UMNO syor Pusat tubuh syarikat p-hailing baharu, jamin upah setimpal untuk pengantar terutama Melayu
UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencadangkan satu solusi konkrit bagi menangani isu ketidakstabilan kadar upah dalam industri p-hailing, yang kini semakin membebankan para penghantar terutamanya golongan muda berbangsa Melayu.
Mengakui industri p-hailing sebagai salah satu mod pengangkutan pilihan rakyat serta sumber pendapatan penting bagi ribuan anak muda luar bandar dan bandar, Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Noor bin Ahmad menggesa kerajaan meneliti penyelesaian jangka panjang yang melibatkan peranan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi pelaburan kerajaan (GLIC).
“Sudah tiba masanya kita menggunakan kekuatan modal GLC dan GLIC untuk membina satu ekosistem baharu yang benar-benar menghargai tenaga rakyat.
“Dengan pendekatan pelaburan berdasarkan prinsip liability-driven profit, Kerajaan Persekutuan sendiri memang ada kemampuan untuk menubuhkan satu syarikat p-hailing baharu yang menawarkan kadar upah lebih adil dan berpatutan,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Kawan merangkap Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
![]() |
| MOHD. Noor bin Ahmad |
Menurutnya lagi, secara politik pucuk pimpinan Umno peringkat nasional perlu serius memperkata peri penting campurtangan Kerajaan Persekutuan bagi memperbaiki kelemahan pada sistem upah tak setiampal dalam sektor p-hailing sehingga kini, jika mahu merelevankan perjuangan parti dengan citarasa rakyat teramai waktu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak.
Ini kerana, telah ada pengumuman daripada Perdana Menteri Ke-10 Malaysia (PMx), Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar bin Ibrahim pada 22 Julai 2023 dulu dengan menyatakan hasrat untuk memanggil semua syarikat p-hailing bagi membincangkan isu kadar upah, namun sehingga kini dilihat bak menanam tebu di tepi bibir semata-mata.
Tegas Mohd Noor, UMNO mesti dilihat tidak boleh sekadar menyatakan hasrat untuk bertemu dan berbincang dengan para pengantar dalam sektor p-hailing semata-mata, sebaliknya mesti ada pelan solusi serta inisiatif bersifat struktural yang dapat menyaingi kuasa pasaran pemain sedia ada.
“Majoriti rider adalah anak Melayu, dan mereka bukan saja terkesan dengan kadar upah yang semakin rendah, tetapi juga tiada perlindungan sosial yang kukuh.
“Kita (ejen politik Umno) perlukan satu model baharu yang bukan berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi bertujuan memartabatkan pekerjaan gig sebagai kerjaya yang bermaruah,” tambah jurucakap itu lagi.
Selain itu, beliau berpendapat bahawa UMNO-BN elok menyarankan agar model syarikat baharu itu bukan sahaja memberi upah kasar yang lebih setimpal tetapi turut menyediakan perlindungan insurans, caruman Perkeso, program latihan semula dan skim pinjaman mikro untuk rider yang ingin beralih kepada kerjaya tetap atau keusahawanan.
Cadangan tersebut, menurutnya lagi, dilihat sebagai lanjutan kepada komitmen UMNO-BN dalam membina mobiliti sosial baharu bagi golongan B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah) dan M40 Melayu di tengah cabaran ekonomi digital masa kini.
“Rider bukan sekadar penghantar, mereka adalah tulang belakang ekonomi rakyat harian. Sudah sampai masa kita hargai mereka dengan tindakan, bukan sekadar janji,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.


Comments
Post a Comment