Baik Nurul Izzah ini lain macam pesonanya…


KALAU saya mempunyai kekangan kewangan yang begitu menekan, barang kali semalam (31 Ogos 2025), akan saya manfaatkan bantuan tanpa tunai SARA MyKasih RM100 yang dikreditkan dalam kad pengenalan, untuk membeli-belah barang keperluan asasi di pasar raya mega Mydin Jalan Baru Bukit Mertajam.



Dengan kedua-dua belah mata masih berbengkak sebab alahan makanan laut, saya menghabiskan masa seharian makan ubat dan tidur di rumah mak sahaja. 

Sebagaimana didalihkan kementerian, sistem tergendala disebabkan menerima bilangan transaksi yang terlalu tinggi semalam. 

Semua kita tahu, walaupun e-wallet menggunakan sistem blockchain, bukan bermakna ia langsung tak terdedah pada risiko tergendala. 

Seperti yang didalih oleh kementerian, bilangan transaksi begitu tinggi pada satu-satu masa memang boleh mengakibatkan sistem transaksi tanpa tunai itu tergendala.

Berikut adalah beberapa sebab yang boleh menyumbang pada sistem e-wallet tergendala:-

1. Gangguan rangkaian telekomunikasi (walhal sistem blockchain e-wallet memerlukan capaian internet stabil dan bagus. 

2. Sistem e-wallet yang tak dikemas kini pada telefon pengguna. Kadangkala berlaku di pihak penyedia perkhidmatan (provider) sehingga mengakibatkan transaksi tertangguh ataupun gagal. 

3. e-Wallet memang ada had transaksi iaitu had perbelanjaan ataupun baki maksimum yang ditetapkan. Jika transaksi melebihi had itu, memang akan gagal. 

4. Maklumat tidak sah. Ini bagi e-wallet yang guna pakai kad bank. Apabila kad bank tamat tempoh perkhidmatan, atas sebab keselamatan, selalunya akan mengganggu transaksi tanpa tunai.

Selepas membeli barang-barang dapur di Pasar Awam Bukit Mertajam pada awal pagi tadi, saya singgah makan di kedai makan berhadapan pasar basah di sini. 

Ramai, seperti selalu terutama pada hari cuti hujung minggu atau cuti umum. 

Isu kegagalan membuat transaksi dengan menggunakan kad pengenalan turut menjadi buah rungutan seorang pak cik tua yang duduk makan semeja dengan saya di sini. 

Katanya, bantuan secara tunai yang pernah dibuat oleh pentadbiran Perdana Menteri Ke-6 Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu lebih mudah dan mesra warga emas.

“Warga emas lagi mudah belanja duit tunai. Kalau depan kaunter tak boleh pakai sistem internet (e-wallet) sebab internet tak bagus ataupun nak kena kemas kini apps itu ini, kalau pak cik pun memang akan tinggal troli penuh barang di kaunter sebab kesian ramai beratur panjang di belakang nuh,” soloroh dia.

Pencen pembantu kesihatan awam di Hospital Bukit Mertajam, beliau berkata sehari dua ini bukan masa yang sesuai untuk memanfaatkan MyKasih RM100 dengan pergi membeli belah di Mydin.

“Macam pak cik, bukan orang senang dan tidak juga orang susah, baik membeli belah di sini asalkan mak cik di rumah senaraikan barang basah apa yang nak dibeli,” selorohnya lagi. 

Terkekeh-kekeh kami ketawa. Sambil mencicip kopi o kaw yang berasap panas, saya berkata, “saya pun selesa membeli di pasar basah…awal pagi tidak begitu sesak lagi.”


POLISI UMNO ERA NAJIB

Menyorot sejarah, Najib semasa ditaklifkan sebagai Menteri Kewangan buat kali pertama melaksanakan program bantuan tunai langsung kepada rakyat pada awal tahun 2012.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilakukan secara berfasa pembayaran sejak tahun pertama diperkenalkan. 

Ada dua kaedah pembayaran BR1M, iaitu:-

• Hantaran terus ke akaun bank penerima (iaitu rakyat yang layak).

• Tuntutan tunai di Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi penerima yang layak tetapi tiada akaun bank ataupun menghadapi masalah teknikal jika hantaran dibuat ke akaun bank mereka 

Masih saya ingat waktu BR1M diperkenalkan, pentadbiran Najib digeneralisasikan sebagai cuba merasuah politik kepada rakyat. 

Semasa masih menjadi Ketua Pembangkang, Anwar sendiri berkata BR1M akan menjadi ‘racun’ serta menaikkan kadar GST pasca PRU nanti


Walaupun macam-macam tohmahan dihadapkan kepada pentadbiran Najib serta pemimpin Umno BN pada waktu itu, seperkara yang saya dapat sedar, BR1M telahpun membawa limpahan kemakmuran dalam semua sektor perniagaan termasuk penjaja kecil di kampung-kampung. 

Pada setiap kali BR1M disalurkan, didapati telah mewujudkan lebih ramai potential buyers, kuasa membeli kian rakyat bawahan yang kian meningkat telahpun melimpah ke meja-meja penaja kecil termasuk di Uptown Perda Bukit Mertajam. 

Semalam, bantuan tanpa tunai RM100 MyKasih bermula, cuba pergi tanya, adalah berlaku limpahan perbelanjaan di gerai-gerai penjaja Uptown Perda? 

Jawapannya, tidak lah. 

Ini kerana, RM100 MyKasih dihadkan berbelanja di gedung dan pusat membeli-belah terpilih sahaja, seperti Mydin; tidak seperti bantuan tunai BR1M yang mana para penerima boleh pergi membeli di mana-mana sahaja termasuk di meja penjaja kecil Pasar Awam Bukit Mertajam ataupun di khemah-khemah penjaja kecil Uptown Perda Bukit Mertajam. 

Menerusi telefon, kata seorang penggerak Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER), rejim ekonomi neoliberal di bawah Anwar Ibrahim ini sangat obses dengan pertumbuhan KDNK.

Lebih besar angka pertumbuhan KDNK, konon-konon mencerminkan kehidupan sebenar rakyat teramai kian makmur berbanding sebelumnya. 

Cara paling mudah untuk meningkatkan angka pertumbuhan KDNK, antaranya dengan meningkatkan pertumbuhan perbelanjaan di gudang-gudang utama - macam rangkaian Mydin - yang mana data-data (statistik) transaksi rakyat kebiasaannya diambil oleh ejen survey di sana bagi pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dan, kalau RM100 MyKasih dibayar secara tunai - macam BR1M semasa era Najib - maka barangkali transaksi tidak akan melimpah ke gedung-gedung pasar raya mega macam Mydin. 

Mungkin, para penerima RM100 MyKasih akan berbelanja secara tunai di Pasar Awam Bukit Mertajam dan Uptown Perda Bukit Mertajam. 

Transaksi di Pasar Awam Bukit Mertajam dan Uptown Perda Bukit Mertajam atau mana-mana kedai runcit di kampung termasuk Kampung Siam, kepelbagaian data (statistik) mana dihimpunkan oleh ejen DOSM, untuk mengukur pertumbuhan ekonomi (KDNK) melalui kaedah perbelanjaan.  

KDNK = C + I + G + (X - M)

• C (Perbelanjaan Penggunaan Swasta): Perbelanjaan yang dibuat oleh isi rumah untuk barangan dan perkhidmatan, seperti makanan, pakaian, dan pengangkutan.

• I (Pelaburan Kasar Swasta): Perbelanjaan firma untuk barangan modal baharu seperti mesin, kilang, dan inventori.

• G (Perbelanjaan Kerajaan): Perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan untuk barangan dan perkhidmatan, termasuk gaji kakitangan awam dan projek infrastruktur.

• (X - M) (Eksport Bersih): Nilai eksport (X) tolak import (M). Ini mengukur perbelanjaan bersih yang datang dari negara lain.


ULASAN UMUM:

Dalam keadaan rejim Anwar memang obses dan mengaku komited melaksanakan dasar defisit fiskal secara berperingkat dalam tiap-tiap belanjawan negara, kita sudah boleh membayangkan bahawa goverment spending (G) tidak akan berkembang sihat serta menyumbang secara ketara pada pertumbuhan ekonomi negara (KDNK).

Paling aneh adalah memacu pertumbuhan berdasarkan model ekonomi wakaf sebenarnya, selepas menggalakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), perkongsian awam swasta (PPP) atau disebut juga sebagai pembiayaan kewangan swasta (PFI). 

Rejim pacu semua elemen ini mungkin sebab percaya pertumbuhan ekonomi (KDNK) boleh secara ketara melalui I (pelaburan kasar swasta), walhal pada era Najib pun economy growth driven by GLC/GLIC kot.

Kalau ulang baca balik berita terdahulu yang berjudul GLICs control 68,000 companies and 42% of Bursa Malaysia, akan kita sedar bahawa pertumbuhan ekonomi era Najib memang dipacu oleh pelaburan modal dll secara langsung oleh GLC dan GLIC.

Sekarang? Sektor swasta (selain GLC/GLIC) masing-masing ada animal spirit kot, yang mana kalau rejim Anwar nak melaksanakan dasar defisit fiskal secara berperingkat, ingat mereka nak melabur lebih (melainkan nak memonopoli aset kerajaan yang selama ini duduk dalam natural monopoly sector). 

Selain bergantung pada angka pertumbuhan eksport bersih (X - M), cara paling mudah nak meningkatkan angka pertumbuhan ekonomi adalah dengan meningkatkan C (perbelanjaan penggunaan swasta). 

Macam saya sebut sebelum ini, nak tingkatkan C, luncurkan RM100 MyKasih, hadkan perbelanjaan di gedung-gedung pasar raya membeli belah yang besar - macam rangkaian Mydin - sebab di sana ejen survey akan kutip data-data (statistik) berwajib bagi pihak DOSM.

Jadi, kalau ada ejen pembangkang menelah bahawa di sebalik inisiatif Anwar meluncurkan bantuan tanpa tunai RM100 MyKasih sebenarnya lebih pada nak membantu tauke-tauke di atas sana berbanding penjaja/peniaga kecil di bawah, naratif itu berasas sebenarnya dari sudut ekonomi. 



KESIMPULAN

Akhir kalam, pak cik di kedai makan tempat saya bersarapan menunjukkan tangkap layar gambar seperti di atas.

Sambil terkekeh-kekeh, pak cik berkenaan berkata kepada saya, “kerja hakiki Ahli Parlimen atau ADUN adalah membuat polisi ikut keperluan (rakyat teramai), barang kali sebab dia Timbalan Presiden PKR kot dia ajak wakil rakyat PKR sumbang bantuan SARA kepada golongan memerlukan.

Seboleh-bolehnya saya tahan diri daripada memberi sebarang reaksi balas, sebab m pernah terpesona dengan corak berpolitik Nurul Izzah yang saling tak tumpah sama seperti ayahnya. 

“Diam itu emas, berkata-kata itu perak,” teringat nasihat Allahyarham Pak Bakaq Haq suatu masa dahulu supaya saya kawal diri semasa berkata-kata mahupun menulis. 

Wassalam. 

Comments