100 pemandu bas mogok, ribuan terkandas, wibawa Menteri Pengangkutan dipersoal

RIBUAN pekerja Malaysia di Singapura yang berulang-alik menggunakan bas terjejas hari ini, apabila kira-kira 100 pemandu bas mogok sejak jam 5 pagi semalam.

AKSI mogok kira-kiea 100 pemandu bas ulang-alik Malaysia–Singapura yang menyebabkan ribuan rakyat terkandas sejak awal pagi tadi terus mencetuskan kemarahan ramai.

Kementerian Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut dipersalah kerana dilihat gagal mengambil tindakan pantas atau menyatakan pendirian rasmi bagi meredakan situasi.

Mogok yang melibatkan kira-kira 100 pemandu bas bermula seawal jam 5 pagi semalam telah mengakibatkan barisan panjang di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dekat Johor Bharu, Johor dan lokasi utama bas ke Singapura, memaksa sebilangan besar pekerja Malaysia berjalan kaki merentas Tambak Johor demi mengejar masa bekerja.

Namun, lebih mengecewakan adalah ketiadaan sebarang kenyataan segera daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang sebelum ini sering tampil pantas memberi reaksi dalam isu-isu membabitkan pengangkutan awam.

Beberapa pengguna media sosial mula mempersoalkan ke mana hilangnya menteri yang terkenal dengan pendekatan “hands-on” itu, terutama apabila isu ini membabitkan nasib ribuan rakyat marhaen yang menyumbang kepada ekonomi dua negara.

“Jika ini berlaku di KL Sentral atau melibatkan tren, tentu Anthony Loke dah turun padang. Tapi sebab ini berlaku di Johor dan melibatkan rakyat biasa yang ulang alik ke Singapura, seolah-olah tidak penting,” kata seorang pengguna X, @RakyatTersepit.

Isu mogok tersebut berpunca daripada penyelarasan struktur gaji baharu oleh pihak syarikat, yang menurut pemandu menyebabkan pengurangan ketara gaji bulanan — daripada sekitar RM2,800 kepada bawah RM2,000. Selain itu, syarat perjalanan tambahan dan pemotongan tidak jelas menambah tekanan terhadap para pemandu.

“Macam mana menteri boleh berdiam diri bila operator pengangkutan swasta sesuka hati potong gaji pemandu dan paksa mereka tambah perjalanan?” soal seorang lagi pekerja yang terkandas sejak jam 6 pagi hari kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan sudah turun padang dan sedang berunding dengan syarikat bas terbabit — satu tindakan yang sepatutnya turut digerakkan oleh kementerian persekutuan.

Ketiadaan sebarang makluman awal daripada pihak syarikat bas di media sosial atau portal rasmi mereka turut menimbulkan persoalan tentang pemantauan dan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan kementerian berkaitan.

Pengamat dasar awam berpendapat, insiden ini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti pengendali bas, tetapi juga mendedahkan kelemahan koordinasi antara kerajaan negeri, operator swasta dan kementerian pusat dalam melindungi kepentingan pengguna awam.

“Isu ini bukan soal logistik semata-mata, tetapi soal periuk nasi rakyat. Jika menteri pengangkutan lambat bertindak, ia memberi gambaran wibawa beliau dalam mengurus hal ehwal pengangkutan negara semakin merosot,” kata seorang pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang enggan dinamakan.

Setakat jam 3 petang semalam, masih tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Anthony Loke mahupun Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Orang ramai kini menuntut penjelasan segera — bukan sekadar kenyataan media, tetapi pelan tindakan konkrit bagi menyelesaikan isu ini dan menjamin ia tidak berulang.

Comments