09 December 2013

Senaraihitamkan penyewa rumah kepada buruh asing - Soon Hin

YEOH Soon Hin
 Dikemaskini 11.15 pagi 10 Dis. 2013 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin mencadangkan pembeli rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) yang menyewa primis kediaman mereka kepada buruh asing disenaraihitamkan (black listed) seumur hidup di negeri ini.

Menurut beliau, langkah itu dapat melengkapkan perancangan Kerajaan Negeri melaksanakan dasar perumahan baharu negeri, iaitu larangan pindah milik rumah yang dibina oleh kerajaan dalam tempoh 10 tahun dari tarikh perjanjian jual beli dilakukan, selain, larangan serupa untuk rumah yang dibina oleh pihak swasta dilanjutkan daripada tempoh lima tahun pada 10 tahun.

Dasar baru itu demi memastikan penjualan rumah dalam tempoh 10 tahun ini adalah kepada pembeli tersenarai (listed buyer).

"Saya mencadangkan undang-undang baru yang lebih ketat dilaksanakan.

"Dengan hukuman yang lebih keras, termasuk ke atas pasangan (kepada pemilik rumah) akan dapat menghalang rumah kos rendah dan sederhana rendah dari disewa kepada pihak ketiga (buruh asing)," ujar Soon Hin semasa sesi perbahasan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Soon Hin turut menyokong langkah pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melaksanakan tiga peratus levi atau cukai khas pemilikan hartanah demi menghentikan pembelian spekulatif, selain, sebagai reaksi pada keputusan Kerajaan Pusat melalui Bajet 2014 mahu menaikkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT).

LAU Keng Ee
Manakala, ADUN Pengkalan Kota, Lau Keng Ee pula mencadangkan diwujudkan satu perkampungan khas untuk warga asing atas nama hak asasi manusia, sekiranya mahu mengetengahkan cadangan Soon Hin itu.

"Cadangan ini bukan sahaja dapat memastikan pekerja asing sentiasa dalam kawalan, malahan pula, dengan cadangan ini juga dapat menolong atau memastikan rakyat jelata kita dapat menikmati rumah KSR atau KR yang sepatutnya diduduki oleh warganegara kita," ujar beliau.


Bagaimanapun, beliau tidak mengulas mengenai insiden rusuhan buruh Bangladesh di Singapura, dikatakan, berpunca oleh peningkatan jumla warga asing di negara jiran itu.

No comments:

Post a Comment