Menjelang himpunan aman rakyat 26 Julai, Anwar beri amaran keras

KERAJAAN Madani hari ini tidak akan berkompromi dengan sebarang percubaan untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak berlandaskan undang-undang serta prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar bin Ibrahim (gambar) memberikan amaran itu ketika negara akan menyaksikan aksi rakyat beramai-ramai menyertai Himpunan Aman Turunkan Anwar di Kuala Lumpur pada tanggal 26 Julai 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan merangkap Presiden PKR memberikan amaran tersebut semasa berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya pada 21 Julai 2025.

Dalih Anwar, pentadbirannya sedaya upaya akan terus bersikap terbuka, namun tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang menggugat kestabilan Kerajaan. 

Ada yang kata hendak suruh saya turun. Saya dengar kononnya ada ribuan peserta perhimpunan. Polis beri laporan, saya kata teruskan. Bukan maksud hendak halang. 

“Apabila mereka sebut mahu paksa kerajaan bertukar, tidak mahu tunggu pilihan raya, itu sudah aneh.

“Saya kata tidak mengapa. Saya beritahu Speaker, kalau ada usul undi tidak percaya pada hari pertama sidang Dewan Rakyat, saya tunggu,” dalih beliau.

Dalihnya lagi, sekiranya pihak pembangkang benar-benar mempunyai sokongan majoriti, mereka boleh mengemukakan usul undi tidak percaya seperti yang termaktub dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Tapi mereka tahu mereka tidak mampu. Insya-ALLAH, kita akan terus bertahan dengan sokongan kuat, dua pertiga majoriti. Kita tunggu pilihan raya.

“Tetapi mereka tidak mahu. Mereka mahu turunkan kerajaan sekarang. Ini sudah langgar prinsip Perlembagaan,” dalihnya.

Dolak-dalih Anwar seolah-olah rakyat Malaysia tidak ingat penyertaannya dalam beberapa siri himpunan anti rejim anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Langkah 16 September (2008) iaitu merujuk usaha membeli wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bagi menumbangkan rejim Perdana Menteri pada waktu itu.

Comments