24 July 2013

[Wawancara] Dikenali YB termuda, satu cabaran – Dr. Afif



BARU berusia 28 tahun, beliau sudah bergelar Yang Berhormat (YB) apabila menenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lepas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya.

Selepas dilantik menjadi Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, beliau direkodkan pula sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri termuda.

Pun begitu, beliau telah berumahtangga dengan, Dr. Mardhiah Zakaria, 28, dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Dalam wawancara baru-baru ini, Dr. Afif mengaku kehadirannya acapkali mencuri perhatian banyak pihak.

"Apabila menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) termuda dan jadi Exco pula, orang akan skeptikal, sama ada kita mampu atau sebaliknya.

“Saya faham. Namun sebagai YB termuda, saya mempunyai kelebihan untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada exco-exco dan pegawai kerajaan yang lebih kanan dalam Kerajaan Negeri," ujarnya.

Beliau berkata, beliau bertuah kerana buku-buku sejarah pejuangan seperti Tok Janggut dan Mat Kilau yang dibacanya sejak di bangku sekolah secara tak langsung membentuk jiwa dan peribadinya hari ini.

Slogan 'Reformasi' yang disamboyan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim  semasa dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada penghujung era 1990 turut meledak ruh keadilan dalam jiwanya.

Sejak itu, Dr. Afif mula berjinak dengan politik sungguhpun dihambat pelbagai tanggungjawab akademik semasa menuntut di Fakulti Perubatan UiTM. Di fakulti, beliau belajar ilmu perubatan, tetapi bersama rakan - rakan di Jalan Telawi dan Institut Kajian Dasar, beliau belajar mengenai politik, falsafah, agama, ekonomi dan sosial.

Dr. Afif pernah menjadi doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang dan berkhidmat di Hospital Sungai Buloh di Jabatan Pembedahan Kepala dan Leher dan merupakan sukarelawan perubatan yang bergerak aktif dengan Biro Kesihatan ABIM dan Malaysia Relief Agency; sebelum mengambil keputusan bertanding dalam pilihan raya baru-baru ini.

Kematangan mendahului usia mendorong Dr Afif tidak resah dengan perhatian dari khalayak yang berminat untuk mengikuti perkembangan bakatnya itu.


Pelancongan Perubatan

Amanah yang ditaklifkan tidak mahu disia-siakan.

Beliau tekun memberi tumpuan pada aspek mengembangkan potensi Pulau Pinang sebagai negeri pelancongan perubatan.

"Sebenar, tiada pusat rawatan barah di Hospital Kerajaan adalah satu isu. Ada isu lain lagi seperti kita (Pulau Pinang) mempunyai masalah tapak (untuk cadangan pemajuan) hospital yang sangat terhad."

"Sebab itu, rawatan sakit barah (radioterapi) hospital-hospital Kerajaan Negeri sendiri dilakukan di Hospital Mount Miriam dan Hospital Pantai Mutiara dengan kos perubatan itu ditanggung oleh Kerajaan Pusat.

"Kita mengalu-alukan peruntukan RM20 juta untuk menaik taraf Hospital Balik Pulau, cuma,saya ingin memohon Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya (Ahli Parlimen Balik Pulau) bahawa ada keperluan untuk menyegerakan penaikan taraf Hospital Besar Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya sendiri.

"Pelancongan perubatan yang dipimpin oleh hospital-hospital swasta ini memang ada prospek dan mendatangkan pulangan pada Kerajaan Negeri. Tetapi, keperluan tertentu yang tidak ada di hospital swasta seperti doktor pakar, akhirnya pesakit itu ingin jumpa dengan doktor pakar di hospital kerajaan juga.

"Ambil kira peranan hospital Kerajaan dan hospital swasta yang bagi bersama-sama dalam sektor pelancongan perubatan, saya akan menubuhkan Penang Health Alliance untuk menghimpunkan pihak swasta dan kerajaan untuk duduk berbincang mengenai isu-isu kesihatan di negeri ini," ujar beliau


Asas Tani

Sesuai dengan status Pulau Pinang sebagai 'negeri pengguna' bukan alasan untuk tidak menyediakan infrastruktur pertanian.

