19 April 2014

Azizah sebak apabila tahu Karpal nahas di samping fail kes Anwar

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

KEBUN BUNGAH - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa sebak apabila diberitahu bahawa fail kes Fitnah Liwat II yang dikaitkan dengan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di samping Karpal Singh semasa nahas jalan raya pada awal pagi Khamis lepas.

Dr. Wan Azizah, yang kini baru dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang meluahkan rasa sebak itu semasa hadir memberi penghormatan terakhir kepada 'Tiger of Jelutong' Karpal, petang tadi.

"Saya paling rasa terkilan apabila mendapat tahu yang fail mengenai kes Anwar pun berada dalam kereta yang terlibat dengan kemalangan kerana Karpal mahu mahu meneliti kes itu.

"Pemergiannya adalah satu kehilangan untuk Malaysia kerana dia adalah seorang yang sangat baik dan berani menentang ketidakadilan, walaupun terpaksa korban diri," ucap Dr. Wan Azizah dalam satu sidang media bersama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan isteri, Betty Chew dekat kediaman mendiang Karpal di sini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, Dr. Afif Bahardin (Exco Kerajaan Negeri) serta beberapa pemimpin Kerajaan Negeri yang lain turut hadir pada sidang media itu.

Menurut Dr. Wan Azizah, mendiang Karpal Singh adalah seorang ahli politik negara yang banyak berjasa kepada negara, termasuk membantu Anwar menghadapi politik fitnah pemerintah federal sejak tahun 1997 lagi.

Difahamkan, Karpal merupakan peguam bela bagi Anwar dalam kes Fitnah Liwat I pada tahun 1998 dan Fitnah Liwat II bermula dari tahun 2010 hingga sekarang.

No comments:

Post a Comment