Lepas jawatan KSN, jika tak faham Rukun Negara menjamin hak berhimpun 26 Julai

SEWAJARNYA Shamsul Azri Abu Bakar melepaskan jawatan sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan mengisi borang keahlian Parti Keadilan Rakyat (PKR) kalau dia beriya sangat melarang penjawat awal daripada menyertai demonstrasi menuntut Datuk Seri Utama Anwar bin Ibrahim meletak jawatan Perdana Menteri di ibu negara pada Sabtu ini.

Federasi Pemuda Kebangsaan berkata demikian ketika menolak larangan Shamsul Azri atas alasan tindakan itu tidak sesuai dengan prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara dalam Rukun Negara.

“KSN, Shamsul Azri Abu Bakar jangan kurang ajar dengan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

”Inilah masalah apabila hanya ambil Rukun Negara mengikut kehendak rasa, akhirnya gagal memahami konteks secara menyeluruh, kata pemimpin kumpulan pendesak berkenaan, Hamdin Nordin (gambar).

Terdahulu, dijadualkan pada 26 Julai 2025, suatu demonstrasi aman - Turunkan Anwar - akan dilancarkan di ibu negara.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Usuf Jan Mohamad dilaporkan berkata Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengunjurkan kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 orang sahaja.

Dalam satu kenyataan hari ini, sindir Hamdin, Shamsul Azri seakan menutup telinga ketika sekalian penjawat awam lain membaca Rukun Negara pada tiap-tiap minggu.

Tegas Hamdin, Rukun Negara turut memperkata soal keluhuran perlembagaan yang mana Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memberi jaminan hak untuk berhimpun, bersuara san berorganisasi.

“Atau, mungkin KSN setiap kali membaca Rukun Negara dia hilang rukun ketiga tentang keluhuran perlembagaan,” perlu Hamdin lagi.

Sehubungan itu, Hamdin mengingatkan Shamsul Azri bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen tertinggi negara yang mana bukan arahan lisan daripada mana-mana individu berkuasa.

”Sekiranya beliau sendiri gagal memahami prinsip asas negara, maka adalah lebih baik melepaskan jawatan dan berhenti memalukan institusi perkhidmatan awam,” tegas Hamdin lagi.

Buat kali pertama seorang KSN dilihat tidak memainkan peranan hakikinya sebagai ketua sektor penjawat awam sampai diasak untuk melepaskan jawatan kerana sikap politik kepartiannya.

Comments