Pertumbuhan produktiviti bukan satu-satunya cara mengukur tingkat kualiti hidup rakyat teramai


PENULIS di Restoran Nasi Kandar Pelita Cawangan Taman Desa Damai BM, seusai sesi temu bincang ekonomi bersama-sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; dan Datuk Mohd Noor Ahmad (Ketua Penerangan Umno Negeri) baru-baru ini. 

BAGI mereka yang belajar makroekonomi dalam kuliah-kuliah akademik di Universiti Awam seakan kurang memberi perhatian soal bagaimana agihan pendapatan serta kekayaan mempengaruhi keseluruhan ekonomi negara. 


Perkara sebegini dianggap tidak penting pun, maka sebab itu tidak ditetapkan untuk perbahasan lanjut. 


Namun, kalau kita berminat soal kemakmuran hidup rakyat teramai umpamanya, kita akan diheret untuk membincangkan macam mana perbelanjaan keseluruhan (aggregate spending) bukan sahaja dipengaruhi oleh jumlah pendapatan, malah bagaimana pendapatan itu sendiri diagihkan dalam ekonomi.


Perbincangan sebegini akan membuatkan kita tidak cepat terpesona dengan angka pertumbuhan ekonomi semata-mata. 


Berapa peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun semasa berbanding tahun lepas, yang dibentangkan di Parlimen, tidak cepat mempesona pemikiran kita. 


Sebelum kita pergi lebih jauh, eloklah kita tidak meletakkan pertumbuhan pengeluaran (output growth) dan pertumbuhan produktiviti (productivity growth) dalam bakul yang sama. 


Kedua-duanya adalah berbeza dan sepatutnya kita tidak terkeliru konon-konon output growth dan productivity growth adalah sama. 



PRODUCTIVITY GROWTH 


Pertumbuhan produktiviti dalam bahasa mudah adalah lebih banyak output dapat dihasilkan daripada jumlah input yang sama. 


Contohnya, seorang pekerja sebelum ini dapat menghasilkan 10 barang sebelum ini, kini dapat menghasilkan 15 barang. 


Tujuan hakiki di sebalik productivity growth adalah menaikkan kecekapan, lalu menyumbang pada pertumbuhan KDNK.  



OUTPUT GROWTH 


Berbeza dengan pertumbuhan produktiviti, pertumbuhan pengeluaran atau output growth pula adalah merujuk pada pertambahan jumlah barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan dalam ekonomi secara keseluruhannya, tanpa kira cekap atau tidak. 


Contohnya, lebih banyak kereta, lebih banyak rumah, lebih banyak perkhidmatan kesihatan ataupun pendidikan.


Berdasarkan gambaran perbezaan mudah di atas, dapatlah disimpulkan bahawa tujuan hakiki output growth antaranya adalah;


Tingkatkan taraf hidup material

Lebih banyak barang dan perkhidmatan, maka, orang ramai ada lebih banyak untuk dimakan, digunakan, atau dinikmati.


• Tingkatkan Sediakan pekerjaan dan pendapatan

Pertumbuhan output biasanya bermakna lebih banyak peluang kerja, lebih banyak gaji dan pendapatan kepada isi rumah.


• Luaskan kapasiti ekonomi negara

Negara dapat bina lebih banyak infrastruktur, teknologi, dan pelaburan untuk masa depan.


• Boleh tingkatkan hasil kerajaan

Dengan lebih banyak output, kerajaan dapat kutip lebih banyak cukai untuk dibelanjakan pada kesihatan, pendidikan, kebajikan dll.


• Tingkatkan kuasa beli masyarakat

Output yang lebih banyak (dan murah kerana skala besar) membolehkan rakyat akses barang/perkhidmatan yang sebelum ini terhad.


Berbeza dengan productivity growth yang lebih kepada soal kecekapanoutput growth selalunya menuntut lebih banyak penggunaan sumber semula jadi dan tenaga, maka ia menimbulkan masalah kelestarian (ecological footprint, pencemaran, perubahan iklim).


