05 June 2014

Google AdWords kini dalam bahasa Melayu

Matthew Zaheen pada sesi fotografi selepas peluncuran Google AdWords berbahasa Melayu di Hotel G dekat Persiaran Gurney, pagi tadi.
MODEL tak berbayar Google AdWords ini bernama Zainulfaqar Yaacob. (Maaf la gambar kurang berkualiti sebab pakai telefon klon China) Keh keh keh

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU TIKUS - Platform pengiklanan berbayar dalam talian Google yang dikenali sebagai Adwords kini boleh didapati menggunakan kata kunci bahasa Melayu, memandangkan 40 juta adalah penutur asal bahasa Melayu.

Ketua Pemasaran Google Malaysia, Matthew Zaheen memberitahu, itu tidak termasuk lebih 220 juta penduduk dunia yang turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Justeru, katanya, langkah terbaru Google tersebut adalah selari dengan realiti lebih 60 peratus populasi warganegara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

"AdWords dalam bahasa Melayu boleh membantu meluaskan lagi capaian perniagaan mereka di kalangan mereka (pelanggan) yang selesa menggunakan bahasa pengantar tersebut di dalam talian," jelas Matthew Zaheen kepada wartawan di Hotel G, pagi ini.

Dianggarkan, terdapat 700,000 perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia, tetapi, kira-kira 15 peratus sahaja yang berada dalam talian maya harian.

Pun begitu, menurut Matthew Zaheen, hampir 20 juta daripada keseluruhan 29 juta rakyat Malaysia adalah pengguna internet.

Ditambah dengan lebih 35 peratus penembusan telefon pintar kini, katanya lagi, terdapat potensi yang hebat bagi perniagaan yang bertindak bagi menangani jurang ini.

"Salah satu motivasi utama untuk kami menjadikan AdWords boleh didapati dalam bahasa Melayu adalah untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana mengembangkan capaian dan menjadikan mereka lebih mudah dicari melalui pengiklanan dalam talian.

"Kami berharap lebih banyak perniagaan kecil dan sederhana datang ke dalam talian dan memasarkan perniagaan mereka di dalam talian," jelas Matthew Zaheen lagi.

Info lanjut mengenai AdWords, layari google.com.my/adwords.

No comments:

Post a Comment