13 March 2014

ANGKASA dilantik sebagai 'amil' zakat P.Pinang

(Dari kiri) Sheikh Ismail Md. Allapitchay, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan, Datuk Mohd. Salleh Man dan Dr. Azman Abdul Somat pada majlis bertukar dokumen MOA pada majlis di sini, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) pagi tadi dilantik sebagai wakil pemungut zakat atau amil di negeri ini, selepas memeterai satu perjanjian persefahaman (MOA) dengan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, kerjasama kedua-dua belah pihak itu diharap dapat menjayakan Kempen 2014 Tahun Zakat Perniagaan.

"Ini merupakan pelantikan kedua yang dilakukan oleh Zakat Pulau Pinang, selepas kita melantik Pos Malaysia yang dilakukan (MOA) pada tahun 2007.

"Diharap, dengan adanya kerjasama ini, dapat melonjak lagi pungutan zakat perniagaan pada tahun ini (2014)," ujar Salleh Man pada Majlis Menandatangani Perjanjian (MOA) Pelantikan ANGKASA Sebagai Wakil Kutipan Zakat di sini.

Naib Presiden ANGKASA, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan turut berucap pada majlis bersejarah itu.

Mohd Salleh mewakili ZPP pada majlis MOA itu dengan disaksikan oleh Pengurus Besar ZPP, Dr. Azman Abdul Somat.

Manakala, ANGKASA pun diwakili oleh Mohamad Ali dan disaksikan oleh Pengerusi Perhubungan Angkasa Pulau Pinang, Sheikh Ismail Md. Allapitchay.

Hadir sama, Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad dan Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri) serta beberapa Ahli Majlis MAINPP.

Sebelum itu, Mohamad Ali merakamkan penghargaan kepada ZPP kerana memberi peluang bekerjasama dengan ANGKASA.

"Saya bersyukur kerana Zakat Pulau Pinang bersetuju untuk melantik ANGKASA sebagai amil zakat. Bagi kami (ANGKASA), zakat ini sudah cukup untuk membawa maksud CSR atau tanggungjawab sosial korporat.

"(Insiatif ini) at-ta'awun atau (saling) bekerjasama bersama-sama untuk manfaat bersama, ANGKASA akan memainkan peranannya," ujar Mohamad Ali.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Salleh mengumumkan ZPP berjaya mengutip zakat sebanyak RM85 juta pada tahun lepas, walaupun pihaknya mensasar kutipan RM80 juta sahaja.

Mohd. Salleh memberitahu, ZPP mensasarkan keseluruhan kutipan zakat untuk tahun ini, termasuk zakat perniagaan adalah sebanyak RM95 juta.

No comments:

Post a Comment