RM48.8 bilion bukan ketirisan negara - Wan Suraya

NILAI RM48.873 bilion yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 bukan merupakan jumlah ketirisan atau kerugian seperti yang disalah lapor oleh beberapa portal berita, sebaliknya adalah nilai kos keseluruhan program, aktiviti dan projek yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, laporan yang tidak tepat berpotensi mencetuskan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap pengurusan kewangan negara.

"Secara umumnya, LKAN 2/2025 mengenai aktiviti kementerian, jabatan, badan berkanun dan syarikat kerajaan Persekutuan mengandungi perkara yang dibangkitkan hasil pengauditan terhadap lima program, aktiviti dan projek di tujuh kementerian dengan nilai kos keseluruhan sebanyak RM48.873 bilion,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, skop pengauditan turut mengambil kira prestasi pelaksanaan merangkumi pelbagai tahun terdahulu termasuk isu-isu legasi serta sebarang inisiatif yang telah diperkenalkan kerajaan.

Sehubungan itu, setiap penemuan yang dibentangkan dalam laporan disusuli dengan syor penambahbaikan yang konstruktif bagi membantu kementerian, jabatan dan agensi kerajaan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh sistem dalaman dan pematuhan.

Dalam tempoh tahun 2024 hingga Jun 2025, susulan audit yang dilaksanakan oleh JAN telah membantu kerajaan memperoleh bayaran balik sebanyak RM157.73 juta menerusi tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah serta kutipan duti dan cukai.

"Sebanyak 44 isu yang telah dilaporkan dalam LKAN 2/2025 turut dimuat naik ke Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD) untuk disusuli oleh kementerian dan jabatan berkaitan bermula Isnin lepas," jelasnya.

Wan Suraya turut memaklumkan bahawa isu-isu yang sama akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Susulan LKAN (JSLKAN) dan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Audit Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

"Jabatan Audit Negara ingin menasihatkan orang ramai agar mendapatkan gambaran yang berfakta, tepat dan menyeluruh melalui laman sesawang rasmi www.audit.gov.my," katanya.

LKAN 2/2025 telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan akan dibahaskan pada Rabu. - Sinar Harian

Comments