DEMONTRASI besar-besaran di Jakarta dan beberapa daerah lain dekat negara Republik Rakyat Indonesia sedikit banyaknya turut menggamit perhatian saya di negeri Pulau Pinang, Malaysia.
580 ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) menerima elaun perumahan 50 juta Rupiah atau lebih kurang RM12,800 tiap-tiap bulan.
Angka itu kira-kira 10 kali ganda gaji minimum di pusat bandar Jakarta, dan lebih kurang 20 kali ganda pendapatan golongan miskin pedalaman.
Rakyat teramai sangat marah sampai tidak percaya lagi kepada ahli politik dan parti pemerintah, kerana merasakan polisi elaun perumahan sebesar itu sangat tidak wajar ketika ekonomi rakyat bawahan (marhaen) kian menelan.
Ekonomi rakyat yang kian menekan turut dilihat pada kenaikan inflasi, pemotongan gaji pekerja dalam sektor pembuatan serta kuaaa membeli yang kian merosot.
Dikatakan, demontrasi rakyat kian membawa susulan terjadinya insiden seorang penunggang Ojek, Affan Kurniawan, mati selepas dirempuh kereta peronda polis Indonesia.
Aksi demontrasi serta siri kebangkitan rakyat sampai mengakibatkan rumah Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati (dikatakan ejen ekonomi tajaan IMF) dekat Tangerang Selatan turut musnah.
Itu, padahnya apabila tersebarnya Sri Mulyani secara semberono mengatakan bahawa gaji guru membebankan.
Demi meredakan perasaan benci terhadap semua parti pemerintah di Indonesia kerana gagal menangani isu ekonomi rakyat teramai, Presiden Prabowo Subianto telahpun mengumumkan pembatalan serta merta elaun dan percutian serta-merta sekali Ahli Parlimen (DPR).
Sri Mulyani Indrawati sendiri telah tampil mohon maaf, susulan kediaman peribadinya dibakar oleh rakyat yang bangkit menentang rejim ekonomi neoliberal di negara berkenaan.
Menerusi telefon dengan seorang rakan Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER) yang mengikut rapat perkembangan kebangkitan kelas buruh tani dan rakyat di negara itu, saya diminta untuk memutar kembali masa sebelum meletusnya insiden tersebut.
Ya, dengan sokongan Sri Mulyani Indrawati, Presiden Prabowo Subianto memang melaksanakan beberapa polisi ekonomi neoliberal mengikut rangka kawal selia (regulatory framework) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), antaranya:-
• Regional Budget Cuts
Dasar Pemangkasan Peruntukan Daerah mahu dilaksanakan pada bulan Ogos 2025.
Pentadbiran Prabowo berhasrat berhasrat memotong 24% peruntukkan kepada Kerajaan Daerah (macam Pihak Berkuasa Tempatan, PBT), yang mana menjadikan jumlah peruntukan kepada Wilayah (macam Negeri) berjumlah sekitar 650 trilion Rupiah bagi tahun belanjawan 2026 nanti.
Di sebalik polisi fiskal itu, konon-konon untuk pemerintah melaksanakan semula program makanan sekolah (free school lunch).
Walhal, polisi fiskal itu sebenarnya membebankan lagi kedudukan kewangan peringkat Wilayah.
Banyak Kerajaan Daerah mula menaikkan cukai tanah dan cukai pintu bagi menampung kurangan kewangan (defisit) yang kian melebar, susulan pemerintah melaksanakan cut spending policy.
Contohnya, seperti di Pati dekat Jawa Tengah, Kerajaan Daerah (macam PBT) meningkatkan kadar cukai berwajib sampai 250%.
• Deficit Fiscal Policy
Dasar pengurangan defisit fiskal secara berperingkat ini dapat dilihat dalam Instruksi Presiden (Inpres) No. 1 Tahun 2025 pada 22 Januari lepas.
Pemerintah mengarahkan pemotongan bajet kerjaaan pusat (cut spending) termasuk pemberian khas ke Wilayah-Wilayah sebagaimana dilakukan sebelum itu.
Akibatnya, aliran kewangan (flow of fund) dari pemerintahan peringkat Pusat ke Wilayah dan Daerah merosot secara ketara, hatta menjejaskan perbelanjaan modal, perbelanjaan pembangunan dan perbelanjaan pengurusan sektor kritikal yang dekat dengan rakyat - seperti sektor pendidikan, infrastruktur dan perkhidmatan awam.
