02 August 2012

Wacana: Fikrah jelas yang tidak jelas...

SOALAN:
Pemimpin dan ahli JIK seringkali dilabelkan mempunyai fikrah yang tidak jelas apabila memberikan pendapat yang berbeza dengan pemimpin tertentu Dewan Pemuda PAS di Borneo ini. Sebagai pemimpin JIK di sini, macam mana kita nak kukuhkan fikrah kita sedangkan kita sendiri pun tidak jelas fikrah kita?

JAWAPAN:
Sebelum diperjelaskan kedudukan fikrah itu, elok diketahui bahawa di dalam Islam ada sumber hukum syarak yang empat.

Dua daripadanya bersifat qat'ie (baca: mutlak), iaitu al-Quran dan al-hadith. Dua sumber yang lain bersifat dzonni (baca: berubah-ubah).

Al-Quran umpamanya, sungguhpun bersifat qat'ie, namun di dalamnya terdiri oleh ayat-ayat muhkamad (baca: yang yang jelas maksudnya) dan ayat-ayat mutasyabihat (baca: ayat-ayat yang memerlukan penjelasan atau penafsiran lanjut).

Ini kerana al-Quran itu adalah wahyu Allah yang sarat dengan seni bahasa serta menjadi mukjizat (baca: pelemah) Rasulullah s.a.w bagi menghadapi kehebatan kesusasteraan arab Jahiliah.

Contoh nas al-Quran yang bersifat mutasyabihat:

"Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka..." (Surah al-Fath: 10)

Ta'wil Salaf: Kami tidak mengetahui erti 'tangan Allah', akan tetapi mustahil bagi Allah beranggota dan bersekutu-kutu (baca: seperti tangan manusia).

Ta'wil Khalaf: Yang dimaksudkan dengan 'tangan' itu adalah kudrat (kekuasaan). Maka, maksud ayat itu adalah kekuasaan Allah mengatasi kekuasaan mereka (baca: manusia).

Perbezaan dalam memahami nas ini pasti akan berlaku kerana ia bersifat mutasyabihat atau tidak jelas.

Lihat! Dalam nas mengenai persoalan aqidah yang bersifat qat'i pun, didapati lahirnya perbezaan disebabkan nas bersifat mutasyabihat.

Dalam perkara yang tiada nas yang sahih lagi soreh seperti dalam hal politik, keorganisasian, ijtihadiyah dll, lebih-lebih lagi menyaksikan fikrah yang berbeza-beza dan pelbagai.

Apa yang saya nak sebutkan di sini, fikrah mengenai nas yang qat'i pun masih bersifat dzonni. Maka, jangan dimutlakkan sesuatu fikrah yang kita selesa untuk menerimanya.

Jika fikrah Islamiah (baca: pemikiran Islam) bersifat qat'i, nescaya ia menjadi sumber hukum syarak yang kelima.

Dalam konteks fekah pula, kita dapat menyaksikan kelahiran mazhab fiqh seperti Malikiah, Syafi'iyyah, Hanafiah dan Hanabilah sungguhpun perbahasan mengenai fiqh mereka berdasarkan dustur yang sama, iaitu al-Quran dan al-Hadith.

Lihat Hadith Ahad di bawah:

"Barangsiapa berpuasa ramadhan, kemudian diikuti 6 hari dalam bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa setiap masa" [Hadith Muslim: 1984]

Puasa enam sunat bagi kita yang ikut shafi'iyyah sebab Imam mazhab kita berpendapat demikian atas sabit dengan nas yang sahih lagi soreh seperti di atas.

Namun, Malikiyyah berpendapat puasa enam ini makruh sungguhpun sabit dengan nas soreh (baca: jelas) yang sama atas beberapa alasan:

Pertama, puasa enam itu tidak diamalkan pun oleh ilmuan di Madinah (baca: bukan 'amal ahlu madinah) serta kaum salaf.

Kedua, puasa enam ini boleh bersalahan dengan maqasid asy-syariah, iaitu menutup segala ruang yang boleh membawa pada bid'ah (baca: amalan yang dianggap ibadat tetapi tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w).

Puasa pada 1 Syawal adalah haram tetapi hadith yang menyebut "kemudian diikuti 6 hari dalam bulan Syawal" tidak menjelaskan mengenai larangan berpuasa pada 1 Syawal.

Justeru, kalimah "diikuti" pada nas sahih itu dibimbangi akan ditafsir puasa pada 1 Syawal pun dianggap sunat, maka Imam Malik berpendapat puasa enam makruh atas pertimbangan "menutup segala ruang yang boleh membawa pada bid'ah".

Demikian jugalah berlaku perbezaan pendapat di antara imam-imam dalam satu-satu mazhab disebabkan mereka sedang melakukan ijtihad.

Apakah perubahan pemikiran dalam kalangan Imam Fekah ini boleh disimpulkan sebagai "fikrah yang tidak jelas"?

Jika benar dakwaan aneh itu, iaitu fikrah yang berubah-ubah dalam kalangan Imam Fekah ini disimpulkan sebagai "fikrah yang tidak jelas", fikrah yang bagaimana pula yang mesti "dikukuhkan" sebagai fikrah yang jelas?

Ingat! Jangan dimutlakkan sesuatu fikrah yang kita selesa untuk menerimanya kerana itu perbuatan Sang Diktator Agama.

Fikrah, menurut disiplin usul fiqh, selama-lamanya bersifat dzonni (baca: berubah-ubah).