Secara ringkasnya;


Productivity growth bertujuan menaikkan kecekapan (hasil lebih dengan input sama).


Output growth bertujuan menambah kuantiti barang dan perkhidmatan untuk meningkatkan taraf hidup di samping peluang ekonomi, walaupun ia lebih menekan alam sekitar.



ADAKAH PERTUMBUHAN KDNK SIMBOL KUALITI HIDUP RAKYAT TERAMAI KIAN BAIK?


Jawapan ringkas, tidak semestinya. 


Begini. Oleh kerana tujuan utama meningkatkan produktiviti sebenarnya untuk menaikkan kadar pertumbuhan KDNK, maka jarang kita diheret untuk membincangkan aspek pertumbuhan pengeluaran (output growth).


Lalu, ekonomis arus perdana serta ahli politik pemerintah yang acap kali mendapat liputan media akan memberi gambaran konon-konon taraf hidup hanya boleh meningkat melalui pertumbuhan produktiviti, kerana ia membolehkan KDNK bertambah cepat.


Kebiasaannya syarikat-syarikat besar pun akan memberi sokongan pada naratif yang dibawa oleh ekonomis arus perdana serta ahli politik pemerintah, sambil menuntut dilonggarkan peraturan berwajib tertentu atas dalih “nak mempercepat proses” - yang mana sebenarnya menyebabkan keadaan kelas pekerja produktif berada pada keadaan tidak selamat ataupun menjejaskan kualiti alam semula jadi.


Akhirnya, semua pihak seakan terlepas pandang mengenai jejak ekologi (ecological footprint) yang sedang berlaku, kalau nak dibincangkan dalam konteks Malaysia. 


Kita langsung tidak membuat ukuran terhadap jumlah sumber semula jadi (tanah, hutan, air, tenaga, ikan, dll.) yang digunakan oleh manusia untuk menyokong gaya hidup serta ekonomi mereka. Ini, isu ecological footprint.


Kemudian, jejak ekologi yang patut dilihat secara bersama, tidak dibandingkan dengan biokapasiti — iaitu kemampuan bumi menghasilkan semula sumber serta menyerap pencemaran (terutamanya karbon).


Kalau jejak ekologi lebih berbanding biokapasiti, bermakna negara itu hidup secara tidak lestari (over-shoot); bergantung pada sumber yang melebihi kemampuan alam untuk pulih.


Menurut laporan Global Footprint Network (GFN), purata global adalah sekitar 1.7 hektar global (gha) per kapita, sementara di Malaysia sekitar 3.9 – 4.0 gha per kapita (lebih tinggi daripada purata dunia, tapi lebih rendah berbanding negara maju).


Ini, bermakna rakyat Malaysia guna hampir 2 kali lebih banyak sumber berbanding kapasiti lestari bumi.


Melihat realiti ini, sepatutnya negara ini bukan dipacu ke arah macam mana nak berkembang lebih cepat, sebaliknya bagaimana patut memperlahankan kadar pertumbuhan produktiviti demi meningkatkan kualiti hidup rakyat serta kelestarian alam semula jadi - degrowth strategy.


Ataupun, sekurang-kurangnya kita patut bercakap mengenai tingkat pertumbuhan pendapatan kelas pekerjaan seharusnya sejajar dengan tingkat semasa pertumbuhan produktiviti, baru kualiti hidup rakyat teramai kian bagus berbanding sebelum ini.


Apabila diasak pemikiran sebegini, naratif arus perdana kebiasaannya akan mengajak kita mundur ke belakang - dengan melihat pada hanya productivity growth iaitu pertambahan keluaran bagi setiap unit output semata-mata. 


Secara simplistik, mereka berdalih konon-konon kalau sumber yang sama dapat menghasilkan lebih banyak barangan, dan menjana keuntungan tambahan, maka hasilnya boleh diagihkan tanpa menyebabkan inflasi.


