SETENGAH pihak menganggap Belanjawan 2026 Pusat ini aneh kerana merangkumi sumber kewangan daripada syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) sekali yang berjumlah RM30 bilion; RM10 bilion pelaburan awam-swasta (PPI), RM10.8 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). [rujuk Perkara 16]
Di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2025 lepas, Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar bin Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata belanjawan pada kali ini adalah komitmen pada FRA atau Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Umum mengetahui bahawa belanjawan tahunan Kerajaan Persekutuan dibentangkan berdasarkan berdasarkan pada Perlembagaan Persekutuan (PP) dan seterusnya dikuatkuasakan berdasarkan Akta Perbekalan.
Perkara 99 PP mengkehendaki Menteri Kewangan (atau Persana Menteri sebagai Menteri Kewangan) membentangkan Anggaran Pendapatan dan Perbelanjaan di hadapan Dewan Rakyat sebelum permulaan tahun kewangan.
Setelah satu-satu belanjawan diluluskan di Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara), Rang Undang-Undang (RUU) yang digubal dan dipinda itu menjadi satu akta - Akta Perbekalan.
Berdasarkan Akta Perbekalan itu lah, membenarkan Kerajaan mengeluarkan wang yang diluluskan dari Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan (Federal Consolidated Fund) untuk perbelanjaan berkaitan tahun kewangan tersebut.
Akta Prosedur Kewangan 1957 turut memainkan peranan penting dalam mengurus kewangan awam yang Sekyen 6 dan Seksyen 13 akta itu adalah punca kuasa bagi Akta Perbekalan.
Manakala FRA 2023 pula adalah kerangka perundangan baharu yang menetapkan prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab; dengan tujuan meningkatkan tadbir urus dan ketelusan fiskal negara, di samping ia turut meliputi pelaporan dokumen belanjawan tahunan.
Secara ringkasnya, PP menyediakan asas, sementara Akta Perbekalan adalah undang-undang yang memberi kuasa perbelanjaan bagi satu-satu belanjawan Kerajaan yang dibentang, lalu diluluskan.
Dari audit lain, sesetengah pihak menganggap bahawa hasil pendapatan selain dari sumber Federal Consolidated Fund secara perundangan dan secara ekonomi tidak patut dirangkumkan dalam Belanjawan 2026 Pusat.
Ini kerana, belanjawan hanya melibatkan fiskal atau dasar fiskal sahaja iaitu merujuk pada penggunaan perbelanjaan kerajaan dan hasil (cukai) bagi mempengaruhi daya pertumbuhan ekonomi negara.
Jadi, polisi fiskal ini merupakan salah satu alat penting bagi Kementerian Kewangan (MoF) bagi mencapai matlamat ekonomi makro; dan perkara inilah yang nak dilihat dan dibahaskan pasca perbentangan belanjawan.
Contohnya, RM76 juta disediakan untuk meningkatkan mutu prasarana Pusat Transformasi Bandar (UTC) agar lebih mesra rakyat dan mudah diakses. [rujuk Perkara 33].
Kita boleh berbahas dari sudut Pertumbuhan Ekonomi - sejauhmana polisi fiskal tersebut merangsang sektor permintaan domestik serta mewujudkan peluang kerjaya dengan gaji mampu hidup wajar?
Dalam Belanjawan 2026 Pusat, Kerajaan bercadang, syarikat menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan diberi pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun. Syarikat sedia ada yang memuat projek pembesaran diberi pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh lima tahun. Tempoh permohonan galakan cukai dilanjutkan sehingga 31 Disember 2030. [rujuk Perkara 108]
Kita boleh melihat sejauhmana polisi pengecualian cukai ini berkesan dalam Mengawal Inflasi? Ada lebih ke arah trickle-down economics theory semata-mata?
Demi Mengawal Inflasi, adalah cukup peruntukan RM1 bilion disediakan termasuk RM600 juta khusus untuk rakyat membeli barang asasi pada harga lebih murah, termasuk RM600 juta untuk memperbanyak program Payung Rahmah peringkat KADUN seluruh negara?
Mengalihkan Semula Pendapatan merupakan satu lagi sudut yang patut dilihat dalam belanjaaan tahunan.
Apabila saya membaca Belanjawan 2026 Pusat secara harfiah, didapati Anwar antara lain ada menyebut mengenai “GLIC memangkin pertumbuhan domestik seperti di bawah;
Contohnya pentadbiran Perdana Menteri Ke-6 Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah dipertikaikan kerana melaksanakan projek MRT1 secara off-balance sheet financing serta melibatkan dana daripada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara tidak langsung.
Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam Debat Perdana pada 12 Mei 2022 antara lain mempertikaikan projek infrastruktur awam yang melibatkan perbelanjaan dari sumber GLC dan GLIC serta badan berkanun tertentu.
“ECRL, HSR, Pan Borneo dan sebagainya, kalau projek ini memberi manfaat langsung kepada rakyat bawahan, maka ia boleh dipertimbangkan. Tapi, kena ada integriti. Jangan kos RM50 bilion, boleh menjadi RM70 bilion.
“Berani bentang dan bahaskan… sebagai contoh MRT tak tahu berapa (kos perbelanjaan sebenar) akhirnya,” kata Anwar dipertik dari portal berita Astro Awani.
Apa bezanya Najib memacu pertumbuhan ekonomi menggunakan GLIC/GLC dahulu berbanding syor Anwar dalam Belanjawan 2026 sekarang?
Perbezaannya, off-balance sheet financing bagi projek MRT1 dulu tidak dimasukkan dalam belanjawan tahun sebab Najib dahulu melihat hanya perkara fiskal dan dasar fiskal patut dimuatkan dalam belanjawan.
Sementara Anwar, barangkali untuk menutup onar-onar di sebalik dasar defisit fiskal secara berperingkat (rujuk Perkara 18 & 19) supaya tidak dilihat kian ketara, maka dimuatkan segala perbelanjaan selain dari sumber fiskal kerajaan (hasil cukai) dalam Belanjawan 2026 Persekutuan supaya mendapat angka sebesar RM470 bilion.
Lalu, Anwar semasa membentangkan Belanjawan 2026 Pusat menyebut, “…melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu…”
Konon-konon belanjawan akan datang Persekutuan adalah lebih besar bagi memenuhi keperluan ekonomi negara dan keperluan rakyat.
Walhal, barang kali angka perbelanjaan fiskal sebenarnya adalah lebih kecil iaitu kira-kira RM419.2 bilion. Angka itu hasil hitungan belanja pengurusan (OpEx) RM338.2 bilion + RM81 bilion perbelanjaan pembangunan (CapEx/DE).
Berbanding RM452 bilion belanjawan tahun ini (seperti disebut oleh Anwar), perbelanjaan fiskal bagi tahun hadapan secara atas kertas sebenarnya berkurangan sebanyak RM32 bilion atau kira-kira 7.26%.
Sayang angka 7.26% hasil daripada dasar defisit fiskal secara berperingkat ini dikelirukan dengan peruntukan-peruntukan bukan fiskal dari sumber dana GLIC, PPI, Badan Berkanun dan syarikat MKD dalam Belanjawan 2026 Pusat. [rujuk Perkara 16]
Walaupun sesetengah pihak menganggap Belanjawan 2026 Pusat ini agak aneh kerana memasukan peruntukan bukan fiskal sebagai sebahagian sumber perbelanjaan kerajaan bagi tahun hadapan, segelintir pihak lain menganggap semua angka ini sebagai ‘silap mata’ Anwar semata-mata.
Setakat ini dulu. Sebarkan jika bermanfaat.



Comments
Post a Comment