![]() |
| ANWAR Ibrahim berjoget bersama-sama Donald Trump mengikut irama tarian lokal susulan ketibaan Presiden AS itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 Oktober 2025. |
SERAMAI 60 aktivis pro Palestin yang menyertai konvoi mingguan bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN - Malaysia, ditahan beramai-ramai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 26 Oktober lepas.
Penahanan mereka berlaku beberapa jam sebelum pesawat Air Force One yang dinaiki Trump mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Trump yang dikenali sebagai sekutu kuat kepada Perdana Menteri Zionis-Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan memberitahu pemberita bahawa Perdana Menteri Ke-10 Malaysia (PMx), Datuk Seri Utama Anwar bin Ibrahim sebagai ‘seorang yang sangat baik’.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) nasional dipuji selepas menari mesra bersama-sama Trump dalam acara sambutan luar biasa di lapangan terbang tersebut.
“Saya beritahu pemimpin Malaysia (Anwar), beliau adalah seorang yang sanga baik. Saya kata, saya berhutang anda satu lawatan,” puji Trump.
Trump merupakan presiden AS ketiga yang melakukan lawatan ke Malaysia, selepas Lyndon B Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014.
Bagaimanapun, pada kali ini, ia berlaku di sebalik sentimen anti-Amerika yang memuncak di seluruh dunia Islam susulan sokongan terbuka Washington kepada kempen penghapusan penduduk asal Palestin oleh rejim Zionis-Israel berlatutan di wilayah bergolak Gaza; yang mana setakat ini telah meragut lebih daripada 60,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pada acara sambutan di lapangan terbang, selain menarik bersama-sama, Anwar turut memperkenalkan barisan Kabinet kepada Trump.
Dalam perkembangan berkaitan; kira-kira dua minggu yang lalu, pemimpin Zionis Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan Trump sebagai ‘sahabat terhebat Israel yang pernah berada di Rumah Putih’.
"Tidak pernah seorang presiden Amerika yang lakukan lebih banyak demi Israel, dan seperti yang saya katakan di Washington, memang tiada tandingan. Benar-benar tiada tandingan," kata Netanyahu dalam ucapan di Knesset pada 13 Oktober.
Anwar sebelum ini menolak pelbagai seruan daripada kumpulan dan tokoh terkemuka untuk membatalkan jemputan kepada pemimpin AS itu.
Sebaliknya, pentadbirannya melancarkan kempen media bagi menggambarkan lawatan itu tidak akan menjejaskan dasar kerajaan Malaysia selama ini yang menyokong perjuangan Palestin.

Comments
Post a Comment