Skip to main content

Pendirian Hadi, Nik Aziz uji wala’ pro Harun



KETUA Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib seakan terus mengambil pendirian yang berbeza dengan Presidennya, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am).

"Beliau (Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang) tolak tak mengapa, kita tak ada masalah.

"Kita akan teruskan sebab sekarang pun kita sedang jalankan kajian.

"Tahalluf siyaasi bukan untuk tarik diri daripada PR tetapi untuk menjadikan Pas lebih dominan dalam PR," kata Harun kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, Hadi dilaporkan bertegas bahawa PAS akan terus mengukuhkan tahalluf siyasi atau kerjasama politik dengan dengan PKR dan DAP atas nama Pakatan Rakyat (PR).

"Sehingga kini, kita teruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat sebagai sistem dua parti yang lebih kukuh, lebih baik berbanding pakatan BN.

"Tiada sebab untuk Pas mengkaji semula tahaaluf siyaasi ini," katanya di Kuala Lumpur, semalam, dipetik Sinar Harian.

Nada yang sama turut dipertegas oleh Nik Aziz sendiri, sehari sebelum itu.

“Penyertaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pempinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihan raya umum 2008.

“Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap, bahkan, ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia.

“Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non-Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno,” tegas Nik Aziz disiar di sesawang Harakahdaily – lidah rasmi PAS – pada 15 September lepas.

The Malaysia Insider sendiri melaporkan, Nik Aziz turut berkata, "Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada Umno yang sedang kelemasan."

Di sebalik perbezaan pendapat ini, di luar sana, khususnya dalam kalangan akar umbi PAS sendiri dilihat sedang membuat justifikasi – sama ada mahu wala’ (kesetiaan) kepada Hadi serta Nik Aziz, ataupun kepada Ketua Dewan Ulamak, iaitu Harun.

Kalau wala’ kepada Harun, sesetengah kita akan bertanya, mengapa tidak walau kepada Hadi dan Nik Aziz kerana kedua-dua tokoh itu juga adalah ulamak?

Kenyataan siapa yang patut disetiakan? Kenyataan yang mana lebih mendekati maksud kebaikan yang diperakui (maslahah muktabarah).


MUTLAQ & MUQAYYAD

Dalam aliran Fiqh Al-Islami yang sederhana (wathathi) seperti Malikiah, Syafi’iyyah, Hanafiah dan Hanabilah, perbahasan ilmiah antara lain mengenai mutlaq dan muqayyad.

Mutlaq bermaksud lafaz yang datang dalam bentuk umum, tanpa mempunyai sebarang keterbatasan atau had tertentu (taqyiid). Ia merujuk kepada sesuatu maksud tertentu yang telah dimaklumi. Biasanya, lafaz ini didatangkan dalam bentuk nakirah.

Muqayyad pula merujuk kepada lafaz yang memberikan maksud yang tidak tertentu, tetapi, diikuti dengan lafaz yang mengikat dan membataskannya. Justeru, ia memberikan maksud yang lebih spesifik, tertentu dan terikat.

Aliran fiqh Zahiri (baca: berpegang dengan tektual zahir nas atau mereka yang menolak aplikasi usul fiqh dalam melaksanakan kewajipan nas) serta neo-Muktazilah (baca: menggunakan akal secara liberal tanpa diingat pada nas yang qat’iyyatun thubut) umumnya menolak disiplin ilmu mutlaq dan muqayyad.

Penggerak Ulama Muda Umno (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya, umpamanya, acap kali memujuk rakyat supaya memberi ketaatan (baca: wala’ atau kesetiaan) kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak dengan berpegang pada beberapa zahir nas serta atas dalih perdana menteri itu adalah Islam semata-mata. 

Implisitnya, berlaku kesenggangan fikrah serta amalan beragama, terutama dalam konteks ijtihad politik semasa itu, sekaligus mengakibatkan tiada kejernihan sikap dalam kalangan rakyat – pendapat Fathul Bari ini adalah agama Islam yang tidak boleh dipertikai atau salah satu pendapat agama yang boleh dipersoal? 


AL-WALA' DAN AL-BARRA'
Wala’ kepada Allah dan Rasul-Nya bersifat mutlaq. Pun begitu, wala’ kepada ulil amri (pemimpin) itu adalah bersifat muqayyad.

Firman Allah yang bermaksud yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu.” (Surah An-Nisa’: 59)

Sebab itu, mereka yang menerima disiplin mutlaq dan muqayyad, sudah tentu boleh menerima konsep al-barra’ (baca: pengingkaran pada kesetiaan) apabila membicarakan soal al-wala’ itu sendiri, sama ada dalam konteks kenegaran, jamaah Islamiyyah (baca: PAS) hatta kekeluargaan.

