Umno bantah pengeluaran minyak masak bersubsidi dimonopoli syarikat asing dari Singapura, Jepun


SALAH ‘orang kita’ juga kerana telah menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 5 Mei 2018, kata Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Noor bin Ahmad dalam satu kenyataan pada hari ini.

Menurutnya, kalau Umno BN masih mendominasi Kerajaan Persekutuan, barangkali perbekalan minyak masak bersubsidi hanya diberikan kepada kilang penapisan tempatan dengan keutamaan kepada Melayu dan Bumiputera.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Kawan memberi respons itu ketika ditanya mengenai dalih Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Rakyat (KPDN) berhubung isu tersebut pada hari ini.

KPDN dilaporkan berdalih bahawa sehingga kini tiada dasar yang menetapkan pembekalan minyak masak daripada kilang penapisan hendaklah datang daripada kilang penapisan milikan tempatan sahaja.

Dalih Kementerian disampaikan susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang mendapati anak syarikat kepada syarikat asing yang berdaftar di Singapura dan Jepun menerima kuota penapisan minyak masak bersubsidi tertinggi berbanding kuota yang diperoleh syarikat tempatan.

Kementerian dilaporkan berdalih prosedur operasi standard (SOP) Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) sedia ada antara lain memberi pilihan kepada syarikat pembungkusan terhad pada dua kilang penapisan bagi tujuan pembekalan minyak masak subsidi.

”Berdasarkan permohonan pertukaran kilang penapisan yang dikemukakan oleh syarikat pembungkus, terdapat beberapa faktor yang diambil kira oleh syarikat pembungkus dalam memilih kilang penapisan untuk tujuan perbekalan.

“Ini, termasuk lokasi kilang penapisan yang berdekatan dengan syarikat pembungkus bagi penjimatan kos pengangkutan; kualiti perkhidmatan dan bekalan minyak masak yang ditawarkan oleh syarikat penapis; serta kemampuan kilang penapisan membekalkan minyak masak secara konsisten mengikut tempahan,” kata Kementerian sebagai respons pada LKAN yang dikeluarkan hari ini.

Di samping itu, KPDN turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan agenda penambahbaikan pengurusan program COSS termasuk meneliti atau mengkaji keutamaan kepada syarikat penapis tempatan dalam pembekalan minyak masak bersubsidi.

LKAN sebelum pada itu mendedahkan bahawa antara syarikat yang memiliki lapan kilang penapisan di seluruh negara adalah syarikat milikan penuh sebuah syarikat yang berpengkalan di Singapura.

Mengulas lanjut, Mohd Noor memberitahu bahawa pentadbiran Perdana Menteri Y.A.B. Datuk Seri Anwar bin Ibrahim yang juga Menteri Kewangan Malaysia mungkin terlalu obses dengan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) sampai KPDN seolah-olah dibiarkan tidak menetapkan dasar pembekalan minyak masak daripada kilang penapisan hendaklah datang daripada kilang penapisan milikan tempatan sahaja.

“Dengan KPDN sehingga kini tidak dasar yang menetapkan pembekalan minyak masak daripada kilang penapisan hendaklah datang daripada kilang penapisan milikan tempatan sahaja, bukan sahaja melorongkan syarikat asing yang berdaftar di Singapura dan Jepun menerima kuota penapisan minyak masak bersubsidi tertinggi.

“Malah pada masa yang sama Putrajaya nak tunjuk berapa bilion FDI masuk ke Malaysia melalui pelaburan modal syarikat-syarikat asing berkenaan dalam sektor pemprosesan dan pengagihan minyak masak bersubsidi negara.

“Kalau Umno masih memerintah Kerajaan Pusat atau diberi peluang memerintah Putrajaya kelak, pastikan sektor perbekalan dan pengagihan minyak masak bersubsidi tinggi ini kembali didominasi syarikat-syarikat tempatan terutama milikan penuh Melayu dan Bumiputera.

”Garis panduan seumpama SOP COSS bukan Tuhan yang buat, tetapi parti pemerintah yang buat…kalau nak tolong Melayu dan Bumiputera, polisi mesti mengambil kira kemampuan kelompok itu semasa membuat dasar kementerian,” tegasnya sambil mengkritik dasar KPDN tersebut.

Comments