Umno Batu Kawan harap projek Kota Madani di luar wilayah Putrajaya dipertimbang

SHAMSUL Anuar Nasarah (tengah) bersama-sama Datuk Mohd Noor Ahmad (kanan) dan Timbalan UMNO Bahagian Batu Kawan, Wahid Othman ketika hadir merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Kawan di Hotel Pearl View, Perai, semalam. - Foto NSTP

 

PERAI - Komposisi Melayu di Parlimen Batu Kawan dijangka akan meningkat secara mendadak sekiranya Kerajaan Persekutuan bercadang untuk mewujudkan Kota Madani atau program perumahan khusus untuk penjawat awam di kawasan berkenaan.

Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Mohd. Noor Ahmad menyatakan hasrat itu dalam ucapannya, sebelum Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyempurna acara perasmian persidangan tahunan peringkat bahagian berkenaan di Hotel Pearl View, Perai pada 29 Jun 2025.

"Memandangkan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim telahpun mengumumkan projek pembinaan Kota Madani di Presint 9 Putrajaya yang terdiri daripada 20,000 unit kediaman khusus untuk penjawat awam, dengan sejumlah kos RM4 bilion, suka saya nak mencadangkan kepada perasmi kita (Shamsul Anuar) pada hari ini untuk membina rumah untuk penjawat awam di Parlimen Batu Kawan juga. 

"Di Sungai Semilang juga masih ada bank tanah yang sesuai untuk pelaksanaan projek Kota Madani di luar Wilayah Putrajaya," jelasnya yang juga Keua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang.

Baginya, projek Kota Madani di luar Wilayah Persekutuan Putrajaya khusus untuk penjawat awam, di Parlimen Batu Kawan akan meningkatkan demografi penduduk Melayu di kawasan tersebut.

"Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) perlu memastikan beberapa parlimen yang selama ini didominasi oleh pengundi Melayu, terus kekal kukuh sebagai 'parlimen Melayu' dalam arus pembangunan perumahan yang kian rancak sekarang dan pada masa hadapan. 

"Penjawat awam ini boleh dikatakan sebagai Malay Belt atau jalur Melayu sebab ramai Melayu duduk dalam sektor perkhidmatan awam. 

"Kalau ada projek khusus bina rumah untuk penjawat awam di kawasan Parlimen Batu Kawan, sekali gus akan menambah demografi Melayu khususnya di KADUN Bukit Tengah," jelasnya lagi yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Dalam sidang media selepas itu, Shamsul Anuar diminta mengulas mengenai cadangan pelaksanaan projek Kota Madani di luar Putrajaya selain usul penangguhan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dibangkitkan dalam persidangan itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, perubahan drastik terhadap demografi pengundi menuntut UMNO untuk bertindak lebih responsif terhadap kehendak rakyat.

Beliau menegaskan, aspek imej parti adalah perkara pertama yang perlu diberikan perhatian kerana elemen berkenaan menjadi penilaian utama rakyat, khususnya generasi muda dengan pendekatan penyampaian perlu disesuaikan dengan perubahan zaman dan cara fikir mereka.

"Jika kita beritahu anak muda bahawa UMNO dahulu pejuang kepentingan Melayu, maka hari ini mereka mahu lihat bukti yang jelas adakah perjuangan itu masih diteruskan atau tidak, kita tidak boleh sekadar bercerita tentang sejarah (tetapi) kita mesti membuktikannya melalui tindakan dan realiti semasa" katanya.

Katanya, UMNO selaku parti yang menguatkan orang Melayu harus melakukan sesuatu untuk terus mendapatkan dukungan Melayu dan Bumiputera dalam waktu sama parti juga mesti kekal terus berjuang untuk kepentingan kaum-kaum lain, sama ada di Semenanjung ataupun di Sabah dan Sarawak.

"Kita ada pengalaman dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu apabila imej parti pada ketika agak tidak begitu baik menyebabkan kita ditolak.

"Ada juga keadaan yang mana rakyat menolak bukan isu nasional tapi membabitkan isu pada peringkat bawah.

"Saya percaya ini betul-betul penting yang akan dinilai oleh rakyat, terutama dalam kalangan orang muda yang mahu melihat parti terbaik, yang ingin mereka letakkan amanah.

"Sebab itu, di mana peringkat sekalipun, kita bertanggungjawab memastikan imej UMNO dan Barisan Nasional (BN) berada pada tahap terbaik. Ini menjadi cabaran besar," katanya. 

Comments