Muqayyad : al-Wala’ pada pemimpin yang adil dan al-barra’ pada pemimpin yang zalim.

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman...” (Surah An-Nahl: 90)

“Dan jika engkau nenghukum, maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Maidah: 42)

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim*, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah...” (Surah Hud: 113)


JAUHI AL-WALA' CARA YAHUDI

Dalam al-Quran, diceritakan punca Yahudi sesat dari hidayah Allah antaranya kerana memberikan kesetiaan (al-wala’) kepada pemimpin serta agamawan mereka secara mutlaq, sedangkan, al-wala’ secara mutlaq hanya kepada Allah dan Rasul-Nya sahaja.

'Uruf Al-Quran mendedahkan mereka memberi wala’ kepada para pemimpin serta agamawan mereka secara mutlaq walaupun dalam perkara kezaliman, kebodohan, kefasikan, pembohongan dan kejahilan.

“Kecelakaan terhadap mereka yang menulis kitab dengan tangan-tangan mereka sendiri, kemudia mereka mendakwa ‘ini daripada sisi Allah’. Tujuan mereka adalah untuk membelinya dengan harga yang murah. Kecelakaan terhadap mereka dengan apa yang mereka tuliskan dengan tangan-tangan mereka, dan kecelakaan terhadap mereka dengan apa yang mereka usahakan” (Surah Al-Baqarah : 79)

“Mereka yang diberikan al-Kitab (Taurat), mereka mengenali (Nabi Muhammad) sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. dan sesungguhnya satu puak daripada kalangan mereka menyembunyikan kebenaran dalam keadaan mereka mengetahui" (Surah Al-Baqarah : 146)

“Mereka tertipu dalam agama mereka sendiri, dengan apa yang mereka reka-ciptakan” (Surah Al-Imran : 24)

“...mereka (Yahudi dan Nasrani) mengambil orang-orang alim dan para rahib mereka syirik selain dari Allah...” (Surah At-Taubah : 31)

Dalam menafsirkan ayat al-Quran ini, didatangkan satu hadis daripada seorang Kristian bernama Adi bin Hatim bahawa dia berjumpa dengan Nabi S.A.W. dalam keadaan tengkoknya tergantung salib daripada emas.

Adi berkata kepada Nabi, “mereka (Yahudi dan Nasrani) tidak pernah menyembah orang-orang alim dan para rahib mereka...”

Nabi SAW menjawab yang bermaksud, “mereka (pengikut) mentaati mereka (orang-orang alim dan para rahib) dengan apa yang mereka disuruh, daripada mengharamkan perkara halal dan menghalalkan perkara yang haram. Maka itu, sembahan mereka terhadap orang-orang alim dan para rahib mereka...”. [Sila rujuk Musannaf Ibni Abi Syaibah : 8/220].


PERBEZAAN PENDAPAT DALAM FIQH BUKAN PENGINGKARAN (AL-BARRA'

Disiplin fiqh al-Islami membenarkan perbezaan pendapat dalam kepelbagaian (al-ikhtilaf at-tanawu’i) kerana proses memahami dan melaksanakan kewajipan nas itu adalah bersifat dzonni (baca: anjal) serta mempunyai pemahaman yang pelbagai.

Contoh 1:
Perbezaan pendapat pada satu nas syara’

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Barangsiapa berpuasa ramadhan, kemudian diikuti 6 hari dalam bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa setiap masa” (riwayat Muslim: 1984).

Mazhab Syafi’iyyah berbendapat bahawa “Puasa 6” di bulan Syawal adalah sunat kerana sabit dengan nas yang sahih lagi soreh seperti di atas.

Pun begitu, mazhab malikiah berpendapat bahawa hukumnya makruh.

Tidak dinafikan, hadis ini adalah hadis soheh, tetapi, Imam Malik tidak beramal dengan maksud hadis ini dengan beberapa alasan, antaranya adalah:

PERTAMA, Imam Malik tidak melihat bahawa para ilmuan (ahl Al-Ilm) di Madinah berpuasa enam hari dalam bulan syawal. Bahkan, tidak terdapat satu salaf pun yang menunaikan puasa enam itu.

KEDUA, maksud hadis ini menyalahi dengan salah satu daripada konsep Maqasid Syariah, iaitu menutup segala ruang yang boleh membawa kepada bidaah. Iaitu, dalam Islam, adalah satu perkara haram bahawa berpuasa pada 1 syawal.

