
LEBIH 30,000 orang rakyat berbilang kaum terutamanya Melayu yang menyertai Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), Suka Menanti, Kedah pada malam tadi sebenarnya di luar jangkaan ramai pihak.
Dalam keadaan blok pembangkang seakan hilang radar politik - seorang ke kiri, seorang yang lain ke kanan, sementara ada juga para pemimpin macam ‘pasu bunga’ - kerana langsung tidak mengkritik polisi-polisi ekonomi neoliberal bawaan Kerajaan Perpaduan yang terang-terang menindas rakyat teramai; pertemuan malam tadi telah memberikan kejutan politik kepada semua.
Di pentas utama stadium telah menghimpunkan beberapa negarawan, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencecah usia 100 tahun.
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia antara pemimpin utama lain yang hadir.
Tidak dilupakan, ‘selebriti politik rakyat bawahan’, lain tak bukan Datuk Sri Muhammad Sanusi Md. Nor iaitu Menteri Besar Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya (PN).
Semasa berucap, Tun Mahathir antara lain menyindir Perdana Menteri Ke-10 Malaysia (PMx), Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar bin Ibrahim supaya melepas jawatannya apabila kian tidak disukai oleh pelbagai pihak dan rakyat teramai sendiri.
“Bila rakyat tak suka, Perdana Menteri kena letak jawatan. Saya pun nak masuk bakul sikit angkat diri, saya pun letak jawatan juga pasal ada orang tak setuju dengan saya, bukan orang ramai tapi parti saja, saya tak setuju saya letak jawatan.
“Ini sampai rakyat minta ‘turun lah kamu’ tak turun juga masih duduk di situ. Saya nak seru supaya Anwar letak jawatan, dengar lah bila orang tegur letak jawatan kerana dia tak tahu perintah negara, macam-macam masalah,” sindir Mahathir terhadap Anwar.
Kata kawan, kalau sindiran itu hanya datang daripada Mahathir, ia bukan kali pertama mantan Perdana Menteri Ke-7 Malaysia itu berbuat sedemikian terhadap Anwar.
Anwar yang telah lama diasak semasa berada di blok pembangkang sebelum menjadi PMx sungguhpun pada peringkat awal tidak mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan pasca PRU15, mesti telah alah dan bisa kalau ditekan dengan sendirian serta ucapan seperti yang ‘dijentik’ oleh Mahathir.
Pemilihan 2025 Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyaksikan penyingkiran secara besar-besaran fraksi Datuk Seri Rafizi Ramli telah mendorong bekas Timbalan Presiden parti itu turut menekan Anwar menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung polemik isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan para hakim mahkamah atasan sebelum ini.
Dengan budi bicara Agong sendiri memperkenan pelantikan Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, pada 18 Julai 2025 menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara awal Julai 2025, sudah tentu kian menekan Anwar sendiri secara peribadi dalam kes mahkamah yang melibatkan bekas pembantu peribadi, Yusof Rawther selepas ini.
Di Media Sosial, walaupun Anwar membuktikan dirinya relevan dalam memperbaiki pertumbuhan ekonomi negara dan memperbaiki kualiti hidup rakyat teramai, dengan melihat emoji ‘ketawa’ yang begitu banyak apabila Putrajaya mengumumkan lawatan-lawatan rasmi PMx membawa pulang pelaburan berpotensi berbilion-bilion Ringgit, kalau kita berada dalam ‘kasut’ Anwar pun bohong lah tidak berasa tertekan.
Pada malam ini, beberapa podcast termasuk lah kendalian pasukan YB Viral dan Demi Negara mungkin ada penjelasan dan ulasan lanjut, sejauh mana dos tekanan yang kini bukan lagi dari satu atau dua penjuru terhadap karier politik Anwar.
Kata kawan saya menerusi telefon pada petang tadi, apabila Ketua-Ketua Bahagian Umno dari seluruh negara pun dalam suatu majlis berasingan turut menekan pentadbiran Anwar untuk melaksanakan Titah Tambahan (Adendum) Agong yang dianggap ‘disorok’ sebelum ini, apa lagi pilihan yang ada melainkan membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan baki hukuman melalui tahanan rumah.
“Kalau dikatakan Anwar menerima tekanan daripada pelbagai penjuru politik ketika ini, barang kali benar,” respons saya secara sederhana kerana saya bukan tahu pun denyut politik PMx seperti sekalian propagandis yang hebat dan berada di sekeliling susuk tubuh ahli politik itu.
Balas kawan saya, “sekarang penjuru politik mana lagi yang tidak menekan Anwar setelah macam-macam perkara dia berjanji untuk memperbaiki kualiti hidup rakyat semasa mengetuai pembangkang, tidak diluaskan selepas diberi peluang menjadi seorang Perdana Menteri?”
Saya berdiam diri sahaja.
Teringat saya pada suatu firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…” (Surah Al-Baqarah: 286)
ُ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Doa saya, dalam Anwar dilihat tertekan dari pelbagai penjuru sampai tidak ada satu penjuru politik pun dia menghela nafas lega, jangan esok lusa kerana kian berasa ditekan, akan dia umum;
“Saya letak jawatan sebagai PMx berkuatkuasa serta-merta…saya ulaaangggggg.”
Comments
Post a Comment