FDI meningkat? Tingkat gaji rakyat tidak sejajar peningkatan produktiviti negara?

Jelas Tengku Zafrul, sebaik syarikat memberi komitmen untuk melabur, ia akan dikategorikan sebagai potensi pelaburan dan dipantau oleh Jawatankuasa Task Force Pemudahcara Pelaburan (JT3P).


KALAU 87 peratus ‘pelaburan berpotensi’ berjaya direalisasikan sejak tahun 2021 dan dilaksanakan setakat suku pertama tahun 2025 (1Q25) sebagaimana diperjelas oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini, bukan semua pelaburan langsung asing (FDI) itu bukan semua melimpahkan manfaat secara langsung ke saku rakyat teramai di tanah air tercinta ini.


Banyak FDI lebih menumpu pada sektor berteknologi tinggi, pembuatan ataupun hartanah yang mungkin tidak mencipta peluang kerjaya dengan skim gaji setimpal tingkat produktiviti negara untuk rakyat teramai, serta tertumpu di kawasan-kawasan tertentu sahaja. 


Di samping itu kemasukan FDI dengan menumpu pada sektor yang terlalu bergantung pada dasar automasi serta kaderisasi pekerja berkemahiran tinggi dari luar negara, mengakibatkan pekerja tempatan termasuk Melayu hanya dalam pekerjaan sokongan bergaji rendah. 


Pada 26 Julai 2022, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pernah mendedahkan statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kaedah Pendapatan bagi tahun 2021.


DOSM mendedahkan komponen pendapatan yang terkumpul hasil daripada pengeluaran iaitu Pampasan Pekerja (PP) dan Lebihan Kendalian Kasar (LKK) masing-masing menyumbang 34.8 peratus (2020: 37.1%) dan 62.9 peratus (2020: 60.1%) kepada KDNK; sementara baki KDNK selebihny disumbangkan oleh Cukai bersih sebanyak 2.3 peratus (2020: 2.7%) pada tahun 2021.


Pasca pandemik COVID-19 menyaksikan pertumbuhan produktiviti buruh Malaysia bagi tahun pada tahun 2021 mencatatkan +1.8% sahaja, dengan tidak ada angka statistik peratusan tingkat gaji buruh bagi tahun yang sama.


Pun begitu, Bank Negara Malaysia (BNM) pernah melaporkan bahawa antara suku pertama dan ketiga 2022, pertumbuhan gaji sebenar adalah +2.9 %, manakala produktiviti mencatat +5.0 %  - masih menunjukkan pertumbuhan gaji tidak meningkat sejajar pertumbuhan produktiviti semasa negara. 


ZAINULFAQAR bin Yaacob

Mengulas lanjut, Setiausaha Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang, Zainulfaqar Yaacob berkata kalau ‘pelaburan berpotensi’ berbilion Ringgit diumumkan pada setiap kali lawatan Perdana Menteri Ke-10 Malaysia (PMx), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara benar-benar dirasai oleh kelompok rakyat teramai sebelum ini, barang kali tidak perlu lagi penjelasan berapa peratus FDI berjaya direalisasikan sejak tahun 2021 dan dilaksanakan setakat suku pertama tahun 2025 (1Q25) seperti hari ini.


“Yang kian dirasai oleh rakyat teramai adalah kos sara hidup mereka kian menekan dan diterjemahkan dalam emoji gelak menerusi media sosial.


“PMx mengumumkan berbilion-bilion ‘pelaburan berpotensi’ akan masuk ke Malaysia apabila dia mengadakan lawatan ke luar negara; dan hari ini Menterinya (Zafrul) memperjelas 87% telahpun direalisasikan.


“Kalau benarlah FDI ini melimpah manfaat secara langsung kepada rakyat teramai, sepatutnya tidak kedengaran pun mereka merungut kos sara hidup mereka kian menekan susulan Kerajaan Persekutuan melaksanakan peluasan skop SST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) sejak 1 Julai (2025) lepas,” jelasnya dalam satu kenyataan pada hari ini. 


Sumber portal berita Astro Awani pada 22 Julai 2025 antara lain dipetik melaporkan Zafrul menjelaskan bahawa sejumlah 87% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan sejak tahun 2021 telah pun direalisasikan dan dilaksanakan setakat suku pertama 2025.


Angka pencapaian itu, menurut Zafrul, sekali gus membuktikan komitmen pelabur serta keberkesanan langkah pemudahcara yang dilaksanakan oleh kerajaan.


Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa jumlah pelaburan yang diluluskan sejak tahun 2022, merupakan usaha agresif kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan telah membuahkan hasil memberangsangkan.


“2022, kita catat RM267.8 bilion. Tahun 2023 meningkat kepada RM329.5 bilion, manakala 2024 pula mencecah RM384.4 bilion, dua tahun tertinggi dalam sejarah.


“Kalau kita tak usaha gila-gila untuk promosi pelaburan, macam mana nak pecah rekod macam ini?” ujarnya.


Zainulfaqar berkata sepatutnya dengan peningkatan pelaburan masuk ke negara ini, supatutnya diterjemahkan dalam bentuk kenaikan gaji penengah rakyat yang berada dalam sektor perindustrian; tetapi seakan tidak dirasai oleh mereka yang berkenaan apabila Kerajaaan Persekutuan hari ini dilihat gagal mengadakan polisi relevan.


“Yang boleh diakui oleh kita pada hari ini antaranya  kenaikan gaji tidak seiring dengan kenaikan harga (barangan dan perkhidmatan kategori kegunaan kerap rakyat).


“Walaupun FDI masuk dan ekonomi berkembang, gaji median rakyat tidak naik secepat kenaikan harga barang dan perkhidmatan.


“Contohnya, dalam sektor seperti peruncitan, perkhidmatan atau pembinaan – ramai pekerja masih menerima gaji minimum atau sedikit lebih tinggi; tetapi masih terjejas apabila Putrajaya melaksanakan peluasan skop SST baru-baru ini,” jelasnya lagi. 


Dari sudut lain, beliau berpendapat bahawa obsesi rejim pada kemasukan FDI mengakibatkan limpahan pembangunan tidak merata di wilayah atau negeri-negeri tertentu yang majoriti boleh dikatakan jalur Melayu (Malay Belt).


“Paling ketara isu ketidakseimbangan pertumbuhan wilayah ini dapat dilihat apabila kemasukan FDI lebih tertumpu di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang, berbanding Kelantan umpamanya. 


“Kalau Putrajaya melihat Kelantan sebagai negeri Melayu untuk dimajukan, tidak perlu tunggu FDI masuk, Putrajaya sendiri melalui GLC dan GLIC boleh melaksanakan koridor ekonomi khusus di ‘negeri majoriti Melayu’ itu.  


“Apabila tidak ada polisi sokongan daripada Kerajaan Persekutuan sendiri bagi mendepani isu ketidakseimbangan pertumbuhan wilayah dan negeri ini juga, akhirnya mewujudkan jurang kos sara hidup kian meningkat (iaitu) orang di bandar besar perlu berbelanja lebih untuk sewa, makanan, pengangkutan walaupun pendapatan tidak mencukupi atas sebab pergerakan gaji tak meningkat sejajar tingkat produktiviti negara,” jelasnya lagi. 


Comments