04 October 2012

Pilihan raya PBT: Sebulan untuk SPR sebelum rujuk mahkamah - Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (kanan) bersama-sama Lim Guan Eng menunjukkan surat maklum balas daripada SPR yang didakwa tidak menyatakan pendirian secara jelas sama ada bersedia melaksanakan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 atau sebaliknya.
KERAJAAN Negeri Pulau Pinang memberi masa selama sebulan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan sama ada suruhanjaya itu bersedia melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan atau sebaliknya.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu akan dirujuk ke mahkamah sekiranya suruhanjaya masih berdalih untuk melaksanakan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 yang baru diwartakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini.

Malah, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan cuba mendapatkan pengisytiharan Mahkamah  bahawa enakmen itu bukanlah bertentangan dengan perlembagaan (ultra vires) seperti yang digambaran oleh kerajaan pusat selain mengarahkan SPR supaya melaksanakan pilihan raya kecil di kedua-dua kerajaan tempatan berkenaan.

"Kita akan terus berusaha (tunggu jawapan balas SPR) dalam masa sebulan," kata Kon Yeow dalam satu sidang media bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng di Komtar, George Town.

Penegasan itu sebagai reaksi pada surat maklum balas SPR bertarikh 14 September lepas kepada Kerajaan Negeri yang memaklumkan bahawa suruhanjaya sedar mengenai enakmen yang diwartakan itu.

Terdahulu, Guan Eng dalam satu surat bertarikh 30 Ogos mendesak SPR melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan demi memenuhi tuntutan enakmen berwajib.

Desakan itu sebagai reaksi pada kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chow Chee Heung yang berdalih bahawa enakmen itu kononnya adalah bertentangan dengan perlembagaan atau "ultra vires".

Dalih Chee Heung lagi, inisiatif Kerajaan Negeri itu adalah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 15 Akta 171 (Undang-Undang Persekutuan).

Chee Heung berdalih, pendirian Kerajaan Pusat itu adalah selaras dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:

"Jika mana-mana undang-undang Negeri yang tidak diselaras dengan suatu undang-undang Persekutuan, undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri adalah tidak sah setakat tidak selaras itu.

"Tindakan Kerajaan Negeri meluluskan undang-undang itu tanpa berbincang dengan Masjid Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) jelas bertentangan dengan Perkara 95A (6) Perlembagaan Persekutuan," dalih beliau dipetik dari satu akhbar arus perdana.

Nada yang sama turut dipertegas oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad dilaporkan berkata, suruhanjaya berpendirian bahawa sebarang perkara membabitkan perubahan dasar dan perundangan mengenainya tertakluk kepada persetujuan MNKT seperti diperuntukkan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan dalih itu, katanya lagi, SPR selaku badan bebas yang mengendali pilihan raya di negara ini pernah diberi kuasa untuk mengendalikan pilihan raya bagi kerajaan tempatan, iaitu mengikut Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan 1960.

Namun, beliau berdalih, apabila akta itu dimansuh dan dihentikan kuat kuasanya mengikut Subseksyen 15(1) Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 10 akta sama (Akta 171) pula menetapkan keanggotaan sesuatu majlis PBT dibuat secara pelantikan oleh kerajaan negeri masing-masing.

"Oleh itu, berpandukan akta baru ini, SPR tidak boleh mengendalikan sebarang pilihan raya kerajaan tempatan kerana ketiadaan peruntukan yang memberi kuasa kepada suruhanjaya ini berbuat demikian mengikut undang-udang persekutuan (berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan)," katanya dipetik dari satu akhbar arus perdana.

Pilihan raya kerajaan tempatan sungguhpun digambarkan bertentangan dengan perlembagaan, namun, insiatif ini pernah dilaksanakan di Pulau Pinang pada era 1960-an sebelum dihapuskan oleh kepemimpinan Barisan Nasional yang menguasai Kerajaan Negeri semasa waktu tersebut.

Pakatan Rakyat yang diberi mandat mentadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak Mac 2008, iaitu pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lepas cuba untuk mengembalikan semula kuasa rakyat dengan mewujudkan pilihan raya kerajaan tempatan secara demokratik.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan bahawa inisiatif demokratik yang mahu direalisasikan oleh Kerajaan Negeri demi rakyat di negeri berkenaan seakan cuba dihalang oleh kerajaan pusat dan SPR sendiri. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus