09 April 2013

RM450,000 rata jalan beralun di Bayan Baru

ABDUL Malik Abul Kassim (kanan) dan Lim Hock Seng semasa melawat kawasan pembangunan dilihat saling berbincang langkah mempercepat projek naik taraf jalan raya itu demi keselamatan rakyat.

Sejumlah RM450,000 akan dibelanjakan untuk meratakan jalan beralun berhampiran Hotel Eastin dan Point Kristal dekat Bayan Baru supaya tidak lagi membahayakan pengguna jalan raya.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) di Pejabat Daerah Barat Daya, Azmil Mokhtar berkata, RM150,000 dari peruntukan itu akan dibelanjakan untuk naik taraf 1.5 kilometer jalan dari Bayan Baru menyusur keluar ke Batu Maung.

Manakala, RM300,000 lagi akan dibelanjakan untuk menaik taraf 1.5 kilometer jalan dari susur keluar lebuh Bayan Baru hingga ke 'Jambatan Merah' berdepan dengan Kristal Point.

"Semasa itu, trafik melalui Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu akan perjalanan lebih lancar," kata Azmil semasa melawat kawasan projek baru-baru ini, di sini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung merangkap Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut hadir pada sidang media itu.

Menurut Azmil, kerja naik taraf lain antaranya membina sistem perparitan yang baru demi mengelak air hujan terperangkap di atas jalan utama berwajib tersebut.

Sebelum pada itu, Azmil bersama-sama Hock Seng dan Abdul Malik meninjau beberapa kawasan lompang yang menjadi takungan air di sepanjang jalan tersebut.

"Lompang air serta bahagian jalan raya yang tidak sekata sememangnya mampu mengakibatkan kemalangan di jalan raya tersebut," ujar Abdul Malik.

Difahamkan, perbelanjaan pembangunan Kerajaan Negeri antara tahun 2008 hingga 2011 berjumlah RM743.4 juta, berbanding empat tahun sebelumnya (2007 hingga 2004) yang berjumlah RM444.5 juta.

Peningkatan sebanyak 67.2 peratus atau RM298.9 juta itu meliputi kerja naik taraf infrakstruktur jalan, longkang, taman hijau, dewan orang ramai, pasar dan sekolah-sekolah.

No comments:

Post a Comment