16 May 2014

Fadhil Noor panggil Presiden Amerika 'Amirul Mukminin'?


Cadangan menukar nama 'Yang di-Pertua Agung' kepada panggilan Presiden suatu masa dulu sampai perlu mengadakan satu Muktamar Khas (EGM) dalam parti masa depan itu.

Banyak pihak, khususnya daripada sayap pemuda mengkritik tajam atas cadangan Presiden PAS Datuk Fadhil Mohd. Noor.

Fadhil digambarkan cuba menyerupai Umno kerana parti asabiah tersebut memanggil pemimpin nombor satunya sebagai 'Presiden'.

Itu, menurut mereka, menyalahi syarak kerana ada nas melarangannya.

"Sesiapa menyerupai satu-satu kaum, maka dia daripada kalangan mereka..." (mafhum hadith)

Masa sesi penggulungan, Fadhil Noor respons, "Kalau Presiden Amerika dipanggil sebagai Amirul Mukminin sekalipun nanti, kalau dia kafir dia tetap kafir."

Terkesima habis muktamirin-muktamirat dengan hujah mantik Fadhil.

Sesetengah pihak kata, logik mantik sebegitu ada sedikit banyaknya pada Tan Sri Ustaz Azizan Razak, selepas pemergian Fadhil.

Semasa isu air meledak di Kedah, Azizan atas kedudukannya sebagai Menteri Besar menerima soalan provokasi daripada seorang wartawan.

"Kamu ni mandi tak pagi ini," tanya Azizan membalas provokasi wartawan itu.

Akhirnya, wartawan itu mengaku mandi.

"Kalau macam itu, macam mana kamu kata tiada air," tanya Azizan lagi mengunci provokasi wartawan.

Selepas pemergian Azizan, Dr Hatta Ramli dikatakan mempunyai mantik berbisa mirip Fadhil.

Semasa isu PPSMI meledak di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Umno Barisan Nasional antara lain berdalih, pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sebab tahap bahasa Inggeris murid khususnya Melayu lemah.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pula berhujah pelaksanaan PPSMI akan meminggir peranan bahasa kebanggaan atau bahasa Melayu, selain, mengakibatkan keciciran pembelajaran Sains-Matematik atas sebab kelemahan bahasa.

Di tengah-tengah pertikaman lidah itu, Dr. Hatta (Kuala Krai) bangun lalu menyebut, "patutlah Pejabat Peguam Negara Malaysia gagal menuntut hak kedaulatan Batu Putih daripada Singapura kerana perbicaraan di Mahkamah Antarabangsa dalam bahasa Belanda."

Dewan Rakyat terkesima dan diam seketika, sebelum masing-masing gelak dipukul dek logika Dr. Hatta.

Setuju?


ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang
2 Mei 2014 | Dataran Merdeka


+60194241583
zainulfaqary@gmail.com
@zainulfaqar
faqar.blogspot.com

No comments:

Post a Comment