18 April 2013

che'GuBard di Sg.Acheh, PKR buntu 2 kawasan?

che'GuBard mungkin tidak akan tampil di pentas ceramah PKR dekat Sungai Batu, Balik Pulau malam ini.

Pendiri Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dikesan menerima watikah sebagai calon parti di Ibu Pejabat PKR dekat Tropicana, Subang petang tadi.

Timbul tanda tanya, adakah che'GuBard sah bertanding di Dun Sungai Acheh atau di Parlimen Nibong Tebal seperti dihasrat SAMM dulu?

Sehingga 7.00 malam ini, tiada pengumuman baru dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Mohd.Salleh Man berhubung status ketua pemudanya Yusni Mohd Piah yang diumum tanding di Sungai Acheh.

Menerusi Facebook, Yusni bagaimanapun dikesan giat berkempen di Dun berkenaan sungguhpun menyedari impak berantai daripada pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan penyandang, Datuk Mahmud Zakaria (Umno).

Adakah che'GuBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin menerima warkah bertanding di Dun Sungai Acheh selepas mendapat 'lampu hijau' daripada Pas?

Yang diumumkan, bekas timbalan ketua menteri I Datuk Mansor Othman akan mengosong Dun Penanti yang pernah disandang untuk bertanding di Parlimen Nibong Tebal.

PKR buntu 2 kawasan
Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat khas petang tadi turut menyaksikan PKR buntu untuk menentukan calon di kawasan Parlimen Balik Pulau dan Dun Bertam.

Ini kerana, sumber berkata, PKR mempunyai banyak calon berwibawa untuk ditanding di kedua-dua kawasan itu.

Nama Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang, Johari Kassim dan Syed Mikael Rizal Aidid (Setiausaha AMK Pulau Pinang) dikatakan dalam senarai pendek calon PKR bagi merampas kerusi Dun Bertam.

Selain orang luar bernama Mohd. Bakhtiar Wan Chik yang diumum bertanding di Balik Pulau sebelum ini, status Yusmadi Yusoff yang menyandang Parlimen itu turut dinilai semula.

Anak tempatan Balik Pulau bernama Zolkifly Md Lazim turut dikatakan tersenarai pendek sebagai 'ayam tambatan' parti bagi mempertahan kemenangan Parlimen itu.

No comments:

Post a Comment