Wacana “Mengapa Undi Melayu Pecah” anjuran Sinar Harian (SH) dari
Kumpulan Karangkraf berlangsung pada 28 hb Februari lalu. Rata-ratanya
ia ditanggapi sebagai hangat, tegang tetapi lancar dan terkawal.
Mereka
yang gagal untuk hadir dalam dewan menonton melalui internet
@SinarOnline dan @Mobtv.my. Liputannya dibuat dalam dua keluaran SH dan
secara verbatim esok mengikut maklumat pihak pengurusan SH.
Dalam hampir 3 jam perbahasan bersekali dengan sidang akhbarnya yang
menghuraikan pelbagai isu di sekitar tajuk wacana, amat malang sekali,
ada pihak yang memanipulasi laporan wacana ini dengan sengaja
mengenengah dan kini ‘memporakperandakan’ minda rakyat yang tampaknya
bermotifkan politik.
Paling mutakhir seorang mantan PM juga tumpang semangkuk sekaligus
dengan lebih jelas membuktikan bagaimana pihak media yang andainya
tidak cermat atau juga punyai agenda tertentu akan terpalit untuk
memenangkan sesuatu tumpuan umum dalam memobilisasi pandangan awam
(public opinion).
Lebih malang lagi bila saya kesani ada segelintir
kecil pihak PAS sendiri yang terpengaroh meminta saya tarik balik
kenyataan saya. Kenyataan apa, kalau boleh saya tanya.
Nyata bahawa Wacana ‘Mengapa Undi Melayu Pecah’ yang saya kira sihat
dan informatif, kini telah diheret pihak tertentu secara sengaja atau
tidak bagi menonjolkan isu ‘PAS bersedia di pimpin bukan-Islam’.
Bukan
tajuk wacana sama sekali, tetapi itulah nasib panelis, yang mesti menjadi
peringatan yang bakal bersetuju menjadi panelis. Satu perkara atau
isu, yang awalnya ditanggapi isu sampingan atau ‘side-dish’ menjadi
habuan utama atau ‘main meal’ bagi lawan politik atau pihak tertentu.
Saya diingatkan supaya tulis penjelasan ini ringkas tetapi jelas.
Biar orang kampong semua boleh faham.
Saya cuba insyaAllah. Untuk
tujuann tersebut saya mendengar rakaman verbatim dalam @Mobtv.my
beberapa kali dan telah pun meminta pegawai saya menyalinnya. Justeru
yang tidak hadir dan tidak dengar perbahasan 3 jam itu tetapi mahu
membuat kenyataan rasmi seperti Tun termasuk ramai dalam media sosial
lain, tolong beri perhatian yang serius.
Soalan dari Moderator Dr Maszlee adalah ‘Apakah PAS bersedia untuk
melantik Timbalan Presiden dari kalangan bukan-Islam seperti Ikhwan
Muslimin baru-baru ini’..tekuni jawaban saya..
Perkara seperti ini bukan perkara-perkara prinsip yang tetap.
Dalam (Syariat) Islam ada 2 perkara-kategori (hukum). Satu, perkara2 ‘
Tetap’ yang tidak boleh ubah dikatakan ‘Al-Thawabit’. (Tetapi) Ini
perkara2 dalam ruang lingkup Ijtihad dan yang dikatakan sebagai
‘Al-Mutaghiyyaraat’ . 2 perkara ini kita mesti bezakan atas apa susun
atur politik itu semua perkara-perkara yang boleh berubah…..
Pada perkara yang boleh berubah kita ubah pada waktu dan
tuntutannya. Ini perkara ……….
PAS berani berubah! Ada perkara yg tetap
tapi ada perkara yang tertakluk kpd perubahan…….. Jadi kita boleh bersedia untuk menerima perubahan & pindaan seperti itu.
Pada persoalan: Jangka masa? Bila? Jawab saya: Ha! Jangka waktu itu segalanya tertakluk kepada needs atau keperluan. Ya! Terima kasih.
Ketika saya di asak soalan tambahan: “ keadaan sekarang needs tu dah..?”
Jawab saya : Mungkin belum ada needsnya (keperluannya) tapi kalau dah diutarakan kita akan bincang dan di Muktamar kita putuskan bersama..
Pada soalan: “Belum dibawa?”
Jawapan saya: “Belum lagi”… Ini Dr Mazlee
pertama kali dengar ini. Tapi kalau perkara itu dah menekan, sebab apa…
Sebab itu mengikut katanya peredaran…peredaran zaman ya… dan Islam itu
mampu menangani peredaran zaman. Itu yang dimaksudkan… Its able to
withstand the challenges of time dan realities. Ini perkara2 yg tentunya
mendatang kita akan hadapi pada waktunya dan kemaslahatan
kepentingannya.
