05 June 2014

Lafaz syahadatain sebab Islam tak jauh berbeza dengan Kristian


Malam tadi, saya berpeluang mengikuti majlis syahadatain atau mengucap dua kalimah syahadah seorang lagi saudara baru di kediaman Timbalan Pengerusi Hidayah Centre Pulau Pinang, Muhammad Asyraf Tan Abdullah dekat Sungai Nibong.

Saudara baru ini adalah seorang gadis, berusia 22 tahun. Beliau orang Perak, dan masih tinggal bersama-sama ibu dan ayah di Sungai Ara.

"Saudara baru kita ini bekerja sebagai penolong pentadbir di salah sebuah industri di sini. Saya mengenali saudara baru ini melalui seorang kawan peguam," kata aktivis NGO IKUT Pulau Pinang yang mewakili 10,000 saudara baru, Abang Azran Chan.

Sambil-sambil menunggu abang Azran mengatur pertemuan majlis syahadatain, saya melahirkan rasa kagum dengan kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh Abang Azran Chan.

"Dia masuk Islam kerana dia buru hidayah Allah, tentulah dia paling kedepan untuk memujuk kawan-kawan yang belum Islam untuk buru hidayah Allah juga," kata Penasihat IKUT, Tuan Haji Zolkifly Md. Lazim.

Di rumah Muhammad Asyraf Tan Abdullah, saudara baru ini dipelawa berkongsi keimanan sampai terdetik memeluk Islam.

"Saya beragama Kristian. Ayah dan ibu saya juga beragama Kristian, Ada beberapa persamaan agama Islam dengan agama Kristian menyebabkan hati saya lebih terbuka untuk (memeluk) Islam," kata gadis tersebut.

Jawapan itu mengingatkan saya pada firman Allah yang bermaksud:

"Katakanlah: Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun..." [Surah Ali Iimran: 64]
Tak tahu kenapa, tiba-tiba seluruh rumah jadi sebak apabila menyaksikan gadis tersebut melafazkan syahadatain.

"Saya yang mengaji agama di Universiti pun belum tentu boleh buat kerja dakwah macam aktivis IKUT kepada mereka yang belum Islam," saya bisik kepada diri saya sendiri.

AstaghfiruLLah.


ZAiNULFAQAR YAACOB
Bukit Mertajam | 2.09 pagi

No comments:

Post a Comment