Justeru, dalam hadis puasa enam ini, tidak dinyatakan tentang larangan pada 1 syawal larangan berpuasa, bahkan dinyatakan bahawa boleh berpuasa 6 selepas bulan ramadhan.

Ekoran itu, penggunaan kalimah ”diikuti” dalam hadis, dibimbangi ditafsirkan bahawa 1 syawal juga boleh berpuasa sunat, menyebabkan Imam Malik meletakkannya sebagai ”menutup segala ruang yang boleh membawa kepada bidaah.”

Bagi Imam Malik, apabila bertembung antara maksud dalam sesuatu hadis ahad dengan maqasid syariah, maka, hendaklah didahulukan maqasid Syariah. Makanya, hukum berpuasa enam disisi Imam Malik adalah makruh. (rujuk Dr. Nu’man Jughaim, Turuq Al-Kasyf ‘An Maqasid As-Sya’ri’ :57)

Contoh 2:
Perbezaan pendapat fiqh dalam proses perlaksanaan syariat (tanfiz) pada satu-satu kewajipan syara’ (tasyri’)

Mengenai iltizam politik Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebelum ini yang mahu melaksanakan Hudud di Kelantan sekarang, wujud perbezaan pendapat dan persetujuan pendapat.

Persetujuan: Semua kita menyokong bahawa cita-cita hudud wajib dilaksanakan dalam konteks Malaysia. Tidak ada siapa mempertikaikan hal tasyri’ itu.

Perbezaan: Ada yang menyokong Tok Guru kerana al-wala’. Dan ada yang berbeza pendapat kerana melihat dari segi tanfiz yang sebenarnya diakui di sisi syara’.

Saya telah menjelaskan perbezaan ini ketika membincarakan soal la-hukmu ala al-fauri dan al-hukmu ‘ala at-tarakhi di Malaysiakini sebelum ini menggunakan nama pena "Dzulfikar Mashoor". Lihat pautan http://malaysiakini.com/letters/178278

Contoh 3:
Perbezaan pendapat fiqh disebabkan perkara ijtihad

Ijtihad diperlukan pada perkara yang tidak mempunyai nas yang sahih lagi soreh (jelas). Mengenai polemik tahalluf siyasi PAS bersama PAS adalah contoh politik yang selama-lamanya di bawah kategori ijtihadiyat (bab ijtihad). 

Polemik kaji semula tahalluf siyasi PAS bersama PR wajar dilihat sebagai perbezaan pendapat dalam kepelbagaian (al-ikhtilaf at-tanawu’i). 

Disebabkan faham salah mengenai maksud wala’ serta maksud disiplin Fiqh Ikhtilaf, akhirnya, ada pemimpin PAS sendiri dilabelkan sebagai liberal, tidak setia kepada PAS, Anwarinas dan sebagainya. 

Itulah, dakwaan sentimental melampau yang ditujukan kepada Datuk Dr. Mujahid Yusoff Rawa serta AJK PAS Malaysia lain atas sebab semua mereka ini berbeza pendapat sahaja sempena musim pilihan raya umum ke-13. 

Apa pun pendapat atau idea untuk merealisasikan impian rakyat Malasyia menurut dimensi Islam, sepatutnya, dibentangkan secara jujur dan ilmiah dalam Muktamar PAS Tahunan kali ini.

Dengan langkah demikian, semua para perwakilan yang terdiri oleh ulamak dan perfesional boleh menentukan sikap untuk memilih kepemimpinan terbaik parti, sama ada pemimpin Pro UBN atau Pro PR atau membawa parti bersendirian di luar radar realistik politik tanah air.

Berdasarkan tiga contoh di atas, saya ada nasihat. Jangan ta’assub kepada mana-mana pemimpin.

Belajarlah fiqh al-Islami. Jangan ajar para perwakilan PAS “wala’ cara Yahudi” seperti penjelasan di atas.

Ini kerana, perwakilan PAS sendiri kelak mungkin akan tanya ulamak dalam Muktamar PAS Pusat kali ini: 

“Adakah Ustaz Harun Taib sendiri akan wala’ kepada Ustaz Hadi dan Tok Guru Nik Aziz yang jelas menegaskan PAS perlu kukuhkan bersama PR tanpa propaganda isu kaji semula tahalluf siyasi?”

Saya bersetuju untuk berbeza pendapat!


_______________

* PENULIS merupakan Ahli PAS Seumur Hidup bagi Kawasan Batu Kawan, fotojurnalis serta blogger kelahiran Pulau Pinang. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya (2003-2006).