09 April 2013

Pusat sabotaj P.Pinang selepas 18 bulan dialog rakyat :Guan Eng

LIM Guan Eng (paling kanan) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pengerusi BUCG, Liu Longhua (paling kiri)  pada 28 April 2011, sambil disaksi oleh Perdana Menteri Cina Wen Jiabao (dua dari kiri) dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.  | foto: BUCG 

HASRAT Kerajaan Negeri membina empat lebuh raya dan terowong bawah dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang bagi menangani kesesakan trafik menjelang tahun 2020 seakan terus menerima sabotaj daripada pentadbiran pemangku perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, dakwaan itu berdasarkan layan Kerajaan Pusat menolak inisiatif Keraaan Negeri untuk menubuhkan syarikat pengangkutan bas awam hingga membolehkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) membeli serta memiliki bas sendiri.

Tambah beliau, hasrat Kerajaan Negeri membayar RM10 juta kepada Rapid Penang setiap tahun sebagai ganti pada perkhidmatan bas secara percuma di seluruh Pulau Pinang pada waktu puncak turut ditolak Kerajaan Pusat.

Malah, beliau menjelaskan Kerajaan Pusat sejak tahun 2006 hingga sekarang masih terus memungkiri janji untuk membina monorel di Pulau Pinang.

"Kerajaan pusat jelas gentar dengan projek ini sehingga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tan Sri Nor Mohamed Yackop) menentang projek infrastuktur ini berhabis-habisan kerana takut ia akan menampilkan kemampuan kerajaan negeri PR.

"Sama seperti kejayaan Kerajaan Pusat menggagalkan usaha pengangkutan awam di Pulau Pinang, Kerajaan Pusat akan cari jalan sabotaj yang sama," ujar Guan Eng di Komtar, George Town baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ketiga-tiga projek di bawah Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PPIPP) itu sebenarnya mampu melancarkan perjalan trafik, mengurangkan trafik masuk ke pulau serta melonak pertumbuhan ekonomi di Seberang Perai Utara (SPU) dengan adanya terowong bawah dasar laut yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam.

"Demi mengelakkan Kerajaan Pusat (dari) menghalang projek terowong bawah dasar laut, Kerajaan Negeri bersetuju tol dikenakan dengan kadar yang sama dengan Jambatan Kedua.

"Sekiranya tidak ada tol di terowong, Kerajaan Pusat boleh menyaman Kerajaan Negeri (kononnya atas alasan) berniat jahat (hingga) menggagalkan kutipan tol Jambatan Kedua Pulau Pinang," tegas beliau.

Beliau berkata, Keraaan Negeri telahpun membuat keputusan terbaik apabila mensyaratkan tiada jaminan trafik sepanjang 30 tahun perjanjian konsesi tol dimeterai bersama-sama pemaju.

"Kerajaan Negeri telah mencipta sejarah...ini berbeza dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang diberikan untuk tempoh masa 45 tahun dan ada jaminan volume kenderaan, yang bermakna Kerajaan Pusat akan berikan pampasan gantirugi sekiranya bilangan kereta yang gunakan Jambatan Kedua Pulau Pinang tidak mencukupi," tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng menjelaskan Kerajaan Negeri sejak 18 bulan lepas secara terbuka mendedahkan kesemua info itu melalui dialog serta perbincangan dengan banyak pihak, termasuk rakyat kebanyak.

Dialog secara terbuka atas semangat tadbir urus integriti yang dimaksudkan, katanya, termasuk di dua program interaksi dengan warga setempat di SPU pada bulan lepas.

"(Input dari dialog rakyat) diambilkira sebelum surat perjanjian muktamad dimeteraikan dengan pihak kontraktor (Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd. yang dipengerusikan oleh kontraktor Melayu bernama Datuk Zarul Ahmad Zulkifly).

"Reaksi mereka (rakyat), khususnya anak muda, yang menghadiri pelbagai dialog dan mesyuarat jelas menunjukkan sokongan kuat kepada inisiatif kerajaan negeri PR (Pakatan Rakyat)," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment