14 February 2013

GM13 terdesak pancing undi Pekan, lapor Sinar Harian

Syis (duduk, kiri) dan beberapa ahli yang terlibat hadir ke  Pejabat Pas Kawasan
Pekan bagi membuat pendedahan mengenai insiden yang menimpa mereka di
Pekan, semalam. | gambar: Sinar Harian.
PEKAN – Tindakan kumpulan GM13 (Gerakan Mahasiswa PRU13) yang didakwa giat melakukan kempen sejak kelmarin bagi memancing undi di sekitar daerah ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk setempat.

Ketua Kampung Ganchong Hulu, Mustafar Osman berkata, kehadiran sekumpulan ahli GM13 yang pergi dari rumah ke rumah di sekitar mukim Ganchong disedari kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.

Menurutnya, seramai sembilan ahli kumpulan tersebut bergerak dalam tiga kumpulan yang dipecahkan kepada beberapa orang sebelum mendakwa mereka datang untuk membuat bancian.

“Remaja lelaki dan perempuan yang berusia lingkungan 20-an itu menyatakan tujuan kedatangan mereka yang ingin membuat bancian sebelum mengedarkan beberapa risalah yang mengandungi maklumat untuk berkempen.

“Mereka cuba menghasut penduduk di sini menyokong pihak pembangkang selain bercakap mengenai pelbagai isu seperti jaminan pendidikan percuma, penurunan harga minyak dan barang selain memburuk-burukkan Menteri Besar Pahang serta kerajaan,” katanya.



Beliau yang membuat laporan polis pada jam 8 malam kelmarin mendakwa, kumpulan mahasiswa itu juga turut memberi wang di dalam sampul duit berslogankan dan simbol parti Pas.

“Saya sendiri memperoleh RM9 di dalam sampul tersebut yang dikepilkan di dalam buku bertajuk ‘Report Card MB Pahang, Bekas Guru Besar Menjadi Menteri Besar: Selepas 10 Tahun’ yang turut diedarkan," katanya.


Tetap degil berkempen

 Buku, risalah serta sampul berisi RM9 yang didakwa diedarkan
oleh ahli kumpulan GM13 kepada penduduk.


Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Kampung Kiambang, Ganchong, Abdullah Jais berkata, tindakan kumpulan berkenaan berkempen sememangnya tidak dialu-alukan malah dia bersama beberapa penduduk menasihati mereka agar pulang sahaja dan tidak meneruskan niat mendekati masyarakat kerana belum tiba masa untuk berkempen.

“Nasihat kami hanya sia-sia kerana mereka masih berdegil dan sempat ke tujuh rumah penduduk di sekitar kampung ini sebelum dihalang segelintir penduduk yang tidak senang dengan cara tidak sopan mereka,” katanya.

Menurutnya, penduduk juga menerima salinan ‘surat daripada mahasiswa untuk warga Pekan’ yang mengutuk pemerintahan kerajaan serta risalah yang meminta agar masyarakat memilih pembangkang dan menyifatkan agar Barisan Nasional perlu ‘direhatkan’ selepas 55 tahun memerintah negara ini.

“Kejadian berkenaan benar-benar menggugat ketenteraman di kawasan ini malah tindakan mereka itu adalah salah dan boleh dikenakan tindakan kerana berkempen sesuka hati sekali gus tidak menghormati undang-undang berkenaan tempoh berkempen yang ditetapkan.

“Saya sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) petang kelmarin bagi membuat satu laporan polis berkaitan tindakan mereka,” katanya.


Dua mahasiswa dakwa dicederakan

Sementara itu, Dua daripada 50 ahli GM13 yang turun berkempen di sekitar Parlimen Pekan mendakwa dicederakan beberapa lelaki yang menghalang usaha mereka mendekati masyarakat di mukim Ganchong.

Mahasiswa terlibat, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, 22, dan rakannya, Muhamad Alif Asyraf Abdull Rahim, 21, mendakwa perjalanan mereka dihalang oleh beberapa lelaki di dua kawasan berasingan.

Muhamad Alif berkata, kejadian yang menimpanya berlaku kira-kira jam 4 petang kelmarin ketika dia dan beberapa rakannya berada di Kampung Seri Makmur di mana sekumpulan lelaki bertindak menghalau mereka dari kawasan berkenaan.

“Kami cuba menerangkan usaha yang dilakukan namun secara tiba-tiba seorang lelaki daripada kumpulan berkenaan bertindak agresif dengan menengking dan menampar saya.

“Saya terkejut dengan tindakannya sebelum beredar dari kawasan kerana bimbang dicederakan dengan lebih teruk,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Pas kawasan Pekan.

Hadir sama, Yang Dipertua Pas kawasan Pekan, Abu Kassim Manaf; Ketua Penerangan PKR negeri Pahang, Sitarunisah Ab Kadir; Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Pahang, Syed Ali Syed Osman; Pengerusi GM13, Syis Abdul Kadir serta barisan kepimpinan Pas kawasan Pekan.


Amal politik samseng

Ekhsan Bukharee yang ditemui turut meluahkan rasa kecewa dan terkilan dengan tindakan pihak yang mengamalkan politik samseng di kawasan perdana menteri sendiri.

Menurutnya, kira-kira jam 4 petang kelmarin di Kampung Datuk Keramat, Ganchong, Pekan, sekumpulan lelaki menahan kereta yang dinaikinya bersama rakannya ketika sedang mengedarkan risalah dan surat ‘Harapan mahasiswa untuk rakyat Pekan’.

“Saya ditarik keluar dari kereta sebelum ditendang dan ditumbuk lelaki yang tidak dikenali dan mereka mengancam kami agar tidak terus mengedarkan surat berkenaan kepada pengundi di kampung berkenaan,” katanya yang turut membuat laporan polis di IPD Pekan, petang kelmarin.


Diserang dengan parang

Dalam pada itu Syis mendakwa, empat ahli GM13 iaitu dua siswa dan dua siswi diserang oleh individu yang tidak dikenali dengan parang di Felda Chini 4, kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam).

Menurutnya, seorang lelaki bertopeng datang dengan sebuah motosikal sebelum dua motosikal lain disyaki rakannya tiba untuk menghalau mereka dari rumah penduduk keenam yang dikunjungi.

“Lelaki bertopeng itu bertindak menengking kami sebelum mengeluarkan parang dan mengugut mahu mencederakan kami jika tidak beredar dari kawasan berkenaan.

“Serangan kali ketiga ini berlaku ketika kami sedang mengedarkan surat itu dari rumah ke rumah dan pada sama sebuah rumah penduduk yang dipilih untuk program gotong-royong di Kampung Mentiga dikepong 10 kereta,” katanya.


Polis mohon beri kerjasama

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman mengesahkan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut ke atas empat laporan berkaitan kejadian kelmarin dan meminta semua pihak terlibat memberi kerjasama bagi menyelesaikannya.

Menurutnya, dua laporan dibuat oleh mahasiswa yang mendakwa diserang individu serta sekumpulan lelaki tidak dikenali, manakala dua lagi laporan diterima daripada pemimpin setempat di mukim Ganchong yang tidak berpuas hati dengan tindakan kumpulan GM13 berkempen di kawasan mereka.

No comments:

Post a Comment