Secara teori, naratif simplistik sebegini memang betul. Lebih banyak kita hasilkan dengan sumber yang sama, maka lebih banyak boleh diagihkan kepada masyarakat.


Namun, pendekatan ini jarang mengambil kira biosfera (alam sekitar). 


Kalau tuntutan terhadap sumber semula jadi tidak dimasukkan dalam kiraan input-output, maka kesan negatif terhadap alam sekitar tidak pernah diambil kira. 


Inilah, sebabnya angka pertumbuhan produktiviti yang dikejar selalunya berpihak kepada model yang tidak lestari.


Walhal, ada cara lain untuk meningkatkan taraf hidup rakyat teramai di samping tetap bergerak ke arah degrowth strategy — iaitu melalui perubahan dasar yang menumpukan kepada pembahagian pendapatan dan kekayaan.


Mari lihat beberapa data-data terkumpul (statistik) yang pernah didedahkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini.


Pampasan Pekerja (PP) meningkat 6.1 peratus pada 2024 dan menyumbang 33.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal negara. Lebihan Kendalian Kasar (LKK) masih tinggi  kira-kira 53.8 peratus.


PP dan LKK masing-masing menyumbang 34.8 peratus (2020: 37.1%) dan 62.9 peratus (2020: 60.1%) kepada KDNK 2021.

Dengan melihat pergerakan gaji tahunan rata-rata rakyat ketika ini yang tidak naik secara ketara berbanding beberapa tahun lepas, kita boleh menganggap bahawa beberapa data yang didedahkan DOSM beberapa tahun lepas masih relevan untuk menunjukkan bahawa peri penting pembahagian pendapatan dan kekayaan. 



Cuba lihat pula nilai pekali Gini (Gini coefficient) untuk Malaysia pula.


Berdasarkan pendapatan kasar (gross income) bagi tahun 2022 menunjukkan bahawa nilai Gini keseluruhan adalah 0.404 (turun sedikit daripada 0.407 pada tahun 2019). 

Nilai Gini kalau ikut kawasan bagi tahun 2022, luar bandar 0.351 (turun dari 0.367 pada 2019), sementara bandar 0.393 (turun dari 0.398 pada 2019).


Kalau ikut etnik (2022), Bumiputera 0.387 (turun dari 0.389); Cina 0.412 (turun dari 0.417); dan India 0.406 (turun dari 0.411).


Gambarannya di sini, wujud arah aliran ketidaksamarataan sejak tahun 2016. Pendapatan kasar naik dari 0.399 (2016) kepada 0.407 (2019), Pendapatan boleh guna (disposable income) pula naik sedikit dari 0.391 (2016) kepada 0.393 (2019). 


Data terbaru DOSM itu ternyata menunjukkan bahawa ketidaksamarataan pendapatan di Malaysia (diukur melalui pekali Gini) yang mana turut menunjukkan arah aliran penurunan kecil sejak 2019.



Berdasarkan info grafik DOSM di atas, menunjukkan empat kategori utama berkenaan sahaja menyumbang ≈ 68.3% dari keseluruhan perbelanjaan isi rumah. 



WAJARKAH PEMERINTAH MEMINDAHKAN LEBIHAN KEKAYAAN DARIPADA ‘MAYA KAYA’ KEPADA RAKYAT TERAMAI? 


Saya tahu, soalan ini memang ditunggu-tunggu ramai pihak, terutama ejen ekonomi dan parti politik pemerintah kerana Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan acap kali menyatakan iltizam politiknya dalam nada sedemikian.


Sumber: Astro Awani, 6 Mei 2023. Klik di sini


Jawapan bagi soalan di atas, secara ringkaskan adalah Ya! (tetapi dengan beberapa penjelasan yang akan saya jelaskan di sini). 


Tujuan hakiki Kerajaan Persekutuan mengenakan cukai berkaitan terhadap golongan maha kaya sebenarnya untuk mengurangkan kuasa politik serta ekonomi mereka dalam negara itu sahaja. 


Bayangkan jika Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai mekanisme dalam bentuk percukaian untuk ‘melemahkan’ kuasa politik dan ekonomi golongan maha kaya ini, silap-silap satu jabatan penguatkuasaan strategik pun boleh ditunggang oleh mereka; mereka akan memonopoli aset sebenar yang tak terjual untuk terus menjana untung secara spekulatif tanpa kawalan pemerintah; dan banyak lagi. 


Justeru, di sini lah relevannya beberapa sistem cukai yang progresif seperti Cukai Kekayaan, Cukai Warisan, Cukai Keuntungan Modal (CGT), Cukai Dividen & Keuntungan Modal Saham; Cukai Barangan Mewah; Cukai Aset Luar Negara. 


Yang pentadbiran Anwar iltizam nak buat hanya Cukai Barangan Mewah dan CGT (sebagaimana diumum dalam Belanjawan 2023); Cukai Ke Atas Dividen Tinggi (Belanjawan 2025); serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sejak 1 Julai 2025. 


Sebenarnya Kerajaan Persekutuan boleh sahaja meningkatkan pendapatan sektor isi rumah rakyat teramai tanpa perlu terlebih dahulu ‘merompak’ atau mengenakan cukai tertentu terhadap golongan maha kaya.


Contoh, pentadbiran Perdana Menteri Ke-6 Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak melaksakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi meningkatkan pendapatan lrakyat terutama B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah).


Ataupun, Kerajaan Persekutuan yang progresif boleh sahaja melaksanakan Skim Jaminan Kerja atau Job Guarantee Scheme (JGS) dengan serampang lebih dua mata iaitu meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat;merekrut cepat golongan penganggur ke sektor pekerjaan sementara; serta sekali gus meningkatkan bilangan potential buyer yang sangat diperlukan oleh sektor swasta (termasuk penjaja kecil dan usahawan) untuk menjual barangan/perkhidmatan mereka. 


Namun, jika mahu dicapai proses keadilan sosial dalam kerangka degrowth strategy, perlu ada proses pemindahan kuasa membeli daripada golongan maha kaya kepada rakyat teramai terutama golongan miskin dan B40.


Ini kerana, golongan maha kaya lebih cenderung menyimpan kekayaan mereka sama ada dalam bentuk aset kewangan atau aset sebenar serta menjana untung secara spekulatif atas kuasa kekayaan yang ada. 


Sementara, rakyat teramai (terutama B40 dan fakir miskin) pula terpaksa bebelanja tambahan untuk keperluan asas mereka. Kadang-kadang perbelanjaan mereka ini meningkat sebenarnya bukanlah disebabkan peningkatan gaji kasar mereka, sebaliknya melalui pertumbuhan hutang sektor isi rumah.


Pada 15 Ogos 2025 lepas, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffoura antara lain dilaporkan berkata peratusan hutang isi rumah rakyat Malayia berbanding KDNK adalah 84.3% dan terkawal


Menurut sumber sama, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini dilaporkan berkata hutang isi rumah Malaysia berjumlah RM1.65 trilion setakat akhir Mac 2025.


Walaupun paras ini kekal tinggi, ia diimbang oleh aset isi rumah yang kukuh. 


Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong turut dilaporkan berkata sektor isi rumah kekal berdaya tahan, disokong oleh aset kewangan berjumlah RM3.45 trilion pasa akhir Mac 2025, iaitu 2.1 kali lebih tinggi berbanding jumlah hutang.


Dalam keadaan pentadbiran Anwar melaksanakan dasar defisit fiskal secara berperingkat bagi tiap-tiap belanjawan negara, kita boleh memahami bahawa peningkatan perbelanjaan rakyat yang terjadi adalah disebabkan pertumbuhan hutang sektor isi rumah serta tidak lebih dari itu. 


