12 April 2013

che'GuBard ikrar gerak rakyat pertahan P.Pinang, menangkan Putrajaya

SEKUMPULAN anak muda mesra Pakatan Rakyat petang tadi melancarkan demontrasi aman di perkarangan Komtar, George Town sambil menyatakan ikrar untuk mempertahan kemenangan Pakatan Rakyat di negeri berkenaan sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sekarang.

Pendiri Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), che'GuBard yang mengetuai himpunan aman itu berkata, undi seluruh rakyat bagi memastikan Pakatan Rakyat menang di Putrajaya mampu menguburkan politik perkauman Umno Barisan Nasionl dalam pilihan raya kali ini.

"Orang Cina, India dan Melayu tak perlu takut lagi dengan politik perkauman mereka (Umno Barisan Nasional) kerana undi perubahan yang sama-sama dibuat pada pilihan raya umum lepas telahpun menjadikan mereka (Umno Barisan Nasional sebagai) pembangkang di negeri ini.

"Sebab itu Melayu, Cina dan India wajib yang ditindas selama ini oleh politik perkauman Umno Barisan Nasional wajib bersama-sama melakukan sekali lagi perubahan (dalam PRU13).

"(Ini) kerana, perlawanan kali ini adalah antara orang yang menindas (Umno Barisan Nasional) dan orang yang ditindas (rakyat bersama-sama Pakatan Rakyat)," ujar beliau di depan lebih 50 hadirin, termasuk wartawan.

che'GuBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin berkata, SAMM akan menggerakkan massa bagi memastikan kemenangan rakyat menumbangkan pentadbiran pemangku perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini kali lah...Pertahan Pulau Pinang, Ubah Malaysia," ikrar che'GuBard disambut oleh para penyokongnya.

Beliau berkata, mandat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor wajib dipertahankan memandangkan pentadbiran di kedua-dua negeri Pakatan Rakyat itu mengamalkan prinsip integriti dan demokrasi tulen berpaksi pada kuasa rakyat.

Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali, Zolkifly Md Lazim (badan bertindak Hapuskan Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang, Hapus), Khairul Ishak (badan bertindak Bantah Anugerah keRakyatan Asing, baRa) dan beberapa NGO lagi turut berucap menyatakan sokongan kepada pentadbiran pemangku Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Mengulas mengenai status pencalonan di Sungai Acheh, che'GuBard sekali lagi memberi jaminan bahawa tiada pertandingan tiga penjuru membabitkan Yusni Mat Piah (Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang) demi merampas DUN itu daripada Umno.

"Sebagai ahli biasa PKR, saya terikat dengan disiplin parti. Saya akur dengan apa jua keputusan hasil perbincangan pemimpin parti.

"Sesiapa pun calon di Sungai Acheh, itu remeh. Yang penting, Pakatan Rakyat mesti menang di DUN itu," tegas beliau dalam sidang media selepas demontrasi aman tersebut. -END

No comments:

Post a Comment