• Cut spending peruntukan kementerian
Tidak cukup memotong peruntukan yang diperlukan peringkat Wilayah dan Daerah, pemerintahan Pusat turut memotong peruntukan tahunan kementerian.
Contoh, peruntukkan tahunan kepada Kementerian Pendidikan dipotong sebesar 480 juta Dolar Amerika Syarikat (USD), begitu juga Kementerian Pengajian Tinggi (kurangan 25% bajet tahunan).
Peruntukan untuk Kementerian Pekerjaan Umum dan Infrastruktur turut dikurangnya sebesar 70% (asal dari 119.95 trilion Rupiah kepada 29.6 trilion Rupiah pada tahun 2025).
Pemerintah berdalih konon-konon cut spending policy ke atas peruntukan tahunan kementerian berkenaan demi melaksanakan satu program baharu iaitu Makanan Bergizi Gratis (MBG) serta menstruktur semula Danantara (macam cadangan penstrukturan semula pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWSP, kepada pencarum layak).
KOMENTAR SAYA:
Dalam mana-mana wacana ataupun dengan sesiapa pun, sering kali saya tegaskan bahawa segala perubahan yang terjadi di depan kita bukanlah secara kebetulan.
Perubahan berlaku secara dialektik.
Dialektik ini boleh jadi didorong oleh elemen kesedaran pemikiran mahupun realiti kebendaan (materialisme), namun paling kuat mempengaruhi pemikiran serta tindak tanduk manusia sudah tentu lah faktor kebendaan yang berubah di sekeliling kita.
Ambil contoh di Indonesia, kalau kita sedikit memutar garis masa untuk membuat analisis secara materialisme - historikal materialisme - akan kita sedar berapa besar faktor ekonomi kebendaan mengubah tabiat rakyat (dan mungkin akan mengubah rejim pemerintah).
Kalau rejim Prabowo - Sri Mulyani tidak mengikat diri dengan regulatory framework IMF, mereka masih ada banyak opsyen dalam bentuk polisi fiskal yang baik untuk rakyat teramai.
Oleh kerana rejim peringkat Pusat atau Persekutuan bernegara di Indonesoa ‘membunuh diri’ dengan melaksanakan polisi tiga serangkai IMF seperti Regional Budget Cuts + deficit fiscal + cut spending, secara dialektik materialisme memaksa Kerajaan Daerah dan Wilayah pun meningkatkan kadar cukai secara tidak munasabah hatta menggamit sumbu kebangkitan kelas.
Dari kebangkitan kelas buruh, tani, anak muda, mahasiswa dan rakyat yang terjejas, insiden kematian Affan Kurniawan, aksi memecahkan aset kepolisian, sampai membawa pada pembakaran rumah Menteri serta beberapa anggota DPR (macam Ahli Parlimen), semua itu adalah natijah semata-mata.
Tiap-tiap natijah atau semua natijah yang terjadi di Indonesia ketika ini ada akar permasalahannya, iaitu kegagalan ahli politik pemerintah serta gabungan parti pemerintah dalam mengadakan polisi fiskal yang relevan dengan keperluan hakiki rakyat teramai serta alam semula jadi di negara itu.
Kalau diletak isu kebangkitan kelas rakyat tertindas Republik Rakyat Indonesia di sebelah untuk kita melihat realiti kebendaan di Malaysia, sebenarnya tidak jauh berbeza.
Dasar pengurangan defisit fiskal secara berperingkat telahpun dilaksanakan sejak Belanjawan 2019 dibentangkan lagi, iaitu pada era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Ke-7 Malaysia dan Setiausaha Agung DAP menjadi Menteri Kewangan.
Di Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) pada 2 November 2018, Guan Eng antara lain dilaporkan berkata:-
“Bagi tempoh tiga tahun akan datang, pentadbiran Pakatan Harapan komited dalam melaksanakan langkah konsolidasi fiskal untuk mengurangkan defisit kepada 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, 3.0 peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021. Dalam jangka masa sederhana, defisit dijangka terus berkurangan kepada sekitar 2.0 peratus.” - Astro Awani
Pada 25 Ogos 2025 lepas, Perdana Menteri Ke-10 Malaysia (PMx), Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim sendiri dilaporkan berkata, Kerajaan Berjaya Kurangkan Hutang Baharu, Defisit Fiskal Terus Menyusut.
