![]() |
| HASSAN Karim |
PERJANJIAN dengan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar bin Ibrahim terus menerima reaksi tidak menyenangkan daripada wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata perjanjian itu membolehkan AS memunggah kekayaan hasil bumi negara miskin seperti Malaysia.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Subang Jaya (PKR), Wong Chen turut meluahkan reaksi yang hampir sama.
“Bagaimana Amerika Syarikat boleh mengenakan syarat Petronas kena beli LNG (gas asli cari) dari Amarika Syarikat setiap tahun sebanyak 3.4 bilion USD (Dolar Amerika Syarikat), bukan Ringgit; kata negara kita (Malaysia) berdaulat dan merdeka - apa sudah jadi YB Tambun (Anwar)?
“Setelah beratus tahun kita mempertahankan (kedaulatan tanah air dengan) melawan Belanda, Portugis dan Inggeris, (dan hasilnya) kita merdeka.
“Tapi, hari ini apabila Trump datang - yang mana (dia bersekongkol) menjahanamkan Gaza dan bumi Palestin, kita (Kerajaan Madani Malaysia) sambut mereka dan serahkan kekayaan kita.
“(Dengan termeterai perjanjian) ini, pemunggahan harta negara miskin (iaitu merujuk kepada) Malaysia ke Amerika (Syarikat).
“Saya kritik…saya tidak tahu apa terjadi kepada saya selepas ini, tapi saya tidak setuju bagaimana ada syarat Amerika (Syarikat) kenakan iaitu kita (Malaysia) kena jual nadir bumi kita kepada Amerika Syarikat; tiada sesiapa boleh halang; mana boleh dia (AS) mengenakan syarat sedemikian,” tegasnya di Dewan Rakyat.
Sungguhpun cuba dibendung oleh Speaker Dewan Rakyat, Hassan turut mempersoal kewibawaan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang turut terlibat dalam proses rundingan perdagangan sempena kehadiran Presiden AS, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia.
“Menteri MITI ini (Zafrul), apa yang dia runding…ini penggadaian negara kita dan memalukan,” kecam Hassan lagi.
Semalam, seorang aktivis politik, Anas Abd Jalil mengecam hasrat pentadbiran Anwar membangun sektor nadir bumi dengan syarikat-syarikat dari AS, yang mana didakwa akan menyumbang pada pensenjataan Zionis-Israel bagi projek pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza.

Comments
Post a Comment