Produktiviti buruh Pulau Pinang lebih rendah berbanding purata kebangsaan membimbangkan

LIM Guan Eng (tengah) seusai mengadakan sidang media berkaitan, turut merakamkan gambar kenangan bersama-sama para penyokongnya di perkarangan hadapan Pasar Awam Sri Bandar di sini pada 1 November 2025.

BAGAN DALAM – Mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, meminta agar isu produktiviti buruh di Pulau Pinang bagi tahun 2024 yang mencatatkan kadar 1.9 peratus, iaitu lebih rendah berbanding purata kebangsaan 2.4 peratus, diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri.


LIM Guan Eng
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan berkata, sebagai negeri perindustrian utama, Pulau Pinang sepatutnya merekodkan pertumbuhan produktiviti buruh yang lebih tinggi daripada purata nasional.


“Produktiviti buruh di Pulau Pinang begitu rendah, lebih rendah daripada produktiviti buruh kebangsaan.


“Lebih membimbangkan, Pulau Pinang merupakan negeri industri yang mana sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan menyumbang kira-kira 90 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri,” katanya kepada pemberita di Pasar Awam Sri Bandar di sini, pada 1 November 2025.


Memetik laporan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 30 Oktober lalu, Guan Eng berkata, Pulau Pinang berada di kedudukan kesembilan, mendahului Wilayah Persekutuan Labuan (1.8 peratus), Kedah (1.7 peratus), Negeri Sembilan (1.3 peratus), Kelantan (1.2 peratus), Perlis (-1.1 peratus) dan Sabah (-1.7 peratus).


Selain itu, beliau turut meminta Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap prestasi sektor pembuatan di Pulau Pinang yang hanya mencatatkan pertumbuhan 1.3 peratus, serta sektor perkhidmatan (1.5 peratus).



Menurut laporan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, produktiviti buruh mencatatkan pertumbuhan positif di kebanyakan negeri pada 2024, dengan Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Melaka, Selangor dan Sarawak melepasi kadar pertumbuhan nasional 2.4 peratus.


Beliau berkata, produktiviti buruh Malaysia meningkat 2.4 peratus pada tahun 2024, merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM99,265 (2023: 0.7%; RM96,914), sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.1 peratus pada tahun 2024 (2023: 3.5%).


Terdahulu, Guan Eng bersama ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran; ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; Pengarah Kejuruteraan MBSP, Mohd. Syukri Said; serta dua Ahli Majlis MBSP, C. Linggeswaran dan Benson Neoh Kah Wei, turut melawat projek penaiktarafan Pasar Awam Sri Bandar yang berjaya disiapkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kos RM117,100.


Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB

Comments