Nah itulah jawapan saya yang telah mencetuskan kontroversi .
Persoalan besar yang ramai menunggu penjelasan ialah mengapa saya
berpendirian sedemikian. Ini hujjah saya secara ringkasan sahaja
bersandarkan hujjah yang dikemukakan oleh Imam Al-Mawardi dalam Kitabnya
Al-Ahkam Al-Sultaniyyah (Beirut).
Al-Mawardi membezakan jawatan dalam kerajaan (dan ada Ulama yang
qiyaskan dalam parti-jamaah Islam)..kedudukan nombor satu yang
disebutkan sebagai ‘Wazir Tafwidh’ tidak boleh diberikan kepada bukan-Islam tetapi pada kedudukan ‘Wazir Tanfidz’ (Menteri-menteri
Kabinet yang lain atau jawatan lain dalam organisasi), maka ianya boleh
sahaja dilantik dan diserah kepada orang bukan-Islam.
(Wa yajuzu an yakunu hadhal wazir min ahlil dhimmah wa in lam yajuz an yakunu wazir al-tafwidh min hum)…Al-Ahkam Al-Sultaniyyah
Bila saya menjawab dengan positif pada soalan moderator saya cukup
jelas landasan dan sandaran saya. Kedudukan nombor satu Presiden atau
Perdana Menteri adalah bersamaan dengan kedudukan ‘Wilayatul Tafwidh’ tetapi
pimpinan yang lain Timbalan2 bahkan Naib2nnya juga boleh sahaja di
banyakkan jumlahnya dan disusun-atur mengikut kepentingan fasa (fatrah)
perjuangan. Ini perkara Ijtihadiyyah dan jelas tertakluk kepada
‘penilaian berterusan’.
Di sini kita tidak perlu jumud dan beku kerana saya bercakap dengan
rangka masa depan. Dulu kita tidak ada Dewan Himpunan Penyokong PAS
(DHPP) tetapi kini sudah ada.
Saya boleh bayangkan satu hari nanti kalau
ia membesar sehingga akan berlaku pindaan perlembagaan PAS yang
mencadangkan supaya Ketua Dewan dijadikan salah seorang Naib Presiden,
satu unjuran yang amat menasabah. Mungkin makan satu atau dua dekad
lagi, Wa AlLahu’Alam.
Saya cukup jelas dengan kedudukan Majlis Syura Ulama dan Muktamar
yang sentiasa menjaga landasan parti supaya tidak tergelincir. Tetapi
parti mempunyai ruang yang cukup luas dalam pentadbiran, organisasi dan
pendekatan (strategi) perjuangan, yang semestinya sentiasa mengalami
‘pembaharuan’ dan ‘renewal’ (tajdid) namun dibuat melalui saluran dan
kaedahnya.
Pokoknya saya tidak kira wajar mengelak berulang situasi di mana kita
tolak dan kita sempitkan apa yang sebenarnya luas dan boleh sahaja
dilakukan, tetapi atas dakwaaan menjaga ‘jatidiri’ atau ‘keaslian’, ada
yang kurang senang bekerjasama dengan kelompok dan parti yang tidak
berteraskan Islam.
Namun apabila PAS mahu wujudkan ‘Tahaaluf’ atau
‘Muafakat Politik’ ahli dan umum, tampak di kacamata golongan ini bahawa
kita semacam berbolak-balik.
Sebenarnya tidak demikian, sebab itu
penting membuat penjelasan awal dan jangan takut menyatakan kebenaran
secara berani. Ini sebab kita tidak terangkan bahawa ia boleh sahaja
berubah atas tuntutan maslahah fasa perjuangan dalam rangka Ijtihad
parti oleh kepimpinan tertinggi dan Majlis Syura Ulama.
Saya tidak hairan Tun Mahathir memutarbelitkan kenyataan saya secara
cukup tidak sopan ketika mencadangkan YB Lim Kit Siang supaya menjadi
Presiden PAS, sekiranya Al-Quran pun Tun boleh putar-belit dengan
mengatakan bahawa dalam Al-Quran pun tidak ada Hukum Hudud dan Hukum
Hudud tidak adil. (Konvensyen Kebangsaan Politik dan Patriotisme, K2P,
26 Feb, 2012, di UNIMAS)
Saya cadangkan Tun tumpukan menjelaskan dakwaan bahawa dalam era
pemerintahannya sebnyak USD100 (RM330bilion) hangus kerana ketirisan dan
rasuah dalam pengurusan kewangan yang tempang.
Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat- MP KS.
No comments:
Post a Comment