Justeru, dengan kenaan cukai terhadap golongan maha kaya bagi mengurangkan kuasa membeli mereka, sebenarnya tidak akan meningkatkan taraf serta kualiti hidup rakyat pun, kalau Kerajaan Persekutuan tidak mengadakan polisi fiskal yang releven ikut keperluan semasa rakyat dan alam semula jadi. 


Nak meningkatkan tahap kehijauan alam semula jadi negara Malaysia, perlu ada peruntukan fiskal untuk merekrut ranjer hutan dalam kalangan Orang Asli bagi menjaya hutan negara umpamanya; atau di bawah Skim Jaminan Kerja dengan merekut penganggur untuk menjayakan program tanam semula pokok teduh secara terancang. 


Pendapatan isi rumah rakyat teramai yang ditingkatkan memang akan meningkatkan kualiti hidup mereka. 


Sesuai dengan rekabentuk kawasan perumahan berstrata di bahagian Pulau dekat negeri Pulau Pinang, boleh sahaja Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan klinik keluarga untuk meningkatkan kualiti hidup penghuni lokal.


Satu lagi sebelum saya terlupa, data laporan World Bank 2019 mendedahkan 14.1 peratus kanak-kanak di bawah usia lima tahun adalah under weight, manakala bantut seramai 21.8 peratus


Berdasarkan data itu, boleh sahaja peruntukan fiskal diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menongkatkan pelaburan modal bagi menyediakan bilik sejuk beku di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).


Agensi persekutuan itu boleh melaksanakan buffer stock policy secara lebih meluas, menggalakkan nelayan pantai meningkatkan hasil tangkapan serta pendapatan isi rumah; dan paling penting memberi peluang kepada Kerajaan Persekutuan melaksanakan Koridor Protien Negara khusus di sekolah-sekolah luar bandar, bagi meningkatkan kadar tumbesaran kanak-kanak. Ini pun, suatu lagi contoh usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat teramai.



KESIMPULAN


Sebagai kesimpulan, pertumbuhan produktiviti (productivity growth) memang boleh meningkatkan pengeluaran dan pendapatan negara dengan sumber yang ada.


Namun, jika kita hanya kejar pertumbuhan ekonomi atau pertumbuhan KDNK secara membuta-tuli, ia kan memburukkan lagi tuntutan kita terhadap alam sekitar yang memang sudah tidak lestari lagi.


Kita perlu degrowth strategy iaitu suatu pendekatan ekonomi yang tidak mengejar pertumbuhan ekonomi tanpa henti, tetapi lebih menekankan kesejahteraan manusia dan kelestarian alam sekitar. 


Degrowth strategy yang mahu meningkatkan taraf hidup rakyat teramai mestilah memasukkan unsur-unsur pengagihan pendapatan dan kekayaan secara besar-besaran. 


Langkah progresif dan proaktif bukan mudah, kerana banyak perkara berwajib lain - termasuk mewujudkan polisi fiskal khusus bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat - perlu dilakukan serta diubah suai secara bersepadu. 


Kalau perlu dibenamkan dasar ekonomi neoliberal yang berpaksikan pada pemikiran Debt Phobia (ketakutan tanpa asas konon-konon hutang sebenar Kerajaan dalam dedominasi Ringgit akan membankrapkan negara serta membebankan generasi akan datang), elok dilaksanakan secara korektif oleh tiap-tiap rakyat dengan membenamkan rejim pemerintah hari ini menerusi projek pilihan raya pada PRU16 nanti. 


Meningkatkan kualiti hidup rakyat bukan sahaja kewajiban ke atas sesebuah Kerajaan Persekutuan yang progresif, juga buat kelas rakyat yang berani, radikal dan progresif. Ia wajib disempurnakan mengikut lunas perlembagaan. 


Kaedah fiqh ada menyebut, “sesuatu perkara yang wajib tidak sempurna melainkan memerlukan perkara yang lain itu, maka perkara yang lain itu pun adalah wajib.


ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب


Cukuplah untuk hari ini!




Comments