Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
SEBERANG JAYA - Kerajaan Negeri sedang mempertimbang syor mengenakan bayaran berasaskan
keterhasilan sisa pepejal, serta pembayaran insentif berdasarkan kejayaan
memproses sisa organik peringkat komuniti.
Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar,
Phee Boon Poh berkata, sebanyak enam kawasan penempatan komuniti dipilih
sebagai projek perintis sulung ini, dengan peruntukan tahunan AS$70,000
daripada badan antarabangsa World
Bank dan United Nations
Environmental Programme International Environmental Technology Center (UNEP-IETC).
Tiga projek perintis terpilih yang dimaksudkan peringkat
Seberang Perai adalah di sekitar Butterworth, iaitu Park View Harbour Place,
Taman Pandan dan Taman Tanjung Indah.
Manakala, The Peak Ivory dekat Tanjung Tokong, Taman
Pelangi dekat Maccallum dan PPR Empangan Jalan Sungai dekat George Town
merupakan tiga lagi projek perintis terpilih peringkat pulau.
"Kerajaan Negeri telahpun menyokong polisi
(mengenakan) bayaran berdasarkan keterhasilan sisa pepejal dan memerlukan
undang-undang untuk dikuatkuasakan kelak.
"Kamu (komuniti) perlu buktikan dahulu bahawa
kerja-kerja memproses sisa organik ini benar-benar berjaya dilakukan, memberi
impak kepada komuniti (setempat), serta memang menjana pendapatan langsung di
kawasan-kawasan projek perintis ini.
"Kamu buktikan dahulu, dan layak membuat tuntutan
(insentif) berdasarkan rekod kerja-kerja memproses sisa organik yang telahpun
dilakukan," ujar Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Sungai Puyu, semasa merasmikan bengkel kerja berwajib di sini, pagi tadi.
Wakil UNEP-IETC, Dr. Mushtaq Memon, serta dua wakil World Bank, Marcus Lee dan
Renee Yuet-Yee Ho turut berkongsi pengalaman implimentasi dua syor tersebut di
beberapa negara moden dunia.
Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Sebarang Perai (MPSP),
Maimunah Mohd. Sharif dan setiausahanya, Sr. Rozali Mohamud dan Jing Teik Khor
(wakil Penang Solid Waste
Management Expert) turut hadir pada bengkel kerja tersebut.
Hadir sama, dua Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Chee Teong dan
Tan Cheong Eng, Ir. Rosnani Mahmod (Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran
MPSP) serta wakil pertubuhan komuniti dan industri.
Dalam pada itu, Boon Poh turut merakamkan penghargaan
kepada pasukan kerja Maimunah kerana berjaya menjimatkan sumber dana MPSP saban
tahun sejak lima tahun lepas, menerusi beberapa polisi memulihara alam sekitar
dekat Seberang Perai.
Maimunah yang ditemui kemudian pula memberitahu, MPSP
pada tahun lepas berjaya menjimatkan RM4,198,556 daripada bajet pihak berkuasa
berkenaan (PBT), yang sepatutnya dihanguskan untuk tujuan pelupusan sisa
sampah.
Pun begitu, katanya lagi, kira-kira 1,200 tan sisa
pepejal yang dihasilkan tiap-tiap hari di Seberang Perai, dengan hampir 50
peratus dikumpulkan dari kediaman komuniti.
Itu, tidak termasuk 1,400 tan sisa pepejal yang
dihasilkan tiap-tiap hari di pulau, dengan kira-kira 600 tan dikumpulkan dari
kediaman rakyat.
"Kita (MPSP) telahpun menyediakan Tapak Memproses
Sisa Organik di Pasar Awam Bagan Ajam, saya kira situasi 'menang-memang' dapat
juga dipertimbang.
"Ini kerana, sumber dana MPSP dapat dijimatkan lagi
sekiranya UNEP-IETC danWorld Bank sendiri
menguruskan pengangkutan sisa organik dari tapak-tapak projek perintis terpilih
terbabit," ujar Maimunah.
Dalam perkembangan berkaitan, Exco Kerajaan Tempatan,
Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow turut merasmikan bengkel
kerja serupa peringkat pulau, dalam satu program berasingan dekat George Town
baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment