Perjuangan asal Umno memang memperkukuh pembentukan negara nation Malaysia, membela semua kaum

 

PENULIS (kiri) bersama-sama rakan pengamal media, Sdr. Eng Kok Wei merakamkan gambar kenangan semasa menyertai Kursus AI (Kecerdasan Buatan) Dalam Tindakan: Ke Arah Merevolusi Pemberitaan Pada Era Digital pada 20 dan 21 Ogos 2025 di The Light Hotel, Seberang Jaya.

NASIHAT rakan-rakan pengamal media yang telah beranjak usia lewat 40-an akhirnya mendorong saya membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Desa dekat rumah saya pada pagi ini. 

Macam biasa. Ramai di kerusi menunggu, baik Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain. Dari lapisan usia kanak-kanak kecil sampai warga emas, ada.

Saya tak pernah kisah pun kalau terpaksa menunggu lama sedikit untuk berjumpa doktor, sebab ramainya di kerusi menunggu.

Ia, melambangkan betapa riang sekalian rakyat berbilang bangsa dengan mutu perkhidmatan kesihatan awam yang kian bagus di klinik desa ini. 

Alhamdulillah. Sektor perkhidmatan kesihatan awam negara yang bagus pada hari ini adalah hasil polisi yang dibuat oleh pemimpin Umno terdahulu bagi meningkatkan kualiti hidup semua bangsa termasuk Melayu. 

Semalam, dalam kelas, saya didedah macam mana nak mengoptimumkan Gemini, Trends, Power BI, Soniox, TurboScribe dan beberapa lagi tool berkaitan kecerdasan buatan bagi memperkata idea dalam dunia penulisan dan kewartawanan.

Dengan bantuan Kok Wei, saya ada membuat analisis sentimen perbandingan isu kecuaian dalam pasang bendera Jalur Gemilang dan pertuduhan terhadap Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Datuk Wira Dr Akmal Saleh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, dalam dua platform media sosial. 

Platform media sosial berbahasa Melayu cenderung menyokong Dr Akmal serta mempertikaikan tiada pertuduhan ke atas pihak yang pasang bendera terbalik berkenaan; sementara media berbahasa Cina adalah sebaliknya. 

Saya ingat akan terhenti di situ sahaja apabila selesai membentangkan tugasan berwajib dalam bilik kuliah kursus pada lewat petang semalam.

Dekat Klinik Desa kampung saya pada pagi ini pun, seorang pesakit berbangsa Cina menyantuni saya di kerusi menunggu.

Seorang guru bertauliah, mengajar bahasa Inggeris, baru pencen kira-kira hampir tiga tahun. Baru memeluk Islam. Sekolah terakhir beliau berkhidmat adalah di sebuah sekolah kebangsaan dekat Kulim, Kedah, yang rata-rata adalah pelajar Melayu. 

“Ramai juga penyokong (Dr.) Akmal di Mahkamah, sampai jalan utama di sana sesak,” kata beliau sambil bertanya saya tidak membuat liputan di sana, mungkin kerana melihat saya memakai pas media.

“Saya time-off pagi ini. Cuma, ada satu tinjauan lapangan isu lain selepas Jumaat nanti,” respons saya dalam nada sederhana. 

Lama bekerja sebagai guru, katanya, mungkin sebab dilingkungi  guru dan pelajar berbangsa Melayu, sedikit banyaknya membuka hatinya untuk memeluk Islam.

Beliau berkata semasa zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Ke-6 Malaysia, elaun insentif tambahan untuk guru yang bertugas di kawasan pedalaman, diperkenalkan. 

Tujuan insentif tersebut diperkenalkan untuk mendorong guru-guru berpengalaman dan berkebolehan untuk berkhidmat di sekolah-sekolah luar bandar, bagi memastikan kualiti pendidikan di sekolah luar bandar setanding kawasan bandar. 

“Waktu itu, saya baru sahaja berpindah sekolah ke Kulim sebab dekat dengan rumah saya di Batu Kawan (Pulau Pinang). 

“Tetapi, ada ramai guru pakar bahasa Inggeris sebaya saya sanggup pergi ke Tanah Tinggi Cameron dan mengajar anak-anak Orang Asli di sekolah pendalaman,” katanya dalam nada sederhana.

Saya diam sahaja. Cermat dan suka dengar cikgu pencen berkenaan bercakap fasih bahasa Melayu Tinggi.

“Saya pun tiada pendapat mengenai DAP mempertahan individu peniaga berbangsa Cina memasang terbalik Jalur Gemilang.

“Saya memang tiada pendapat kalau ada orang menganggap perjuangan asal Umno adalah lantang menentang DAP. 

“Tapi, kerja Datuk Seri Najib memperkenal elaun insentif tambahan untuk mendorong guru-guru berpengalaman dan berkebolehan mengajar sekolah di kawasan pedalaman tak kira bangsa, inilah perjuangan asal Umno yang patut ditonjolkan sekarang,” jelasnya lagi.

Saya boleh empeti, mengapa sekalian pemimpin pemuda Umno marah sangat dengan insiden pasang terbalik Jalur Gemilang yang dianggap melemahkan proses mengukuhkan pembentukan negara nation Malaysia. 

Balas saya, “Bos saya di pejabat Cina. Kawan saya di pejabat pun ramai Cina. Mereka baik belaka. Sepatutnya perjuangan asal Umno adalah memakmurkan ekonomi rakyat Malaysia berbilang kaum dengan mengadakan polisi fiskal relevan macam yang berjaya dibuat pentadbiran Najib dengan meratakan mutu pendidikan termasuk kepada anak Orang Asli di sekolah luar bandar.”

Sekian. 

Comments