05 August 2014

Abd. Malek berjuang tak pilih bulu

SELAMA empat penggal atau lapan tahun, beliau diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang (Gabungan).

Walaupun bertongkat, Abd. Malek Darus (GAMBAR ATAS), 61, cukup disegani kerana kelantanngannya menyuarakan kebajikan serta nasib anggota, khususnya di negeri ini.

Beberapa perkara berbangkit disuarakan beliau baru-baru ini, semasa berkongsi pentas dengan Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng, pada majlis pemberian sumbangan insentif RM803,700 atau RM300 kepada 2,679 pemandu teksi, teksi pelancongan dan kereta sewa yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri, sedikit banyaknya mencuri perhatian Fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB.

“Dalam 20 tahun 9 bulan,saya menjadi juruteknik di Bahagian Penerbitan Pusat Universiti Sains Malaysia (USM) sejak tahun 1971, sebelum saya mengambil keputusan untuk bersara secara opsyen.

“Masa dalam perjawatan, saya sudah mula membawa teksi dan saya rasa lebih mudah cari makan di Pulau Pinang, saya berasa lebih seronok kerana boleh bekerja secara bebas, di mana saya tauke dan saya lah kulinya.

“Saya mula bawa teksi pada tahun 1992, tiga empat tahun kemudian, saya sudah mempunyai permit teksi persendirian.

“Sebenarnya, dua tahun lepas (2012) terfikir juga untuk berehat sepenuhnya apabila saya terlibat dalam kemalangan, tulang peha saya patah dan terpaksa disokong dengan tongkat.

“Sekarang, teksi persendirian saya dibawa oleh rakan, manakala, saya tumpu sepenuh masa sebagai pengerusi Gabungan, yang sekarang ini sudah masuk penggal keempat (selama lapan tahun),” ujar Abd. Malek semasa diwawancara di Dewan Sri Pinang, George Town.

Kenapa Exora?
Abd. Malek berkata, birokrasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) antaranya mengarahkan semua teksi yang berusia lewat 10 tahun supaya ditukar kepada kereta Proton Exora mulai bulan November depan, jika mahu memperbaharui permit teksi persendirian masing-masing.

Tidak cukup dengan itu, Abd. Malek mendakwa SPAD seakan cuba mengandakan tekanan kepada anggota berwajib apabila suruhanjaya berkenaan disebut-sebut akan memperkenalkan tarif meter baru khusus untuk Teksi 1Malaysia (TEKS1M) jenis Exora sahaja dalam masa terdekat.

“Dalam mesyuarat dengan SPAD sendiri, wakilnya sendiri ada mengakui bahawa Proton Exora memang mempunyai beberapa masalah seperti gear kecil untuk memanjat Bukit Balik Pulau, ‘kuat makan minyak’ serta tidak lasak untuk dijadikan kenderaan sewa.

“Sudahlah susah untuk membuat pinjaman bank bagi kami yang rata-rata berusia 60 tahun ini, SPAD pun seakan membuat tekanan dengan dua tiga arahan ini ke atas kami sahaja, iaitu pemegang permit teksi persendirian.

“Sudahlah permohonan permit teksi persendirian tidak lagi dikeluarkan, kita (yang memiliki teksi berusia 10 tahun) hanya dapat perbaharuan permit teksi persendirian selama setahun sahaja selepas mengadakan rundingan dengan SPAD dua bulan lepas,” jelas Abd. Malek.

Beku Permit
“Kalau jadi pengerusi persatuan teksi di Wilayah (Persekutuan Kuala Lumpur), seseorang yang bergelar ‘datuk’ boleh ada 200 hingga 300 permit teksi atas nama syarikat, tetapi, saya sebagai pengerusi (Gabungan) hanya ada satu permit teksi persendirian kerana saya tak pernah menyokong pemberian permit kepada syarikat.

“Tapi, kalau tanya LPKP (Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan), dia pernah kata lebih mudah nak tangkap kesalahan jika permit diberi kepada syarikat.

“LPKP kata pemandu yang ada permit teksi persendirian lebih susah nak kawal, selalu suka mogok seperti di Pulau Pinang.

“Macam mana tak mogok dan nak cari makan di negeri ini kalau (Datuk Seri Mohamed) Nazri Aziz semasa memegang portfolio LPKP sendiri pernah (dilaporkan) sanggup keluar permit khas untuk ‘Teksi Biru’ (Teksi Eksekutif) pada tahun tahun 2010, yang boleh pergi ke mana-mana negeri termasuk Pulau Pinang.

“Apabila kita lantang persoal mengapa permohonan permit teksi persendirian di Pulau Pinang dibekukan, kita juga disogok....biarlah saya dapat RM100 sehari daripada seorang kawan yang pandu teksi saya, tak mengapa, asalkan rezeki saya halal,” tegas Abd. Malek.

Pro Pulau Pinang
Abd. Malek memberitahu bahawa Gabungan tidak pernah mencampuri urusan politik kepartian, baik Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri.

Gabungan, katanya lagi, fokus pada isu-isu berkaitan kebajikan serta kepentingan anggota semata-mata.

“Apabila saya mengkritik Nazri Aziz beri permit kepada syarikat dan perkenal ‘teksi biru’, jangan ingat saya anti Kerajaan Pusat, kerana Datuk Noh Omar (bekas Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan) pun pada tahun 2009 pernah memberi hampir 1,500 permit kepada individu disebabkan syarikat teksi didakwa gagal menjaga kebajikan pemandu.

“Kita (Gabungan) tak pernah menyebelahi mana-mana, kebaikan kita ambil, keburukan kita tak mahu.

“Macam insentif yang Kerajaan Negeri beri RM300 sekarang, kita sokong sebab bawa kebaikan kepada pengguna,” jelas Abd. Malek.

Harapan
Justeru, tegas Abd. Malek lagi, Gabungan sedang mempertimbang untuk meminta Kerajaan Negeri menjadi ‘orang tengah’ untuk berunding dengan SPAD mengenai beberapa isu berbangkit, sungguhpun pihaknya ditawarkan khidmat guaman oleh Guan Eng sendiri baru-baru ini.

“Kita cukup menghargai apabila YAB Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri bersedia untuk menawarkan khidmat guaman sekiranya kita (Gabungan) mahu merujuk beberapa syor SPAD ke mahkamah.

“Tetapi, kita masih percaya bahawa jalan rundingan masih ada dengan dengan SPAD, sebab itu kita pertimbang untuk Kerajaan Negeri sendiri jadi ‘orang tengah’ nanti.

“Gabungan tak pernah pilih bulu dan akan cuba melakukan apa yang terbaik, bukan sahaja untuk kebajikan anggotantya sahaja, malah mereka yang kita percaya layak dihargai oleh Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini.

“Sebab itu, kita (Gabungan) daftarkan sama pemandu teksi lapangan terbang, kereta sewa dan ada juga pemandu ‘teksi biru’ pada kali ini, apabila Kerajaan Negeri mahu memberi insentif RM300 ini,” jelas Abd. Malek. - END

No comments:

Post a Comment