“Defisit fiskal memang mencabar. Kerajaan MADANI yang pertamanya sedang cuba menurunkan defisit fiskal dan hutang baharu walaupun menjadi polemik politik tidak berkesudahan...Kenapa kita kena turunkan (defisit)? Kalau tidak turunkan, hutang akan membengkak. Sebab itu defisit harus dikurangkan... Kita dah kurangkan daripada 5.6 peratus, lima peratus, empat peratus dan sekarang kita unjurkan 3.8 peratus, dan tahun berikutnya untuk terus menurun,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Negara baru-baru ini.
Jangan ingat dasar tiga serangkai IMF (iaitu Regional Budget Cuts + deficit fiscal + cut spending) yang dilaksanakan oleh rejim Anwar ketika ini tidak membawa kesan berantai pada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan (baca: Pihak Berkuasa Tempatan).
Dalam konteks Pulau Pinang umpamanya, Kerajaan Negeri sejak tahun 2024 lagi terpaksa melakukan penjajaran kewangan semula apabila gagal mengolah persetujuan untuk mendapatkan peruntukkan berwajib atau sekurang-kurangnya pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.
Pada 29 Mei 2024 di luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, sekalian pemberita didedahkan bahawa Kumpulan Wang Disatukan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2019 direkodkan sebagai RM1.125 bilion, tetapi rizab negeri tersebut mengalami penyusutan ketara dan berbaki RM330.05 juta dengan kurangan sebanyak RM825 juta.
Sejumlah RM98,500,000 anggaran tahun 2024 yang diperuntukan dalam bentuk geran kepada 25 agensi, anak syarikat dan badan berkanun negeri di Pulau Pinang; telah dikurangkan dan menjadi RM76,368,000 selepas Kerajaan Negeri membuat penjajaran geran tahunan semasa.
Tidak sampai di situ sahaja, apabila syor Pihak Berkuasa Negeri mendapatkan sekurang-kurangnya pinjaman persekutuan berjumlah RM1 bilion menemukan jalan buntu, sampai terpaksa diteroka kaedah kewangan lain termasuk penerbitan sukuk melalui salah satu agensi negeri.
Cukai taksiran untuk kategori harta tanah tertentu bagi kedua-dua Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dilaporkan naik sehingga 30% mulai 1 Januari 2020.
Itu, belum dilihat kenaikan tarif air.
Apabila Kerajaan Persekutuan mengurangkan peruntukan penyelenggaraan di bawah Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS), bukan sahaja menjejas lagi kedudukan kewangan negeri, malah kewangan PBT.
Contohnya, cadangan ‘mengeluarkan’ Wira Oren MBSP dan diletakkan di bawah Kerajaan Negeri, susulan kedudukan kewangan PBT itu kian menekan (di samping mahu mengguna pakai Akta 672).
Baca Exco jamin syarikat Anak Negeri serap ‘Wira Oren’ selepas MBSP terima pakai Akta 672.
Bukan niat saya pun untuk mengasuh rakyat Malaysia supaya memilih jalan yang lebih merah, berani dan radikal seperti yang dipilih rakyat tertindas di Indonesia ketika ini, kerana polisi tiga serangkai IMF telah diamalkan di Malaysia sejak beberapa tahun lepas.
Cuma, bagus sebenarnya apabila kelas rakyat rata-rata di MedSos mula ‘Fuck off’ sekalian ahli politik pemerintah dan parti pemerintah yang gagal mengadakan polisi relevan dengan keperluan hakiki mereka.
Kata kawan pendiri KADER menerusi telefon tadi,
“Semoga rejim Anwar seperti Prabowo-Sri Mulyani, akan terus ‘menggigit’ dasar tiga serangkai IMF (iaitu Regional Budget Cuts + deficit fiscal + cut spending) sampai habis penggal pentadbiran PRU15. PRU16 nanti, ayuh kita terjemahkan dalam kertas undi masing-masing (kalau elitis politik di atas sana masih gagal melaksanakan polisi relevan ikut keperluan sebenar rakyat dan alam semula jadi).”
Ini, permintaan sederhana seorang rakan seperjuangan dalam Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER), yang mana bagi saya masih berdasarkan Prinsip Rukun Negara termasuk keluhuran perlembagaan.
Cukuplah setakat ini, catatan kecil buat diri dan mereka yang sudi berkongsi cita-cita perjuangan, kerana masa kian berganjak hampir 6.00 petang; saya menghambat kerja lebih masa (OT) sebagai wartawan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
SEBAR DAN LAWAN!

Comments
Post a Comment