Justeru, Dr. Afif berkata, Kerajaan Negeri sedang merancang pemajuan kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) di atas tanah seluas 206 hektar dekat Penaga, Seberang Perai Utara.

Beliau berkata, 19 pengusaha dalam kalangan warga Pulau Pinang berwibawa sudah dikenal pasti untuk memajukan projek sifar pencemaran.

Itu, tidak termasuk rancangan penubuhan empat Lot Zon Pemprosesan Makanan (ZPM) demi membimbing produktiviti kaum tani di negeri berkenaan.

"Pertanian tidak lagi bergantung pada keluasan tanah yang terhad, tetapi, turut bergantung pada kemajuan teknologi serta infastruktur lain," ujar beliau.

Difahamkan, peruntukan untuk sektor penternakan di Pulau Pinang berjumlah kira-kira RM2.94 juta.

Sebab itu, katanya, projek Malaysia International Tuna Port Sdn. Bhd. (MITP) di Batu Maung bernilai kira-kira RM543.38 juta tidak wajar gagal sampai sekarang.

"Kegagalan Projek Pusat (melalui) LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) sebenarnya merugikan industri penternakan negeri dan rakyat sendiri," ujar beliau.


Fokus Luar Bandar

Dr. Afif berkata, salah satu portfolio asal yang ditaklifkan adalah 'Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar'.

"Di Pulau Pinang, hampir tiada lagi kawasan luar bandar. Yang ada, kampung atau desa. (Penggunaan) 'Pembangunan Desa' ini lebih inklusif maksudnya.

"Contoh, kalau pembangunan kampung dalam George Town ini, takkan nak panggil pembangunan luar bandar kerana ini nyata di dalam bandar," ujar beliau.

Setakat ini, beliau berkata, pihaknya telah menyalurkan mesin dan alatan untuk menambah produksi atau kualiti produk untuk usahawan desa.

Selain itu, pihaknya turut giat membaiki rumah-rumah desa yang dinilai layak menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

"Trend pilihan raya lepas, sokongan masyarakat desa seperti di (daerah) Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan dan Barat Daya terhadap Kerajaan Negeri hari ini masih rendah.

"(Justeru,) saya telah minta Penang Institute (PI) untuk membuat kajian lapangan bagi mengenal pasti jenis-jenis projek usahawan berasaskan masyarakat desa di daerah-daerah ini," jelasnya.

Dari situ, beliau berkata, pihaknya akan cuba menyalurkan dana demi meyakinkan rakyat terbanyak di kawasan-kawasan berkenaan terhadap komitmen Kerajaan Negeri.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan cuba memperbaiki infrastruktur desa sebagaimana yang dihasratkan oleh Kerajaan Pusat melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP).


Harapan

Mewakili Kerajaan Negeri, Dr. Afif berharap pihaknya boleh bekerjasama dengan Kerajaan Pusat seperti dalam isu Persefaham Trans-Pasifik (TPP).

"Sepatutnya Pulau Pinang turut diajak berbincangan dengan Pusat kerana TPP ini dijangka akan menggugat negara dalam mendapatkan Ubat Generik pada harga termampu.

"Di DUN Pulau Pinang pun, isu TPP ini dibangkitkan, tetapi, saya tidak nampak Kerajaan Pusat ikhlas untuk duduk berbincang dengan Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat.

"Kalau boleh, Kerajaan Pusat boleh ajak Kerajaan Negeri duduk berbincang kerana pelaksanaan TPP ini bukan sahaja bakal meningkatkan kos perubatan di Hospital Kerajaan, bahkan, turut meninggalkan kesan berantai pada sektor pelancongan perubatan yang dipelopori oleh sektor swasta," ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus