Saya memerhatikan pergolakan Selangor sambil mendisiplinkan diri dengan membisu sekian lama. Diharapkan ia tidak menambahkan kekeruhan sedia ada sekalipun sekian ramai awak-awak telah mengharu birukan lagi keadaan dengan komen-komen yang sesetengahnya tidak bertanggung jawab, bahkan mencederakan nama baik PAS.
Tikus lebih mudah merosakkan labu kerana menghancurkan lebih mudah dari membina.
Namun begitu, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai seorang insan gentleman dan berakhlak mulia mesti tahu batas beliau boleh menumpang PAS. Beliau boleh mendapatkan simpati, perlindungan sementara dan sokongan PAS dalam lingkungan semangat Pakatan Rakyat. Presiden PAS telah menghulurkan ranting zaitun untuk beliau. Episod itu telah berlalu.
Perkembangan lain telah berlaku selepas episod itu. Di mana PAS tidak wajar timbul tenggelam bersekali Tan Sri Khalid dan menggorbankan prinsipnya yang lebih besar, nama baiknya, akhlak politik yang dipegangnya dan amanah atas nama PAkatan rakyat yang ia perolehi dari rakyat Selangor.
Tan Sri telah dipecat sebagai ahli PKR. Oleh kerana beliau belum diterima menjadi ahli mana-mana parti gabungan Pakatan Rakyat, ia bukan mewakili PR lagi.
Tan Sri sedar sepenuhnya hal ini ?
Kerajaan Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat. Bukan kerajaan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Bagaimana seorang ADUN bukan anggota PR boleh terus menjadi MB Pakatan Rakyat?
Tan Sri memecat exconya dari PKR dan DAP. Juga mengambil pelbagai langkah politik lain lagi yang ikut memalitkan PAS tetapi PAs tidak pernah tahu mengenainya.
Tindakan ini boleh memecah belahkan Pakatan kerana seakan menunjukkan PAS terus mendokong MB yang sudah hilang legitimasi.
Ia merosakkan PAS dan Tan Sri tidak berhak berbuat demikian kepada PAS.
Untuk memecat Exco dari PKR dan DAP dan mengekalkan PAS, ia mesti dibincangkan lebih dahulu dengan PAS (Jawatankuasa PAS Pusat) dan mendapat persetujuan gabungan yang lain.
Setahu saya, PAS Pusat tidak pernah bermesyuarat dalam tempoh ini untuk memutuskan kedudukan itu.
Saya selaku salah seorang Naib Presiden tidak pernah dimaklumkan oleh mana-mana pihak tentang hal ini. Setahu saya, PAS Pusat juga tidak pernah memberikan mandat kepada sesiapa untuk memutuskan perkara ini.
Dengan ini, Tan Sri telah melibatkan PAS untuk survival Tan Sri sebagai MB dengan cara yang menjejaskan nama baik PAS di mata rakyat Selangor. Ini sangat tidak wajar.
Bagaimana Tan Sri boleh kekal sebagai MB dengan tidak melepaskan jawatan secara bermaruah pada hari sama Tan Sri dipecat sebagai ahli PKR? Sultan menitahkan untuk Tan Sri kekal adalah kebijaksanaan baginda tetapi Tan Sri mempunyai pilihan untuk menolak perkenan itu atas pilihan Tan Sri sendiri.
Apa lagi bertindak seakan Tan Sri masih berkuasa penuh pada hal asas legitimasi Tan Sri sudah runtuh. Untuk kekal sebagai MB, Tan Sri tidak boleh mencaturkan 15 ADUN PAS untuk menggenapkan cukup bilang bagi pembentukan kerajaan Selangor PAS + UMNO + TSKI + lompat parti DAP/PKR.
Itu sangat tidak bermoral. Itu meniru gaya UMNO di Perak. Perbuatan terkutuk dan ditolak oleh amalan demokrasi yang mulia. Memasukkan perkongsian kuasa PAS dan UMNO melanggar banyak prinsip yang dipegang oleh PAS selama ini.
UMNO adalah lawan PAS dan tidak ada mana-mana kuasa dalam PAS boleh mengizinkan PAS berkongsi kuasa dengan UMNO tanpa melalui kelulusan Muktamar Agung PAS.
Ia tidak mungkin dilakukan dalam jangka masa Tan Sri membilang jumlah ADUN untuk mengekalkan Tan Sri sebagai MB sekarang. Tan Sri sudah tidak mempunyai cukup bilang sekarang.
Jika itu dilakukan oleh PAS, bermakna PAS menerima hubungan 'sodomy'. 15 ADUN PAS dipilih oleh rakyat Selangor atas tiket kerja sama Pakatan Rakyat. UMNO ditolak oleh majoriti rakyat Selangor kecuali di 13 dun. Kedudukan UMNO adalah sebagai pembangkang dan PAS adalah sebahagian dari Kerajaan Selangor.
Membawa UMNO dari pembangkang dan duduk sebagai kerajaan bersama PAS dengan menolak dua lagi parti gabungan yang telah dipilih secara sah oleh rakyat adalah perbuatan terkutuk yang tidak dizinkan oleh Islam.
Islam tidak mengizinkan pengkhianatan. Islam tidak mengizinkan pecah amanah. Dalam hal ini, amanah majoriti pengundi Selangor memilih Pakatan sebagai kerajaan dan menolak UMNO.
Tan Sri sebagai tokoh korporat yang biasa dengan angka tentu tahu, sekalipun 15 ADUN PAS campur 13 ADUN UMNO campur Tan Sri, ia hanya berjumlah 29 ADUN dari 58 jumlah ADUN.
50:50. Ia tidak membolehkan Tan Sri mendapat simple majority dari awal, sekalipun jika PAS dan UMNO sanggup bersekongkol untuk mendaulatkan seorang insan bernama Khalid Ibrahim lebih dari segala-galanya.
Sementalah PAS dan UMNO kedua-duanya, secara pendirian parti yang rasmi, tidak pernah memberikan persetujuan itu sehingga hari ini. Hari Jumaat yang mulia - 15 Ogos 2014 - hari ini.
Jika Tan Sri mengharapkan YB Rodziah dan YB Teng yang disebut-sebut kononnya akan bersama Tan Sri sehingga Tan Sri melewatkan pemecatan YB Rodziah berbanding yang lain, namun mereka telah mengambil pendirian insan bermaruah dan pendekar terbilang kerana kekal bersama parti masing-masing.
Syabas! Saya amat bangga dengan mereka dan ia telah memberikan hiburan bagi hati yang gundah di tengah kecenderungan menggunakan 'jual beli kuda taruhan' .
Kentalnya YB Rodziah menolak tawaran kekal dalam Exco sekalipun berkereta besar dan bergaji lumayan adalah satu tamparan yang patut menyedarkan Tan Sri pada saat itu juga.
Legitimasi Tan Sri sebagai MB sudah berakhir.
Harapan mendapatkan sekurang-kurangnya seorang ADUN untuk mendapatkan simple majority sudah tertutup.
Apa lagi bila dua ADUN PAS mengambil langkah bersendiri mereka menolak Tan Sri sebagai MB secara terbuka.
Sekalipun jika jarum jam boleh berpatah ke belakang, saya akan menasihatkan mereka untuk terlebih dahulu mendapat restu parti. Itu yang terbaik.
Tetapi tindakan mereka telah meletakkan usaha pihak mana jua untuk mewujudkan sebuah kerajaan gabungan PAS+UMNO+TSKI+lompat gagal dan mustahil.
Tan Sri tahu ini.
Lantas, apa lagi yang ditunggu?
Tidakkah mulia untuk Tan Sri bermaruah melepaskan jawatan MB?
Atau Tan Sri kini berfikir untuk membubarkan DUN?
Bukankah tindakan itu akan menyusahkan Tuanku Sultan Selangor?
Kenapa tidak pada tarikh Tan Sri mengadap Sultan Selangor baru ini Tan Sri mencadangkan DUN di bubarkan?
Jika kerana Tan Sri gagal mendapatkan cukup bilang Sultan Selangor mengambil langkah membubarkan DUN, ia pada hemat saya, akan mencemarkan istitusi diraja.
Model Perak di mana tokoh yang mendapat sokongan majoriti dilantik tanpa pembubaran DUN dan tanpa sidang DUN hendaklah menjadi cermin. PAS telah mengalami pengalaman yang pahit bila MB Kelantan yang dilantik atas tiket PAS dan hendak ditukar oleh PAS, antara lain bukan kerana kesalahan jenayah rasuah tetapi semata-mata kerana gagal mengikut semangat dan arahan parti, telah mencetuskan krisis disebabkan UMNO melanggar konvensyen urusan parti lain tidak boleh dicampuri oelh parti gabungan yang lain.
Malangnya UMNO melanggar konvensyen itu. Lama PAS mengutuk tindakan jahat UMNO. Dari dulu hingga kini. Ia tercatat dalam dokumen rasmi PAS, ucapan pemimpinnya dan tesis para mahasiswa.
Oleh itu, TAN SRI harus tidak mengheret PAS dalam krisis TAN SRI. Parti TAN SRI berhak menukar TAN SRI dengan calon lain.
PAS boleh memberikan pandangan tetapi harus akur prerogative itu adalah hak PKR.
Itulah yang berlaku di Kedah semasa ada pandangan YAB Ustaz Azizan wajar ditukar sebagai MB.
PKR tidak menjamah urusan itu.
Jika Tan Sri berterusan mengheret PAS, seakan TAN SRI mahu PAS dilihat melanggar konvensyen yang ia telah junjung sejak ia kehilangan kuasa di Kelantan 1978. Jika budi PAS yang telah menunjukkan setia kawan bersama TAN SRI dihargai, janganlah PAS diseret lebih jauh.
Meletakkan jawatan adalah langkah terhormat. Ia bukan akhir sebuah karier politik.
Bertindak secara tidak bermaruah itulah sebenarnya akhir sebuah karier politik. Dan hitamnya rekod kehidupan.
Pada hari Jumaat yang berkat ini, kita memohon panduan Allah swt.
Husam Musa
Naib Presiden PAS
15 Ogos 2014.
No comments:
Post a Comment