Elaun bertukar pindah doktor perubatan masih tidak disebut dalam Belanjawan 2026 Pusat?


BELANJAWAN 2026 Pusat memperuntukkan RM46.5 bilion berbanding RM45.3 bilion yang telahpun diperuntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun ini. [rujuk Perkara 176].

Sejak 2023 hingga 2025, Kerajaan MADANI telah meluluskan 1,500 jawatan tetap tambahan bagi menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap. Termasuk pengisian tahunan, sejumlah 12,900 doktor kontrak telah diserap ke jawatan tetap. Sukacita diumumkan, Kerajaan telah meluluskan seramai 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun hadapan (2026). [rujuk Perkara 182]

Manakala untuk jawatan jururawat, seramai 833 jururawat kontrak telah ditawarkan lantikan tetap tahun ini (2025). Tahun hadapan (2026), seramai 935 granduan Institut Latihan KKM akan ditawarkan jawatan tetap. [rujuk Perkara 182].

Bagi menghargai dedikasi pegawai perubatan, pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian, sukacita saya umumkan, kadar Elaun Tugas Atas Panggilann (ETAP) yang dikaji sejak 2011 dinaikkan sekitar 40% berkuat kuasa 1 Oktober 2025 dengan peruntukan tambahan RM120 juta setahun. Umpamanya, doktor pakar yang diarah bertugas atas panggilan aktif pada hari cuti, kadar ETAP ditingkatkan kepada RM350 ketimbang (berbanding) RM250. [rujuk Perkara 182].


ULASAN SAYA: 

Secara atas kertas, beberapa perkara yang Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim nyatakan semasa perbentangan Belanjawan 2026 Pusat di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2025 lepas adalah baik untuk mereka yang terus setia berkhidmat dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam negara.

Pun begitu, ada seperkara barang kali terlepas daripada radar politik semasa memperbaiki polisi fiskal sedia ada di bawah KKM. 

Perkara yang dimaksudkan isu pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak yang dilantik ke jawatan tetap tidak layak membuat tuntutan bertukar pindah; kerana tempoh perkhidmatan pegawai adalah terputus dari kontrak ke tetap.


Isu malar segar ini pernah dibangkitkan oleh kumpulan pendesak iaitu Hartal Doktor Kontrak pada 28 Julai 2023 lagi. 

Doktor gadai emas, keluar ASB demi pindah, khidmat di Sabah, lapor portal CodeBlue.

Di Dewan Rakyat, Anwar yang juga Menteri Kewangan antara lain telah pun menyatakan bahawa sejak tahun 2023 hingga 2025, Kerajaan MADANI telah meluluskan sejumlah 1,500 jawatan tetap tambahan bagi menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap. 

Jawatan tetap yang ditawarkan itu akan mendorong doktor kontrak melaporkan diri, susulan tidak disediakan elaun bertukar pindah kepada mereka yang diarah terbang dan berkhidmat di Sabah dan Sarawak umpamanya. 

Justeru, boleh diajukan soalan kepada Anwar ataupun Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Dewan Rakyat kelak seperti berikut:

“Bagi tempoh 2023 hingga 2025, sejumlah 1,500 jawatan tetap tambahan yang telahpun diluluskan, berapa doktor kontrak telah berjaya melapor diri terutama di Sabah dan Sarawak? Sila nyatakan punca doktor kontrak tidak melapor diri untuk jawatan tetap di bawah KKM.”

Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang kian berbahang, barang kali Pengerusi Badan Perhuhungan Negeri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar bin Radin atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan wajar membangkitkan isu ini semasa sesi perbelanjaan bajet sekarang.

Tidak setakat itu sahaja, rejim pemerintahan hari ini mesti diasak untuk menyediakan elaun bertukar pindah berwajib pada kadar yang munasabah, bagi mencegah gejala hijrah cendekiawan (brain drain) dalam kalangan graduan perubatan dan petugas barisan hadapan kesihatan awam negara. 

Saya mohon mencadang.

Setakat ini dulu. Sebarkan jika bermanfaat.

Comments