05 June 2014

Taman Tanjung Indah dipilih kajian perintis sisa sifar Bank Dunia

MAIMUNAH (paling kiri) mengagihkan bekas sisa makanan kepada penduduk Pangsa Taman Tanjung Indah untuk mengasingkan sisa organik untuk dikompos di sini baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara

BUTTERWORTH - Bank Dunia memilih Taman Tanjung Indah sebagai tapak kajian perintis sisa sifar kerana penduduk rumah pangsa di sini dinilai menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap amalan memulihara alam sekitar.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sisa Organik CCAC/Bank Dunia tersebut baru-baru ini.

“Semoga komitmen ini dapat dijalankan dengan berterusan sehingga dapat mengurangkan jadual kutipan sampah iaitu tiga kali seminggu buat masa sekarang sehingga sekali seminggu pada masa akan datang,” kata Maimunah, sambil merakamkan penghargaan atas komitmen komuniti setempat terhadap kempen sisa sifar yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsa Taman Tanjung Indah, Mah Yin Fun turut hadir pada majlis tersebut.

Menurut Maimunah, kempen sisa sifar bukan sahaja menjimatkan kos pengurusan MPSP, malah, dapat mengurangkan risiko penyakit yang berpunca oleh bawaan vektor serta penghasilan sisa ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

“Dengan adanya program sisa sifar ini, lalat, lipas dan tikus juga akan berkurangan kerana tiada penghasilan sisa buangan yang menarik minat haiwan berkenaan,” tambah beliau.

Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh pula dalam ucapannya berharap, tuah komuniti pangsa Taman Tanjung Indah yang dipilih untuk menjayakan projek perintis Bank Dunia tersebut wajar dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Pulau Pinang telah dipilih sebagai salah satu daripada empat bandar di Asia yang untuk program ini oleh Bank Dunia.

“Saya berharap agar penduduk di sini dapat menjadikan program perintis ini sebagai batu loncatan untuk mengubah gaya hidup supaya lebih menjaga alam sekitar," ujar Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

No comments:

Post a Comment