selepas itu, PAS menampilkan Dokumen Negara Islam walaupun, menurut Dr Dzul, Almarhum Ustaz Fadzil Noor mahukan PAS menampilkan dokumen yang berbeza, iaitu sebuah memorandum rakyat bertemakan pemerintahan dalam politik alaf ke-21 yang berteraskan Islam.
“Memang benar mereka menolak politik kezaliman dan kebobrokan (pada tahun 1990). Tetapi untuk mendakap dan menerima seluruhnya politik Islam secara PAS itu bukan sesuatu yang semestinya.”
“Alangkah baik sekiranya PAS mengambil langkah-langkah yang lebih cermat seperti yang dicadangkan oleh Ustaz Fadzil Noor.”
Namun bagi beliau politik ini sangat kompleks, ia tidak semudah membaca sains politik di dewan kuliah.
“Politik itu perlu dilalui dan didepani dengan pelbagai situasi dan gendala serta perhitungan.”
Ketika PAS mengalami kekalahan dalam PRU tahun 2004 satu post-mortem secara lebih besar dilakukan, dipengerusikan oleh Datuk Mustafa Ali, manakala Dr Dzul setiausahanya.
Menurut beliau, post mortem itu sangat baik, bermaklumat dan menginsafkan. Post mortem tersebut menjelaskan bahawa antara punca besar kekalahan 2004 ialah pelancaran Dokumen Negara Islam “yang dilancar tetapi tidak diurus pencerahan dan penerangannya.”
Akibat daripada situasi tersebut sebahagian besar daripada pengundi, khususnya yang bukan-Islam dan bukan-Melayu merasakan PAS sudah kembali kepada asal dan mahu menekankan Islam ke atas semua. Kononnya juga PAS mahu menjadikan negara ini negara Islam, maka yang bukan-Islam jadi rakyat kelas kedua dan menjadi kafir dzimmi.
“Inilah akibat daripada tidak mengurus penerangan itu dalam jangkamasa antara 2002 sehingga 2004. Walaupun dengan konflik dan perbalahan waktu itu menenggelamkan isu negara Islam, tetapi orang ramai telah melekatkan dalam kepala mereka bahawa PAS ini kalau diberikan kuasa akan menubuhkan negara Islam dan bukan negara demokrasi berprinsip Islam.”
Hal itulah yang menjadi ketakutan, sehinggalah tahun 2008 apabila PAS dengan beraninya membuat transformasi kali kedua yang, menurut Dr Dzul, “kali ini dibuat secara sedar.”
Transformasi sedar PAS kali kedua
“Transformasi pertama pada tahun 1999 itu dibuat secara kurang sedar. Ia hanya wujud dalam peribadi diri tokoh arwah presiden itu sahaja yang membawa perubahan-perubahan itu.”
Dalam pergerakan sosial, kerap kali gagasan tercetus dahulu, baru datang pergerakannya. Namun ada kalanya terbalik. Contohnya sewaktu Revolusi Industri, ideolog yang membawa faham liberalisme bercakap tentang posisi individualisme dan hak memiliki harta itu semua datang sebagai justifikasi kepada revolusi tersebut.
Manakala Marx pula datang membawa pencerahan yang jelas mengapa kapitalisme itu mesti dirombak dan diperangi kerana manusia seandainya diberikan hak dan kebebasan individu akan mengumpul segala kuasa dan wang ringgit untuk menindas yang lain.
“Di sini Marx sebagai ideolognya menurunkan idealismenya itu sebelum berlaku revolusi.”
“Justeru apa yang saya maksudkan sekarang ini ialah perubahan perlu didahului idea dan penjelasan tentang apa yang sebenarnya yang perlu ditampilkan oleh gerakan Islam dan Islam politikal.”
Beliau mengira bahawa perbezaan Ikhwanul Muslimin dan Rashid Ghannouchi adalah sangat ketara dan perlu diambil perhatian oleh PAS.
“Ghannouchi, ketika mengambil suaka politik di UK, menulis dan memperturunkan pemikirannya tentang demokrat Islam dan sebagainya, dan berlaku pencerahan tentang bagaimana Islam yang politikal akan berperanan dalam perjuangan seterusnya.”
“Sebaliknya kita lihat Ikhwan di Mesir sekadar membawa idea-idea Al-Banna yang lama; yang tidak ada pencerahan atau perubahan besar dari sudut menggarap demokrasi dan cabarannya.”
Inilah dia yang beliau kira satu kelompangan. Namun PAS berbeza dengan gerakan Islam yang lain kerana diletakkan dalam satu negara yang sifatnya sangat plural.
“Kemajmukan itu adalah cabaran yang berbeza jika dibanding dengan Morsi, Ghannouchi, PKS di Indonesia dan juga yang lainnya.”
“Di sini, pemikir-pemikir gerakan Islam perlu menurunkan, antara lain, cara-cara untuk memahamkan Islam dalam bentuk ‘PAS for All’.”
Baginya slogan “PAS for all” itu sangat memerlukan pengisian; dan baginya juga penterjemahan itu ada dalam tahalluf siyasi bersama DAP dan PKR.
“Langkah tahalluf itu bukan sahaja satu kemudahan politik tetapi juga jalan untuk menterjemahkan ‘PAS for All’.”
“Kalau PAS mampu untuk bersama dalam satu muafakat politik bersama DAP yang punya ideologi yang berbeza dan PKR yang juga tidak mempunyai ideologi yang sama, bermakna ia sudah pun mampu berhubung dengan pemain-pemain politik yang satu hari nanti akan mampu mengambil alih negara.”
Namun dalam keadaan sekarang ketika kelihatan seolah-olah ada pihak dalam PAS yang tidak selesa dengan “PAS for All” dan tahalluf-nya. Dr Dzul mengharapkan supaya berlaku dalam PAS sendiri satu proses kesedaran dan keinsafan untuk memahami apa itu Islam yang politikal, dalam konteks cabaran, perjuangan, dan tuntutan, termasuk tuntutan tahalluf sebuah pakatan politik.
“Mesti ada satu tinjauan semula ilmu dan ditafsirkan ke dalam konteks perjuangan hari ini. Kalau tidak, banyak halangan-halangan dan hujah ‘tidak boleh’ dari segi akomodasi politik dalam tahalluf.”
“Ini yang sedang berlaku sekarang ini apabila begitu mudah orang mengatakan ‘kalau tahalluf siyasi tidak menguntungkan PAS, kita akan keluar.’ Persoalannya, apa maksud ‘menguntungkan’, apa yang bercanggah, apa yang bertembungan dengan prinsip dan apa pula prinsip yang bertembung.”
Baginya, semua ini tidak melalui satu diskursus ideologi yang memerlukan gandingan ulama dan pemikir serta ilmuan Islam.
“Saya kira Ghannouchi sangat ke depan dalam hal ini, dan PAS memerlukan itu. Inilah dia lompangnya.”
“Kita tidak boleh menangani cabaran perjuangan hari ini dengan kembali kepada fikrah 60-an dan 70-an. Perlu ada ijtihad-ijtihad baru.”
No comments:
Post a Comment