Jika pemimpin terdahulu JIK mahu menegaskan bahawa fikrah bersifat qat'i (baca: tidak berubah-ubah atau mutlak), sepatutnya fikrah dijadikan sebagai sumber hukum syarak kelima.

Jika mazhab Syi'ah menjadikan intepritasi sejarah oleh para Imam mereka sebagai salah satu sumber hukum syarak mereka, jangan pula generasi JIK terdahulu menyeleweng dengan mengatakan fikrah bersifat mutlak serta seakan sumber hukum syarak yang baru pula.

Timbul persoalan di sini, fikrah yang pelbagai di kalangan para imam mazhab Sunni ini tidak dipertikai. Yang dipertikai di sini adalah fikrah di kalangan ahli-ahli JIK sendiri yang semuanya bukan di bawah ketegori al-Imam atau mujtahid.

Saya juga ingin bertanya, para pemimpin JIK atau Ahli Syura itu sendiri adakah di bawah ketegori al-Imam atau Mujtahid sehingga ketetapan mereka itu tidak boleh menerima perbezaan fiqh?

Adakah pendapat mereka itu fatwa, ittifak, jumhur hatta ijmak sampai begitu tidak boleh menerima perbezaan dengan fikrah-fikrah yang lain?

Suka saya nyatakan persoalan ijtihad berlaku dalam dua perkara, iaitu:

Pertama, Al-Ijtihad fi Fahmi an-Nas (baca: ijtihad dalam memahami nas yang dilakukan oleh para mujtahid seperti imam-imam mazhab).

Kedua, al-ijtihad al-tanzili (baca: ijtihad di lapangan yang layak dilakukan oleh ulama, ahli pakar hatta orang awam)

Contoh: Saya berijtihad untuk memilih PAS sebagai wadah perjuangan Islam dalam kerangka demokrasi Malaysia di PRU13.

Ijtihad ini dilakukan dan sesuai dalam zuruf (baca: masa, tempat dan kondisi saya) sekarang.

Di kampus dahulu, saya memilih JiK PMIUM sebab zuruf dahulu berbeza dengan zuruf sekarang.

'Ijtihad di lapangan' ini dilakukan oleh saya sejak bergelar mahasiswa dahulu sehingga lah saya bergelar blogger pro Pakatan Rakyat sekarang.

Dengan erti kata lain, fikrah sifatnya berubah-ubah.Jangan dimutlakkan sesuatu fikrah yang kita selesa untuk menerimanya kerana itu perbuatan Sang Diktator Agama.

Mereka yang menganggap fikrah yang berubah-ubah itu adalah fikrah yang tidak jelas adalah suatu pemikiran (fikrah) yang berlawanan dengan fitrah manusia.

Ini kerana fitrah manusia - baik Muslim mahupun non-Muslim - secara semula jadi menghargai perbezaan dan kepelbagaian pendapat.

Semua ini menjadi nikmat dalam kehidupan dan nikmat dalam mentaati Allah jika kita seorang Muslim.

Mengapa seseorang mukallaf tidak boleh menerima fikrah yang berubah-ubah serta berbeza-beza sedangkan mereka boleh menerima berbezaan pendapat di kalangan ahli akidah dan ahli fekah itu adalah lumrah (baca: fitrah).

Jika persoalan yang mempunyai nas qat'i pun menyaksikan fikrah yang berbeza-beza dan berubah-ubah di kalangan ahli tauhid dan ahli fekah, mengapa para qiyadah (kepemimpinan) dan jundiyyah (baca: keahlian) tidak boleh mengambil sikap yang sama dalam perkara yang tidak mempunyai nas sahih lagi soreh?

Fikrah yang tidak jelas adalah mereka yang tidak boleh menerima perbezaan atau kepelbagaian pendapat tidak kira sama ada dalam hal politik, pentadbiran, keorganisasi, perasaan, kaedah penyelesaian masalah, mesyuarat dan banyak lagi.

Fikrah, menurut disiplin usul fiqh, selama-lamanya bersifat dzonni (baca: berubah-ubah).

Ingat! Jangan dimutlakkan sesuatu fikrah yang kita selesa untuk menerimanya kerana itu perbuatan Sang Diktator Agama.

Justeru, jangan melabelkan "Fikrah nta tak jelas lah, Pakaq!!!" sekiranya kalian tidak mempunyai hujjah untuk menolak pendapat fiqhnya.

Itu, perbuatan Sang Diktator Agama namanya!

Fikrah yang sejahtera yang wajar diperkukuhkan adalah menerima perbezaan serta kepelbagaian kerana itulah fitrah manusia.

Sehingga tahap ini, siapa menganggap fikrah 'Wehdatul Fikr wa Wehdatul Amal' (baca: Kesatuan pemikiran dan kesatuan gerak kerja) ini berlawanan dengan fitrah manusia yang hakikatnya menerima kepelbagaian dan perbezaan?

Cuba tadabbur Firman Allah s.w.t seperti di bawah:

"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetapkanlah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." [Surah ar-Rumm: 30]

Jika saya mengatakan fikrah "Wehdatul Fitrah" jauh lebih baik berbanding fikrah "Wehdatul Fikr wa Wehdatul Amal" yang cuba ditegakkan oleh kebanyakan Sang Diktator Agama dalam JIK, ada sesiapa mahu mengatakan, "Fikrah nta tak jelas lah, Pakaq!!!"?

Selamat berwacana!

SAYA BERSETUJU UNTUK BERBEZA PENDAPAT

Zainulfaqar Yaacob
Hosp. Johor Bharu | 3.14 petang

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus